LABEL ‘tiga jahanam’ yang dilemparkan oleh Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman kepada pucuk pimpinan PAS adalah keterlaluan.

Memetik laporan Malaysiapost, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelaran itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya menolak kenyataan tersebut (yang) saya anggap melampau, kita (sepatutnya) hormati hak parti-parti politik tak boleh kita label, kita letak istilah-istilah.

“Bagi saya itu hak parti PAS dan parti lain tak perlu campur, tak perlu kita label yang begitu yang saya rasa tidak begitu manis, budaya orang Melayu pun saya rasa tidak tepat,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Melaka, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 Sabtu lalu, Zawawi ketika membahaskan ucapan dasar Presiden menegaskan, UMNO Kelantan menolak kerjasama dengan PAS selagi terdapat tiga pemimpin parti berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘tiga jahanam’ yang bermulut jahat.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan itu ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muafakat Nasional (MN) yang menyaksikan kerjasama antara UMNO dan PAS bakal berkubur ekoran sikap angkuh dan sombong pemimpin UMNO.

Kedua-dua parti terbesar Melayu dan Islam itu telah bertembung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here