prn melaka

SEORANG pemimpin PKR mendakwa, sikap oportunis dan tidak bertanggungjawab Pakatan Harapan (PH) Melaka menjadi punca yang mencetuskan krisis politik di negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menyalahkan kepimpinan PH Melaka yang didakwa menyebabkan krisis tersebut melarat sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

Beliau menambah, kepimpinan PH di peringkat pusat juga dikatakan gagal menangani krisis berkenaan dengan baik.

“Sejak awal krisis bermula, saya tidak bersetuju dengan sikap PH Melaka yang oportunis dan tidak bertanggungjawab sehingga mengheret krisis itu kepada pembubaran DUN Melaka dan PRN.

“Saya berpandangan PH pusat juga gagal menangani krisis ini dengan baik dan gagal memberikan panduan dan pimpinan yang betul.

“Sekarang apa yang jadi di Melaka adalah satu ‘fiasco’ kepada PH Melaka dan PH secara keseluruhannya,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today, hari ini.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November ini berikutan pembubaran DUN pada 5 Oktober lalu setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tindakan itu dikatakan berpunca dari krisis dalaman yang berlaku dalam kerajaan negeri Melaka yang diketuai UMNO.

Kumpulan PH Melaka Plus yang terdiri daripada 11 ADUN PH serta Idris, Datuk Nor Azman Hassan (Pengkalan Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Nor Effandi Ahmad (Telok Mas) gagal dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu apabila DUN dibubarkan.

PH dijangka sukar merampas semula Melaka berikutan prestasi buruk gabungan parti pembangkang itu ketika memerintah negara dan negeri berkenaan selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walaupun DAP mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, PH bakal berdepan kesukaran di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Tindakan PH Melaka bersekongkol dengan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka akan menyebabkan calon-calon yang mewakili parti-parti komponenya dihukum oleh rakyat yang muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi semasa musim pandemik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here