oleh RIZQI ZABIDI

Bekalan ikan di Kedah dijamin tidak akan terjejas dengan kehadiran musim monsun timur laut yang dijangka akan bermula pada awal November depan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Dr. Abdul Halim Tajudin berkata, pihaknya sudah pun membuat persiapan dengan menyediakan sekurang-kurangnya 10 tan bekalan ikan sejuk beku (QFISH) di pelabuhan LKIM Kuala Kedah yang dikumpul dari nelayan di seluruh negeri ini.

“Ikan-ikan itu kekal segar kerana dibekukan menggunakan teknik individual quick freezing (IQF). Antara jenis ikan yang disediakan adalah kembung, cencaru dan selayang.

“Ini adalah jenis-jenis ‘ikan rakyat’ yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di Kedah. Jadi, kita menjangkakan bekalan ikan di negeri ini tidak akan terjejas menjelang musim monsun timur laut itu nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika ditemui pada Sambutan Jubli Emas LKIM dan gotong royong bersama nelayan di Tanjung Dawai, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin.

Abdul Halim menambah, bekalan yang mencukupi itu juga dijangka akan membantu menstabilkan harga ikan apabila tibanya musim tengkujuh itu nanti.

“Kualiti ikan sejuk beku itu dijamin dan akan dijual 20 eratus lebih murah berbanding harga pasaran. Sebagai contoh, harga ikan kembung dijangka tidak akan lebih daripada RM8 sekilogram.

“Ikan-ikan ini akan disimpan di bilik sejuk beku yang mampu memuatkan hampir 100 tan ikan. Inilah yang akan membantu memenuhi permintaan tinggi pada musim tengkujuh nanti sekiranya pendaratan ikan berkurangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here