SEORANG warga emas maut manakala dua rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine di Kilometer 66 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Durian, di Kuala Krai hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohamad berkata, lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi itu turut patah kaki kanan akibat kemalangan pada pukul 9.30 pagi itu, dan polis turut menemukan pelbagai jenis mercun di dalam kereta Perodua Myvi berkenaan.
“Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta Proton Waja dari arah Kuala Krai ke Machang.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta Proton Waja, Mohamad Umar, 70, berasal dari Kampung Padang Nenas Belanga, Kuala Krai maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala dua penumpang lelaki berusia 20 dan 50 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1967,” katanya. – BERNAMA
SEORANG anggota penguat kuasa dan seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 5.3 kilogram, pada awal bulan ini.
Tertuduh, Ahmad Fadhil Ghazali, 34, dan rakannya, Mohamad Firdauz Ishak, 29, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini.
Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Menurut kertas pertuduhan, Ahmad Fadhil dan Mohamad Firdauz didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 5,377.32 gram di Forest City, Iskandar Puteri pada jam 9 malam, 6 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Mei ini untuk menunggu keputusan laporan kimia.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.
Difahamkan, kedua-dua tertuduh itu merupakan antara ahli sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan polis pada 15 Mac lalu, melibatkan penahanan sembilan penguat kuasa dalam serbuan berasingan di sekitar Johor dan Putrajaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjual 50 kg dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka yang cuba diseludup oleh sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia.
Tindakan sepasang kekasih melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga melanggar beberapa buah kenderaan lain seperti video yang tular malam tadi mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan.
Ketus Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shahriman Ashari berkata, lelaki berusia 42 dan pasangannya berusia 34 tahun itu ditahan dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di Jalan Padang Matsirat.
“Sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi dibantu kenderaan peronda polis (MPV) semasa dalam tugas Ops Tapis pada mulanya ternampak sebuah kereta jenis Toyota Avanza di tepi jalan berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Menyedari kehadiran pasukan polis, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu bertindak memecut dan telah melanggar beberapa kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahriman berkata, kenderaan pasangan kekasih tersebut seterusnya menghala ke Jalan Padang Matsirat dan ekoran itu berlaku kejadian kejar mengejar sehingga kenderaan tersebut dipandu melawan arus lalu terbabas ke dalam parit di tepi jalan tempat kejadian.
Katanya, pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek tidak menjumpai barang yang salah.
“Ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin manakala wanita itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; dan Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau.
POLIS Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat George Town bulan lepas, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing ADUN itu diserahkan pada 3 Feb lepas.
“Setakat ini kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudah pun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.
Pada 13 Jan lepas, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.
Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah. – BERNAMA
POLIS Pulau Pinang menahan seramai tiga warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pil kuda dan merampas 90,000 biji pil kuda bernilai RM900,000.
Turut dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Jelutong, Georgetown semalam dan kelmarin itu adalah dadah jenis syabu bernilai RM69,500 dan 27,000 pil jenis psikotropik (RM9,000).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 34 hingga 47 tahun dan bekerja sebagai kontraktor binaan manakala suspek wanita merupakan teman wanita salah seorang suspek lelaki berusia 36 tahun.
Katanya, salah seorang suspek telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu serta mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai sudah aktif mengedar pil serta dadah berkenaan sejak Mac tahun lalu.
“Kita percaya pil psikotropik yang dirampas adalah untuk dijual kepada buruh di tapak pembinaan kerana pil itu dapat membantu mengatasi masalah tidur dan kemurungan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhan rampasan berjumlah RM82,550.
Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan kelmarin dan semalam juga, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 53 tahun di Kubang Semang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran ganja.
Jelasnya, polis turut menjumpai tiga ketulan mampat plastik lutsinar disyaki ganja seberat 950 gram bernilai RM2,375 di kediaman suspek yang bekerja sebagai buruh dan petani.
“Selain itu, kita turut merampas wang tunai bernilai RM181,000 di rumah suspek dan risikan mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek dalam dua kes tersebut ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama tujuh hari bermula semalam.
SEORANG pesara tentera yang digelar ‘Dr Ganja’ diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, atas 39 pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan itu.
Mahkamah menetapkan tarikh pada 7,8,13 dan 18 April, untuk tertuduh membela diri.
Mengikut pertuduhan, Amiruddin didakwa atas 16 pertuduhan mengedar ganja dengan anggaran berat 77.48493 kilogram dan 14.647 liter, mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh atas 18 pertuduhan menanam pokok ganja mengikut Seksyen 6B(1)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam kali sebatan.
Amiruddin turut menghadapi empat pertuduhan memiliki ganja dan satu pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang pada 12.30 tengah hari, 26 Mei 2017.
Seramai 17 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 8 April 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin dan tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani. – BERNAMA
SEORANG lelaki yang dipercayai telah memenggal kepala ibunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, pertengahan bulan ini.
Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, yang merupakan penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan forensik.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohamed Azam didakwa membunuh Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi hingga 6.08 petang pada 15 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon manakala tertuduh diwakili peguam Naim Mahmud.
Terdahulu, Naim memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.
Roslizi berkata, permohonan tersebut perlu dibuat di Mahkamah Tinggi apabila kes tersebut dipindahkan ke mahkamah itu.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di sebuah rumah dan polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu.
Laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina. – BERNAMA
POLIS menahan 40 lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dan tokan dadah dalam serbuan Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga kawasan Felda sekitar Tampin, pada Jumaat lepas dan semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua mereka yang berusia 27 hingga 65 tahun ditahan di Felda Bukit Jalur, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4.
“Polis turut merampas dadah jenis heroin dianggar seberat 99 gram dan syabu seberat 17 gram keseluruhannya dianggar bernilai RM6,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati 12 daripada mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952.
Katanya, kesemua mereka kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – BERNAMA
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, kononnya minumannya telah dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan baru-baru ini di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Kita telah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga telah membuat laporan polis mendakwa ada yang telah memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.
“Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Ayob Khan berkata, siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis.
Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin, kerana disyaki positif dadah.
ADUN DAP itu berkata, sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan, beliau telah membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan. – BERNAMA
MALANG tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 28 tahun yang diserang sekumpulan lelaki warga tempatan selepas berhibur bersama teman wanitanya, di sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Dis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, seramai enam individu memukul mangsa yang merupakan pemandu e-hailing sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘Blunt Force Trauma to The Head’ pada 30 Dis lalu, selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sebelum kejadian itu berlaku, telah terjadi isu salah faham membabitkan teman wanita mangsa bersama kesemua suspek yang terlibat.
“Menurut teman wanita mangsa yang merupakan saksi kejadian terbabit, dia bersama mangsa berada di dalam kereta di tempat letak kereta berkenaan, dan mereka melihat kesemua suspek dari dalam pusat hiburan menghampiri dan bertindak membuka pintu kereta milik mangsa.
“Kesemua suspek menarik keluar mangsa dari kenderaan dan memukul mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan yang parah, dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Eng Lai berkata, pihaknya bersama bahagian D9 ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, berjaya menahan kesemua individu terbabit di dalam beberapa siri serbuan di lokasi yang berbeza.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Jan depan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Sementara itu, lima wanita antara 15 warga tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual dan memproses pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM300,000 di sekitar ibu kota, Selasa lepas.
Eng Lai berkata, suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Jalan Ipoh, Jinjang, Jalan Kuching dan Cheras Awana.
Beliau berkata antara lain, polis merampas lebih 5 kilogram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kanabis seberat 745.69 gram (g), pil eramin 5 (173.64 g), pil ekstasi (30.42 g), ketamin (0.99 g) dan syabu (0.94 g).
“Turut ditemukan makmal mini pemprosesan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar kawasan Jalan Ipoh.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lapan daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol dan Ketamin serta tiga lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya
Eng Lai berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari hingga 11 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat sebagai sumber bekalan,” katanya. – BERNAMA