Oleh RIZQI ZABIDI

PRIHATIN dengan nasib penduduk di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Jalan Lencongan Darat di Sungai Petani yang terpaksa mengosongkan rumah berikutan perintah mahkamah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor segera mengarahkan pegawai berwajib untuk mencari tanah kerajaan bagi membolehkan penduduk terlibat mempunyai tapak untuk membina rumah baharu dengan kadar segera.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau amat simpati dengan kesukaran dihadapi kira-kira 30 keluarga yang terlibat dan mahu memastikan mereka memiliki tapak untuk mendirikan rumah baharu bagi dijadikan tempat berteduh.

“Saya sudah minta Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Hashim mencari lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian bagi membantu penduduk seramai 30 keluarga itu.

“Menteri Besar pada tahun 2014 (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) ada berjanji mahu membantu tetapi tidak ada sebarang tindakan selama beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini penduduk terlibat merayu campur tangan kerajaan negeri setelah tanah yang diteroka untuk dijadikan tapak rumah sejak 40 tahun lalu kini, dikatakan telah menjadi hak milik seorang individu bergelar Datuk.

Pada 19 Disember lalu, penduduk telah menerima notis dari Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mereka mengosongkan tanah tersebut selewat-lewatnya pada 3 Januari depan.

Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, apabila Mahkamah Tinggi sudah membuat penghakiman, kerajaan tidak boleh lagi campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem di negara ini tidak membenarkan perkara itu daripada dilakukan.

“DO bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda sedang berikhtiar. Saya berharap mereka dapat menemukan apa yang diperlukan untuk sama-sama kita membantu menyelesaikan masalah ini.

“Semoga ada sinar yang cerah untuk semua penduduk terlibat. Begitu pun sementara proses ini diselesaikan, penduduk perlu berikhtiar sendiri mencari rumah sewa atau penempatan sementara di sekitar mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here