Tag: darurat

  • Cacar monyet: AS isytihar darurat kesihatan awam

    Cacar monyet: AS isytihar darurat kesihatan awam

    KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam berikutan peningkatan jangkitan di negara itu.

    Lapor BBC, keputusan itu akan membantu mempercepatkan agihan vaksin, rawatan dan sumber persekutuan untuk membendung penularan virus itu.

    Pengumuman itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran kecemasan tertinggi berikutan lonjakan kes di seluruh dunia.

    Di AS menurut pegawai kesihatan, jangkitan cacar monyet telah melebihi 6,600 kes.

    Satu perempat daripada kes itu dilapor berlaku di New York, yang mengisytiharkan daruratnya sendiri berhubung penyakit itu minggu lalu.

    Kedua-dua negeri dengan beban kes tertinggi ialah California dan Illinois yang mengisytiharkan darurat awal minggu ini.

    Lebih 26,000 kes cacar monyet disahkan di seluruh dunia tahun ini, berdasarkan data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

    Beberapa pakar kesihatan awam menyatakan kebimbangan bahawa pengisytiharan darurat kesihatan boleh menjejaskan lagi penyakit itu.

    Walaupun sesiapa sahaja boleh dijangkiti cacar monyet, wabak itu banyak tertumpu di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

    Namun ia bukan semata-mata jangkitan seksual (STI) yang mana cacar monyet boleh disebarkan melalui kontak rapat dengan orang yang dijangkiti.

    Cacar monyet mengakibatkan gejala seperti demam, sakit badan, menggigil, keletihan dan lepuhan kulit seperti jerawat pada banyak bahagian badan.

    “Kami bersedia mengambil tindak balas seterusnya dalam menangani virus ini dan dengan itu, kita menggesa setiap rakyat AS mengambil serius mengenai cacar monyet,” kata Ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS, Xavier Becerra.

    Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menghadapi kritikan mengenai kurangnya akses kepada vaksin dan usaha membendung cacar monyet.

    Virus cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit yang berpanjangan, termasuk memeluk, berpelukan dan mencium, serta berkongsi peralatan tempat tidur, tuala atau pakaian.

    Cacar monyet menjadi endemik di sebahagian kawasan Afrika, yang mana orang ramai dijangkiti melalui gigitan tikus atau haiwan kecil.

    Namun pada Mei lalu, muncul gelombang kes tidak dijangka yang merebak ke Eropah dan AS.

  • Cabar Darurat: Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain gagal

    Cabar Darurat: Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain gagal

    AHLI PARLIMEN PORT DICKSON, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat lain gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menggantung Parlimen semasa darurat.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Has Zanah Mehat menolak rayuan oleh Anwar dan empat wakil rakyat lain.

    Wakil rakyat lain ialah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (MP Pulai), Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

    Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Has memutuskan bahawa mahkamah sebelum ini tidak tersilap dalam keputusan menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh lima wakil rakyat pembangkang itu.

    Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan isu pengisytiharan darurat oleh Agong.

    Panel itu, yang turut diketuai oleh Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim, sebelum ini telah mendengar hujahan daripada peguam wakil rakyat berkenaan dan peguam kanan Persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung rayuan untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keabsahan nasihat Muhyiddin kepada Agong.

    Sebelum ini, Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz, telah memfailkan tiga cabaran undang-undang berasingan tetapi serupa terhadap nasihat Muhyiddin untuk penggantungan Parlimen semasa darurat.

    Tiga tindakan undang-undang itu menyasarkan kesahihan keputusan kabinet pimpinan Muhyiddin ketika itu, untuk menasihatkan Seri Paduka supaya mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

    Bagaimanapun, tiga bangku Mahkamah Tinggi yang berasingan memberikan keputusan yang tidak berpihak terhadap tindakan undang-undang oleh Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz.

    Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan daripada AGC bahawa Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

  • Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

    Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

    Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    “Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas. 

    Azuan Effendy berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan itu selepas menerima menghadap Abdul Taib di Istana Negara semalam bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri itu agar Proklamasi Darurat di Sarawak dapat ditamatkan.

    Pada hari ini, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara dan telah memberi sembah nasihat berhubung penamatan darurat itu pada sesi yang berlangsung selama satu jam, bermula 8 pagi.

    Al-Sultan Abdullah turut menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad, menyembah taklimat berhubung perkara sama, semalam.

    “Maka, setelah menimbang permohonon Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat YAB Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” kata Azuan Effendy.

    Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.

    “Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

    “Perkenan Seri Paduka kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun, diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” kata Azuan Effendy.

    Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

    Pada 31 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak hingga 2 Feb 2022 susulan ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan.

    Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri itu, DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran berkenaan.

    Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak. – BERNAMA

  • Dr Mahathir: Isytihar darurat bendung Covid-19

    Dr Mahathir: Isytihar darurat bendung Covid-19

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa supaya perintah darurat diisytiharkan bagi menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

    Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi terbabit antara lain meminta agar badan yang mengawal pandemik Covid-19 diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menurutnya, sekarang Malaysia ada kerajaan baharu yang mungkin sibuk dengan urusan lain. Sebaliknya wabak ini memerlukan pelbagai tindakan segera.

    “Jika badan yang mereka cadang diletak di bawah kerajaan, politik akan mengganggu tindakan mereka. Adalah lebih baik jika mereka dilantik dan diletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi entri terbaharunya di dalam chedet.cc.

    Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sebilangan pakar yang ingin menyumbang dalam membendung pandemik Covid-19 sebelum ini ditolak dan tidak diberi pengiktirafan oleh kerajaan, meskipun mereka sanggup bekerja secara sukarela.

    Ujar beliau, pakar-pakar itu merangkumi mereka terbabit dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi yang boleh membantu negara melawan Covid-19.

    “Saya khuatir wabak ini akan melanda negara dan ratusan yang akan meninggal dunia. Ekonomi tidak boleh pulih dan penderitaan orang ramai akan meningkat.

    “Percayalah wabak ini tidak mudah dikawal. Ia tidak akan pergi dengan sendirinya. Di waktu ini keadaan sudah jadi amat serius. Ia boleh jadi lebih serius dalam masa yang terdekat.

    “Kita perlu bertindak sekarang ini juga. Janganlah utama politik dan undang-undang pun. Sebenarnya inilah masa isytihar darurat kerana tindakan luar biasa perlu diambil. Kita tidak boleh tunggu kerajaan disusun sebelum bertindak,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia kini disenaraikan sebagai negara terburuk mengawal wabak Covid-19 seperti dilaporkan majalah The Economist.

    Selain itu kata beliau, angka harian menyaksikan 23,000 rakyat yang dijangkiti Covid-19 dengan 233 kematian direkodkan.

    “Tekanan jiwa yang dipikul oleh semua rakyat amatlah berat. Ramai yang kehilangan ahli keluarga, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa, yang dengan tiba-tiba jadi yatim piatu, kehilangan ketua rumah, kehilangan kawan dan keluarga.

    “Penderitaan mereka amatlah teruk sehingga ada yang bunuh diri,” katanya lagi.