Tag: Hassan Abdul Karim

  • Hassan Karim saran kerajaan guna dana parti anjur rumah terbuka

    Hassan Karim saran kerajaan guna dana parti anjur rumah terbuka

    KERAJAAN disaran agar menggunakan dana parti bagi menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Madani tidak lama lagi, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

    Menurut beliau, adalah menjadi kesalahan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan wang kerajaan Pusat untuk mengadakan majlis tersebut di banyak negeri.

    “Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.

    “Memang ada peruntukan Perdana Menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya. Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya di Facebook miliknya, semalam.

    Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, rumah terbuka yang dianjurkan sehingga enam negeri tersebut adalah fenomena baharu yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.

    Katanya, meskipun jumlah digunakan tidak mencecah jutaan ringgit, namun perlu diingatkan ia adalah duit awam dan perlu dibelanjakan secara berhemah, tidak melanggar etika moral dan undang-undang.

    Beliau menjelaskan, satu ketika dahulu Perdana Menteri India, Indira Ghandi pernah didapati menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya sehingga menyebabkan kerajaannya tumbang.

    “Berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India, Indira Ghandi berkempen pilihan raya.

    “Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya.

    Sementara itu Hassan berkata, kerajaan perlu berjimat memandangkan hutang negara ketika ini sudah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

    “Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

  • MP kerajaan tegur Anwar, gesa beri peruntukan sama rata kepada semua

    MP kerajaan tegur Anwar, gesa beri peruntukan sama rata kepada semua

    SEORANG Ahli Parlimen kerajaan hari ini menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan peruntukan sama rata buat semua anggota Dewan Rakyat tanpa mengira blok.

    Menurut Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), ia bagi membolehkan bantuan terus sampai kepada rakyat dengan merujuk banjir di Johor ketika ini.

    Beliau berkata, Johor mempunyai 24 Ahli Parlimen daripada PH-BN manakala hanya dua Parlimen iaitu Pagoh dan Mersing daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Sekarang bayangkan banjir di Mersing, Ahli Parlimen Mersing tak diberi peruntukan, Ahli Parlimen lain dapat peruntukan jadi bagaimana nak tolong sedikit-sebanyak rakyat dia.

    “Bukan semua Ahli Parlimen kita kaya, maknanya saya tak boleh, kalau untuk kita (Ahli Parlimen kerajaan) okay tapi untuk (parti) lawan, pandai-pandailah, tak boleh macam tu, mesti adil,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Lantik anak sebagai penasihat: MP PKR gesa Anwar perbetulkan kesilapan

    Lantik anak sebagai penasihat: MP PKR gesa Anwar perbetulkan kesilapan

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbetulkan kesilapan dalam isu lantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

    Menurutnya, dalam situasi ini Anwar tidak perlu memohon maaf, sebaliknya mempertimbangkan semula keputusan itu supaya tidak berpanjangan.

    “Ada peribahasa Melayu mengatakan ‘sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan’ (jika sudah mengetahui akan kesalahan yang telah dilakukan hendaklah kembali ke jalan yang sebenar), kalau tak nanti benda ini meleret-leret,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, pelantikan anak sendiri di bawah Kementerian Kewangan diterajui Anwar adalah bercanggah dengan prinsip reformasi dan membanteras amalan nepotisme yang diperjuangkan beliau selama ini.

    Katanya, isu berkenaan juga akan terus menjadi liabiliti kepada Anwar, jika tidak diperbetulkan malah akan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri.

    “Pembabitan Nurul Izzah dikhuatiri akan membabitkan campur tangan, sedangkan dalam Kementerian Kewangan sudah mempunyai pakar-pakar dan profesional sendiri yang menerima gaji.

    “Walaupun tanpa gaji penasihat dalam soal kewangan ertinya nanti Jabatan Perbendaharaan Kementerian Kewangan akan tunduk kepada Izzah.

    “Izzah boleh diberikan tempat dalam kerajaan seperti di bawah Kementerian Ekonomi bersama Rafizi Ramli,” katanya.

    Kata veteran PKR itu, jika mahukan pentadbiran yang telus dan bebas daripada kronisme atau nepotisme, Anwar tidak boleh melantik anak sendiri sebagai penasihat bagi mengelak wujudnya konflik berkepentingan.

    “Saya menghormati Anwar dan sahabat saya Izzah, beliau seorang pemimpin yang pengalaman tiga penggal sebagai ahli Parlimen dan saya anggap dia sebagai ‘future leader’ (pemimpin masa depan) tetapi amat malang berada dalam kontroversi ini,” katanya.

    Nurul Izzah menjadi perhatian selepas memberitahu media bahawa Anwar melantiknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi sejak 3 Januari lalu.

    Bagaimanapun beberapa pihak termasuk daripada Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu bentuk amalan nepotisme yang tidak sihat.

    Anwar juga sebelum ini mempertahankan pelantikan Izzah itu dibuat berdasarkan kelayakannya.

    Katanya, Izzah mempunyai ijazah kejuruteraan dan bidang dasar awam dari Universiti Johns Hopkins di AS.

    Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti-rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan langkah Anwar melantik Izzah boleh dilihat sebagai kembalinya amalan kronisme dan nepotisme di negara ini.

    “Pada pandangan kami, ia memberi isyarat yang salah dan saya khuatir jika tidak diperbetulkan, ia akan diambil kira dalam persepsi umum di negara ini.

    “Persepsi hari ini ialah kronisme telah kembali dan nepotisme telah menyelinap masuk, dan ini tidak baik,” kata Presidennya Muhammad Mohan.

  • Hassan sindir pihak cuba diamkan pengkritik kerajaan

    Hassan sindir pihak cuba diamkan pengkritik kerajaan

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyindir mereka yang cuba mendiamkan kritikan terhadap kerajaan perpaduan.

    Menerusi puisi yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Hassan dipercayai merujuk kepada kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang semalam mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Shabery memberikan amaran tentang “virus” yang menggulingkan pentadbiran PH pada 2020 selepas hanya 22 bulan memerintah dan menurutnya “virus” itu kelihatan masih aktif dan boleh menuntut “mangsa kedua”.

    Katanya lagi, pemimpin PH mesti mengelak daripada mengkritik kerajaan secara terbuka kerana ia dianggotai pelbagai parti dan gabungan. Sebaliknya, beliau menggesa agar mereka menggunakan saluran dalaman yang tepat untuk menyampaikan kesangsian.

    Shabery menambah, kerajaan kini berada di atas “jambatan Bailey”, yang katanya boleh runtuh jika ahli-ahli parti dalam kerajaan saling menentang.

    Bagaimanapun, Hassan dilihat mempersendakan Shabery dalam puisinya dengan antara lain berkata, “Jangan bising-bising lagi … nanti tercabut skru-skru Jambatan Bailey ini”.

    “Atas nama kestabilan”, katanya, “jangan digoncang perahu ini, nanti karam semua,” tulisnya, lapor Free Malaysia Today.

    Kata Hassan lagi, rasuah tidak boleh disebut-sebut lagi dan perkataan “kluster” dan “mahkamah” ialah istilah “sensitif” ketika ini.

    “Kluster mahkamah” merujuk kepada pemimpin UMNO terkemuka, termasuk presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sama ada sedang dibicarakan atau telah disabitkan dengan tuduhan seperti pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

  • Hassan akui hasilkan puisi untuk tegur Anwar

    Hassan akui hasilkan puisi untuk tegur Anwar

    BIARPUN menghasilkan tiga puisi kontroversi baru-baru ini yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak berhasrat meninggalkan PKR.

    Menurut beliau, puisi berkenaan yang ditujukan khas kepada Anwar adalah teguran secara berhemah terhadap Presiden PKR itu kerana tiada saluran untuk berbuat demikian dalam parti disebabkan tiada jawatan dalam PKR.

    Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, puisi berkenan dihasilkannya bukan bermaksud mahu menentang kepimpinan Kerajaan Perpaduan tetapi itu adalah cara beliau menegur dalam keadaan semua pemimpin PKR mendiamkan diri.

    “Niat saya mahu menegur ketika ramai orang tak sanggup menegur dan kritik Anwar.

    Tidak apalah saya dimarahi segelintir pemimpin dan menteri daripada PKR tetapi sehingga kini saya tidak dengar Anwar suarakan rasa marah atau kecewa berkenaan perkara terbabit.

    “Anwar boleh terima (puisi-puisi mengkritiknya) kerana selain disiarkan dalam Facebook saya, saya juga hantar puisi itu menerusi aplikasi Whatsapp dan orang pertama yang saya hantar adalah kepada Anwar.

    “Sekurang-kurangnya dia tahu seseorang bercakap (mengkritiknya),” katanya.

    Hassan berkata, tujuannya adalah mahu ingatkan perdana menteri agar tidak lari daripada perjuangan asal.

    “Terpaksa bercakap jujur walaupun ramai kawan minta saya bersabar,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian di sidang media sempena lawatan kerja sempena persaraan Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang hari ini.

    Pada 5, 14 dan 18 Disember lalu Hassan menghasilkan tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi yang secara berkias mengkritik Anwar, dimuat naik dalam FB.

    Antara lain puisi Hassan mengkritik secara berkias Anwar serta PKR yang didakwa menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa selain mempersoalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Hassan berkata, beiau berasa lega apabila dapat meluahkan tegurannya menerusi puisi dan ramai pihak membuat pelbagai tafsiran daripada bait-bait puisinya tetapi masih tidak ‘lari’ maknanya daripada konteks atau mesej asal yang ingin disampaikan kepada Anwar.

    “Sebelum ini saya menghasilkan sajak-sajak reformasi untuk Anwar semasa saya menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM).

    “Saya sokong perjuangan Anwar sejak zamam PRM, sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2001 menjadi PKR. Menerusi puisi terakhir, saya nyatakan rela ‘dipancung’.

    “Ini adalah bahasa puisi yang bermakna rela dikenakan tindakan disiplin kerana melawan arus dan mengeluarkan kenyataan yang selalu berbeza dengan pucuk pimpinan parti,” katanya.

  • Kuasa mengubah segalanya, Hassan Karim sindir pemimpin tertinggi PKR

    Kuasa mengubah segalanya, Hassan Karim sindir pemimpin tertinggi PKR

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan kuasa boleh mengubah peribadi dan pendirian seseorang pemimpin termasuk mengkhianati perjuangan parti sendiri.

    Menerusi puisi terbaharu bertajuk Kuasa Mengubah Segala-galanya yang ditulis Hassan, beliau meluahkan rasa kecewa dipercayai ditujukan terhadap pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Puisi berkenaan yang dimuat naik dalam entri terbaru Facebook miliknya pada mal tadi, beliau secara sinis dan berkias menujukan sindiran tajamnya terhadap pemimpin parti itu yang berubah apabila sudah mendapat kuasa.

    “Kuasa itu manis umpama madu, tetapi kuasa itu juga racun menghitamkan kalbu, kuasa boleh mengubah segala-galanya.

    “Dulu kita kata undang-undang itu zalim, kita panggil dia ‘draconian’, akta kuku besi, menafikan hak asasi, masa itu kita hanya reformis jalanan yang bergelandangan,” tulisnya dalam puisi tersebut.

    Kata Hassan lagi, apabila sudah mendapat kuasa merujuk kepada PKR yang menjadi tunjang Kerajaan Perpaduan paska Pilihan Raya Umum ke-15, ada pemimpin berubah dan tidak lagi berpegang dengan apa dikatakan atau diperjuangkan dahulu.

    “Kini sudah lain, dunia sudah berubah, kita sudah di tampuk kuasa, nun tinggi di Putrajaya.

    “Dari koridor kuasa kita mula bercakap, tahanan tanpa bicara hampir sebulan pun tidak mengapa, demi keselamatan negara, ketenteraman awam perlu dijaga,” sindir Hassan lagi.

    Beliau membayangkan dalam puisi tersebut bahawa pada hari ini suara Perdana Menteri seperti mewakili pihak polis.

    “Hari ini, suara Pak Menteri sudah semacam suara pak polisi. Lalu, aku yang berpuisi seperti ini, dianggap menembak kaki sendiri,” luahnya lagi yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • UMNO semakin retak, peluang kedua bagi Pakatan Harapan

    UMNO semakin retak, peluang kedua bagi Pakatan Harapan

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    SELEPAS kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Oktober 2021 dan PRN Johor, Mac 2022 keyakinan begitu tinggi dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk meraih kemenangan mutlak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-14).

    Tetapi di hujung bulan Jun 2022, UMNO mula mengalami retak yang menanti pecah. Ia bermula dengan pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dari jawatan Majlis Tertinggi UMNO.

    Pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu menghancurkan reputasi Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Presiden UMNO sama sekali. Terlalu banyak rahsia di dalam kelambu UMNO diburaikan oleh bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu.

    Mengikut hukum fizik Newton, universe ataupun alam jagat mempunyai satu pusat graviti sahaja. Jika ada dua pusat graviti semua planet di universe ini akan berantukan, berlanggar sesama sendiri. Kemusnahan akan terjadi selepas itu. Tetapi kini UMNO mempunyai dua pusat graviti. Satu di PWTC dan satu lagi di Putrajaya.

    UMNO sudah pecah sekarang. UMNO bukan lagi satu kekuatan politik yang padu dan ampuh. Presiden UMNO, Zahid Hamidi sudah hilang apa jua integriti yang ada sebagai seorang pemimpin politik akibat daripada pendedahan demi pendedahan dari rakan politik Perak yang berkubu di Pasir Salak bersejarah.

    Datuk Seri Najib Razak pula bekas Perdana Menteri dan “de facto” pemimpin UMNO yang ingin membuat “coming back” menjadi bos di Putrajaya sekali lagi sudah menjadi liabiliti kepada UMNO.

    Najib mungkin berjaya melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan pelbagai permohonan interlokutori tetapi Najib sudah gagal untuk mendapatkan kercayaan rakyat lagi. Tiada rakyat di sesebuah negara yang berdaulat dan bermaruah mahukan pemimpin yang boleh disifatkan “seperti tikus untuk memperbaiki labu”.

    Jadi kini UMNO hanya tinggal Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sahaja lagi. Hanya Ismail Sabri yang boleh diharap untuk menjadi “poster boy” bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.

    Tetapi Tajuddin Abdul Rahman juga yang telah mendedahkan bahawa Ismail Sabri tak termakan dengan “gula-gula” poster boy yang ditawar oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk kepada Ahli Parlimen Bera. Lebih-lebih lagi ada precedent atau duluan di mana pernah berlaku “lain di order, lain pula yang diterima” dalam babak lucu pemilihan Menteri Besar Johor Mac 2022 yang lalu.

    Setakat hari ini, esok lusa belum tahu, tetapi demi bersangka baik bahawa masih ada orang baik-baik dalam UMNO, maka kelihatannya, imej Ismail Sabri Yaakob masih kelihatan bersih jika dibandingkan dengan “watak-watak dalam kluster mahkamah”.

    Mungkin sebab itu Pakatan Harapan sudi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri YB dari Bera itu. Satu lagi yang orang ramai nampaknya merestui bahawa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak mahu “kacau” dan tidak mahu “campur tangan” dalam urusan mahkamah terhadap tokoh-tokoh berprofail tinggi dalam “kluster mahkamah” dari UMNO itu.

    Hal itu terjadi bukan secara kebetulan walaupun Ismail Sabri profesyen awalnya sebelum terjun ke dunia politik adalah seorang peguambela dan peguamcara yang bertauliah. Benar beliau mempunyai tradisi menghormati kebebasan badan kehakiman tetapi realiti kini ialah wujud syarat nyata bertulis di dalam MoU bahawa kerajaan pimpinan Ismail Sabri mesti menjamin kebebasan kehakiman.

    Demikian antara syarat yang dikenakan oleh Pakatan Harapan terhadap kerajaan sekarang. Patut kita tabik dan salute kepada PH dalam pendiriannya yang berprinsip ini.

    Ramai yang masih sayang dengan Perdana Menteri “Keluarga Malaysia” yang suka pakai baju fesyen-fesyen moden sewaktu harga siling ayam naik dari RM8.90 sekilo menjadi RM9.40 dan subsidi minyak botol dihapuskan mulai esok 1 Julai 2022.

    Mungkin Perdana Menteri anak rakyat biasa dari Lubuk Kawah Temerloh yang kaya dengan tradisi revolusioner kembali kepada jiwa marhaennya dengan menjenguk ke tingkap di Tingkat 5 Putrajaya, melihat ke bawah kalau-kalau esok rakyat sudah turun protes di jalan-jalan raya.

    Ismail Sabri bukannya seorang Perdana Menteri yang kuat, stabil dan popular. Beliau adalah Perdana Menteri “itik patah kaki”. Tempoh hayat politiknya sudah tertulis di dinding Putrajaya dan di PWTC.

    Dia nombor tiga dalam hierarki UMNO. Nombor satu ada kes mahkamah. Orang nombor dua hanya seorang ADUN bukannya ahli parlimen. Sedangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan nyata bertulis hitam putih, bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat.

    Kerajaan Ismail Sabri ini adalah kerajaan “Rojak Asma”. Di dalamnya ada tauhu, ada timun, ada tempeh dan ada mee kuning, sekadar menyebut beberapa ramuannya. UMNO bukan dominan di dalam Kerajaan di Putrajaya sekarang.

    Musuh ketat UMNO iaitu Bersatu ada ramai menteri di dalam Kabinet Ismail Sabri. Jika menteri-menteri UMNO tarik sokongan dan meletak jawatan, berdentum kerajaan YB Bera ini tumbang.

    Begitu juga jika Parti Bersatu tarik sokongan, Ismail Sabri juga akan mencatatkan dalam “Guiness’s World of Record” menjadi Perdana Menteri terpendek usia pentadbiran kerajaan “Keluarga Malaysia”nya. Lebih singkat berbanding YB Pagoh menjadi Perdana Menteri.

    Sekarang ruang terbuka kepada parti-parti politik pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk mengatur langkah, antaranya seperti berikut:-

    Pertama, PH jadi penonton sahaja, bersorak-sorai ketawa terbahak-bahak melihat “circus dalam UMNO”;

    Kedua, mengambil inisiatif mengembleng kekuatan positif yang masih ada di kalangan parti-parti pembangkang dengan menyaring dan menyisih elemen-elemen negatif di kalangan mereka, demi membina kerjasama pilihanraya (electoral understanding); dan

    Ketiga, PH kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka. Kemukakan buah fikiran, idea, cadangan dan agenda perubahan yang tulen, bukan retorik.

    Percayalah kepada rakyat. Mereka mahukan perubahan dan harapan yang menjamin nasib masa depan mereka, anak-cucu mereka.

    Mungkin sekarang ini terbuka peluang kedua bagi Pakatan Harapan untuk mendapatkan semula mandat untuk menyelamatkan rakyat dan Malaysia tercinta.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.

  • Sikap oportunis PH Melaka cetus krisis politik – MP PKR

    Sikap oportunis PH Melaka cetus krisis politik – MP PKR

    prn melaka

    SEORANG pemimpin PKR mendakwa, sikap oportunis dan tidak bertanggungjawab Pakatan Harapan (PH) Melaka menjadi punca yang mencetuskan krisis politik di negeri berkenaan.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menyalahkan kepimpinan PH Melaka yang didakwa menyebabkan krisis tersebut melarat sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

    Beliau menambah, kepimpinan PH di peringkat pusat juga dikatakan gagal menangani krisis berkenaan dengan baik.

    “Sejak awal krisis bermula, saya tidak bersetuju dengan sikap PH Melaka yang oportunis dan tidak bertanggungjawab sehingga mengheret krisis itu kepada pembubaran DUN Melaka dan PRN.

    “Saya berpandangan PH pusat juga gagal menangani krisis ini dengan baik dan gagal memberikan panduan dan pimpinan yang betul.

    “Sekarang apa yang jadi di Melaka adalah satu ‘fiasco’ kepada PH Melaka dan PH secara keseluruhannya,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today, hari ini.

    PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November ini berikutan pembubaran DUN pada 5 Oktober lalu setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Tindakan itu dikatakan berpunca dari krisis dalaman yang berlaku dalam kerajaan negeri Melaka yang diketuai UMNO.

    Kumpulan PH Melaka Plus yang terdiri daripada 11 ADUN PH serta Idris, Datuk Nor Azman Hassan (Pengkalan Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Nor Effandi Ahmad (Telok Mas) gagal dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu apabila DUN dibubarkan.

    PH dijangka sukar merampas semula Melaka berikutan prestasi buruk gabungan parti pembangkang itu ketika memerintah negara dan negeri berkenaan selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walaupun DAP mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, PH bakal berdepan kesukaran di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Tindakan PH Melaka bersekongkol dengan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka akan menyebabkan calon-calon yang mewakili parti-parti komponenya dihukum oleh rakyat yang muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi semasa musim pandemik.