Tag: dadah

  • Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    SEORANG wanita cedera ditumbuk suaminya yang mengamuk setelah ditegur mangsa kerana membawa rakan menghisap dadah di rumah mereka dalam kejadian di Matang Jaya dekat Padawan Sarawak, Ahad lalu.

    Wanita itu mengalami pendarahan pada mata kiri dan lebam pada kepala susulan insiden berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari, di rumah yang disewa mereka.

    “Ketika kejadian wanita berusia 23 tahun itu menegur suaminya membawa rakan datang ke rumah untuk menghisap dadah sehingga rakan suspek balik (keluar dari kediaman terbabit).

    “Suspek marah dan bertindak agresif menumbuk mangsa berulang-ulang kali di kepala sehingga mengalami kecederaan,” katanya lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan suspek yang berusia 26 tahun di rumah sewa terbabit, kelmarin.

    Katanya, suspek yang juga penganggur itu kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    POLIS Kontinjen Johor mengesahkan seorang pegawai kanan polis dan dua pegawai rendahnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan selari sedang dijalankan Jabatan Pematuhan Standard (JIPS) bersama pihak SPRM.

    “Polis Johor mengesahkan tangkapan yang dibuat oleh SPRM membabitkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis, semalam.

    “Siasatan selari oleh JIPS bersama SPRM sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

    Memetik sumber, kesemua lelaki berusia 36 hingga 54 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

    Difahamkan, penahanan dibuat selepas mereka yang berpangkat Asisten Superintendan dan Sarjan terbabit hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, pukul 2 petang kelmarin dan 11 pagi semalam.

    Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital di negeri ini.

    Sumber dilaporkan berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, 10 pegawai kanan dan 33 pegawai JSJN seluruh daerah di Johor terbabit merasuah patologi sejak 2018 sehingga 2022.

    Katanya, setakat ini, 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberi jamin SPRM.

    Tangkapan tiga pegawai dan anggota polis itu oleh SPRM turut disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

    Pengarah JIPS Datuk Seri Azri Ahmad pula dipetik berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST) selari tangkapan berkenaan.

  • Lelaki OKU didakwa tembak polis, miliki senjata api, dadah

    Lelaki OKU didakwa tembak polis, miliki senjata api, dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas tujuh pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas polis.

    Tertuduh, Muhammad Firdaus Paiman, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sazlina Shafie.

    Muhammad Firdaus yang juga berstatus duda, didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela, Pengerang kira-kira jam 1 pagi pada 10 Mei lalu.

    Bapa dua anak itu juga didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9 milimeter tanpa lesen senjata yang sah pada lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

    Muhamad Firdaus turut didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata yang sah di Felda Tunggal, Pengerang kira-kira pukul 2.30 pagi 10 Mei lalu.

    Bagi pertuduhan memiliki pistol dan senapang patah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan juga sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

    Sementara pertuduhan memiliki senapang angin dan peluru pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sazlina kemudiannya menetapkan tarikh 15 Jun 2023 bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.

    Sementara itu, Muhamad Firdaus turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tiga pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas seorang anggota polis.

    Tertuduh didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd. Shafiq Nazrin Razali yang cuba menangkapnya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang, pukul 3.35 petang, 7 Jun 2016.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

    Tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.44 gram dan kanabis seberat 0.90 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi pukul 1 pagi pada 10 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Muhamad Firdaus turut didakwa di bawah Seksyen 6 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Rashidah Baharom menetapkan 6 Julai untuk sebutan kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Majistret Pengerang.

  • Dadah RM4.5 juta dirampas dari dalam kereta, kondominium

    Dadah RM4.5 juta dirampas dari dalam kereta, kondominium

    POLIS merampas dadah seberat 123.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan menahan seorang lelaki disyaki pengedar dalam operasi khas di Cheras dan Selangor pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Cheras, dan selepas diperiksa polis menemukan 114 kg dadah jenis syabu di dalam kereta jenis Toyota Vellfire milik suspek.

    Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah kondominium di Ampang yang disewa suspek pada 15 April, dan hasil pemeriksaan pihaknya merampas 1.8 kg ekstasi; 1.3 kg eramin 5; 3 kg ketamin dan 3.1 kg syabu.

    “Ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan itu sebagai pendapatan utama.

    “Polis percaya suspek mendapatkan bekalan dadah dari utara Semenanjung dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Yahaya berkata modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah “gated and guarded” dan kereta mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu untuk menampung penggunaan seramai 750,000 orang. Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Tangani masalah dadah di peringkat akar

    Tangani masalah dadah di peringkat akar

    Nampaknya ‘pencapaian’ Malaysia sebagai pusat transit dadah antarabangsa dadah akan terus kekal sampai bila-bila apabila kes-kes penyeludupan barang terlarang itu masih aktif dilakukan sehingga kini.

    Terbaru, pihak berkuasa Australia telah merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

    Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorokkan dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kilogram.

    Adalah amat mengaibkan apabila dadah sebanyak itu boleh terlepas daripada pemeriksaan pihak berkuasa negara ini sedangkan negara kita memiliki sistem pemeriksaan canggih di sempadan negara.

    Untuk rekod pada tahun 2021, pihak AFP telah menahan seorang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup 450kg dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara itu.

    Dadah berkenaan ditemui dalam kapal membawa jubin seramik yang tiba dari Malaysia pada 29 September dan AFP mengisytiharkan kes itu merupakan jumlah rampasan terbesar bagi Australia pada tahun itu.

    Mengambil iktibar kes itu, sudah pasti pihak berkuasa Australia akan melakukan pemeriksaan yang amat ketat terhadap barang yang dibawa masuk ke negara itu dari Malaysia termasuklah kemasukan rakyat negara ini.

    Negara dan rakyat kita juga sentiasa dilabelkan sebagai ‘sasaran’ penting yang perlu diberi perhatian serius setiap kali ke Australia dan ia bukanlah satu ‘label’ yang patut dibanggakan.

    Apabila bercakap soal dadah ini, Tok Chey lihat negara kita sudah berada pada tahap yang teruk apabila usaha untuk memerangi penyeludupan, pengedaran dan penggunaan belum menampakkan kejayaan.

    Kes-kes penyeludupan dadah ke negara ini juga boleh dikatakan berlaku dengan aktif sekali seperti yang dilaporkan media-media tempatan.

    Bagi kes-kes yang terlepas daripada tangkapan, kita tidak tahu berapa banyak dan mungkin jumlahnya melebihi nilai yang berjaya dihidu oleh pihak berkuasa di pintu-pintu sempadan negara.

    Atas sebab itulah kita dapat lihat jumlah penagih di negara ini tidak surut-surut walaupun pelbagai langkah pencegahan dilakukan pelbagai agensi.

    Misalnya pada tahun lalu, jumlah penagih mencatatkan peningkatan kepada 130,000 orang yang aktif dan daripada jumlah itu, 53, 079 penagih lelaki dan 2,881 adalah wanita telah ditangkap oleh pihak polis.

    Jumlah itu boleh meningkat dengan mendadak jika kita masih leka tidak mengambil langkah lebih agresif untuk menanganinya kerana pada era maju ini, penagihan dadah dengan mudah meresap dalam kalangan pelajar sekolah.

    Ia berikutan mereka dengan mudah terjebak dengan gejala itu apabila mula berjinak-jinak dengan vape yang mengandungi perasa seperti ganja dan sebagainya.

    Isu ini cukup penting bagi Tok Chey kerana di kampung tempat tinggal Tok Chey sendiri gejala penagihan anak muda adalah cukup serius di mana jumlah penagih dalam kalangan remaja makin kronik.

    Bahkan ramai yang sudah meninggal kerana mengidap HIV disebabkan perkongsian jarum sesama penagih dadah.

    Isu itu juga seperti tiada penghujung selagi bahan terlarang itu mudah didapati penagih daripada tokan-tokan dadah yang licik.

    Tok Chey amat berharap kerajaan ketika ini dapat mencari solusi berkesan untuk memburu pengedar-pengedar ini daripada terus merosakkan anak bangsa kita yang seterusnya boleh meruntuhkan negara.

    Sekiranya tiada usaha untuk menggempur tokan-tokan dadah itu, selagi itulah masalah pencegahan dadah tidak akan berjaya kerana masalah ini perlu ditangani di peringkat akarnya.

  • PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin. – BERNAMA

  • Tukang rumah ditahan miliki senapang patah, dadah

    Tukang rumah ditahan miliki senapang patah, dadah

    POLIS menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri, peluru hidup dan 60 biji pil kuda dalam kereta di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, Kuala Krai, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.30 malam, anggota yang bertugas di SJR menahan kereta Perodua Alza dipandu suspek yang bekerja sebagai tukang rumah dari arah Pasir Kelang menghala ke tempat kerjanya di Gua Musang.

    “Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menemukan selaras senapang patah, 32 butir peluru hidup jenis bore 12 dan 60 biji pil kuda yang dipercayai untuk dijual kepada penagih dadah.

    “Selain itu, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku senapang patah yang dimilikinya itu adalah buatan sendiri dan menggunakannya untuk memburu binatang di hutan sejak April 2022 sehingga sekarang,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di Kuala Krai, hari ini.

    Mengulas lanjut, Suzaimi berkata, suspek turut mengaku membeli peluru hidup melalui kenalannya yang juga warganegara Thailand di sempadan Rantau Panjang-Golok.

    “Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 24 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 15(1)(A) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960,” katanya.

  • Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    KISAH benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Menceritakan pengalamannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

    Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh pihak polis.

    “Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau… rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah,” katanya.

    Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

    Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

    “Terutama ‘soft drug’, bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Syahredzan Johan (PH-Bangi), dalam perbahasannya, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai supaya dilakukan persempadanan semula.

    Menjadikan Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu sebanyak 300,000 pengundi sebagai contoh, Syahredzan berkata saiz Parlimen ‘mega’ itu memberi kesan kepada nilai undi seseorang pengundi.

    Persidangan dewan bersambung Isnin ini.- BERNAMA

  • Tiga pelajar IPTS ditahan miliki ganja hampir 1kg

    Tiga pelajar IPTS ditahan miliki ganja hampir 1kg

    POLIS menahan tiga pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur dan merampas dadah jenis ganja seberat hampir sekilogram dalam serbuan berasingan Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam serbuan pertama pada 12.15 tengah malam di asrama lelaki IPTS berkenaan, pihaknya menahan dua pelajar dan merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggar seberat 34.3 gram dalam sebuah bekas plastik.

    Beliau berkata susulan tangkapan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua 15 minit kemudian di unit yang lain di asrama berkenaan dan menahan seorang lagi pelajar serta merampas tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 868.7 gram.

    “Ketiga-tiganya berusia lingkungan 20-an. Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) namun tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya.

    Menurut Wan Azlan, dua daripada mereka direman hingga hari ini manakala seorang lagi hingga 10 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.36 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 123 kilogram (kg), syabu (0.5 kg), 18 botol berisi serbuk dadah (301 gram), pil ekstasi (21 gram) dan ganja (13.8 gram) serta tiga mesin memproses dadah.

    “Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 123 kilogram bernilai RM6.38 juta yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dadah di dalam makmal haram serta mengedar dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM10,000 dan dua kenderaan disita.

    Menurutnya suspek menyewa premis berkenaan di bawah nama syarikat lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Anbalagan berkata suspek disyaki aktif dalam penjualan dadah sejak setahun lepas selain turut memproses dadah dan menjadi ‘runner’.

    Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 seminggu bagi 50,000 biji pil erimin yang diprosesnya.

    “Polis percaya ada lagi rakan suspek yang masih bebas mengendalikan sindiket berkenaan,” katanya menambah suspek direman tujuh hari hingga esok mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA