Tag: Anuar Ahmad

  • RMK-12: Tumpuan bagi sektor pendidikan negara

    RMK-12: Tumpuan bagi sektor pendidikan negara

    Oleh DR ANUAR AHMAD

    RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan merupakan asas penting kepada hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun akan datang. Oleh itu, sektor pendidikan pastinya akan menjadi salah satu sektor utama kepada fokus RMK-12.

    Teras utama RMK-12 dalam sektor pendidikan ialah menyediakan akses pendidikan yang berkualiti untuk murid-murid di seluruh negara secara adil dan saksama.

    Tiga fokus utama sektor pendidikan yang sepatutnya diberikan perhatian khusus dalam RMK-12 adalah:

    (1) pemulihan semula sistem pendidikan negara pasca pandemik;
    (2) mmperkasakan pendidikan digital; dan
    (3) pengukuhan latihan keguruan.

    Selepas dua tahun dilanda pandemik Covid-19, sistem pendidikan negara berhadapan dengan situasi ‘kelumpuhan sistem persekolahan’ apabila sekolah telah ditutup lebih 250 hari. Malah Malaysia adalah segelintir negara yang telah menutupi sesi persekolahan paling lama di dunia sepanjang tahun 2020 dan tahun 2021.

    pendidikan
    Gambar hiasan: Carian internet

    Akibat penutupan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang disahkan oleh Kementerian Pendidikan kurang berkesan, didapati ramai murid-murid telah berada di dalam keadaan keciciran pembelajaran bagi satu tempoh masa yang panjang.

    Selain itu ketiadaan peranti pada lebih 1.85 juta murid-murid seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan juga telah meningkatkan lagi kadar keciciran pembelajaran murid-murid di seluruh negara.

    Selain isu keciciran pembelajaran yang besar, murid-murid juga berhadapan dengan isu kesihatan mental akibat pandemik yang telah menggugat kehidupan keluarga mereka. Ramai ibu bapa yg kehilangan pekerjaan dan terputus pendapatan untuk menyara ahli keluarga.

    Kesan kesihatan mental paling buruk ialah pada murid-murid dalam kalangan keluarga B40. Kajian juga menunjukkan mereka telah hilang motivasi pembelajaran.

    Oleh itu, RMK-12 sepatutnya memberikan tumpuan kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Pendidikan negara bagi memastikan semua murid-murid negara ini kembali belajar dan dapat menamatkan alam persekolahan mereka.

    Kedua, agenda pendidikan masa depan ialah pendidikan berasaskan digital. Persediaan prasarana Internet di seluruh negara dan pemilikan peranti adalah keperluan utama kepada pendidikan digital.

    RMK-12 seharusnya memberikan fokus kepada pelan penyediaan infra digital bagi memastikan semua murid-murid berpeluang untuk akses kepada pendidikan digital. Persekitaran endemik juga menyebabkan pembelajaran akan menjadi hibrid dan tidak lagi seperti sebelum pandemik.

    Apa yang sedang berlaku di negara lain seperti di Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom di mana sekolah mereka yang telah dibuka kemudian terpaksa ditutup beberapa hari bila berlaku kes baru di sekolah perlu diberikan perhatian. PdPR akan menjadi sebahagian amalan ketika fasa endemik nanti.

    Seterusnya, RMK-12 juga mestilah memberikan galakan kepada syarikat teknologi maklumat tempatan dan sektor industri digital kreatif swasta dengan insentif dan geran untuk menghasilkan mereka bahan bahan pembelajaran digital untuk digunakan oleh murid-murid.

    Che Nur Qistina Damia Che Shahrul Izwan,11, mengikuti sesi pembelajaran di rumah (PdPR) secara online menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci, Pantai Dalam. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ketiga, latihan keguruan pasti akan berubah pada masa depan. Guru-guru pada masa depan perlu mempunyai kemahiran kemahiran pengajaran berteraskan digitalisasi.

    Keupayaan guru-guru bukan lagi sekadar sebagai pengajar di dalam bilik darjah semata-mata tetapi mereka adalah pembimbing dan fasilitator pembelajaran digital yang sifatnya lebih terbuka.

    Oleh itu, RMK-12 perlu memberikan peruntukkan yang lebih besar kepada latihan keguruan kerana tanpa guru-guru yang mahir, matlamat menghasilkan murid-murid yang menguasai kemahiran teknologi dan pengetahuan masa depan sukar dicapai.

    Pada masa yang sama, tumpuan RMK-12 juga tidak boleh meminggirkan agenda malar pendidikan seperti menyelesaikan segera isu prasarana sekolah daif, pemerkasaan TVET, isu perpaduan-integrasi kaum dan isu meningkatkan aktiviti penyelidikan pendidikan.

    Agenda malar pendidikan ini adalah kesinambungan dari Rancangan Malaysia sebelum ini dan mestilah diteruskan di dalam RMK-12.

    Penulis ialah Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

  • Persiapan buka sekolah mesti menyeluruh, inklusif

    Persiapan buka sekolah mesti menyeluruh, inklusif

    Oleh DR ANUAR AHMAD

    ISU pembukaan sekolah nampaknya sudah hampir selesai bila program vaksinasi PICK kepada murid-murid sekolah telah bermula minggu ini.

    Dijangkakan sebahagian besar murid-murid yang layak mendapat vaksin, akan menerima sekurang-kurangnya satu dos sebelum sesi sekolah dibuka pada 3 Oktober nanti.

    Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, isu pembukaan sekolah adalah isu kesihatan dan vaksinasi dan bukan isu pendidikan. Bila murid-murid telah selesai divaksinkan maka sekolah boleh mula dibuka.

    Memang benar vaksin bukan jaminan 100 peratus yang murid-murid tidak akan dijangkiti Covid-19. Kajian kesihatan menunjukkan risiko dijangkiti tetap ada.

    Tetapi data perubatan juga menunjukkan tahap kesan jangkitan pada individu yang telah lengkap divaksinkan adalah lebih ringan, tidak bergejala atau hanya sedikit bergejala.

    pelajar perkara penggiliran murid sekolah
    ANUAR AHMAD

    Peratus yang sangat tinggi menunjukkan kesan jangkitan tidak sampai ke tahap yang memudaratkan kesihatan individu berbanding tanpa vaksin.

    Oleh kerana itu, selain program vaksinasi, penambahbaikan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal akan menjadi ‘perisai kedua’ selepas suntikan vaksin.

    Jika garis panduan SOP penjarakan fizikal jelas, praktikal, menyeluruh dan dipatuhi secara baik oleh murid-murid, guru-guru, pekerja sekolah dan ibubapa maka tahap penularan Covid-19 akan dapat diminimakan apabila sekolah dibuka nanti.

    Sebab itu, pada saya isu pembukaan sekolah sudah tidak timbul lagi. Yang penting sekarang adalah memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan penyediaan kandungan patuh SOP untuk sekolah .

    Malah pembukaan sekolah mengikut fasa-fasa PPN juga sebenarnya sudah tidak perlu lagi. Jika lengkap vaksinasi maka sekolah di kawasan atau daerah yang kadar kes jangkitan adalah rendah sekolah sudah boleh dibuka secara pergiliran mengikut tahun atau tingkatan.

    Isu seterusnya yang lebih utama dan harus diteliti oleh Kementerian Pendidikan (KPM) adalah ISU KECICIRAN PEMBELAJARAN dan ISU KESEJAHTERAAN DAN KEBAJIKAN murid-murid.

    Apabila sekolah ditutup sejak tahun lalu, KPM melaporkan 1.85 juta murid-murid tidak dapat meneruskan pembelajaran secara dalam talian kerana tiada peranti. Sebahagian kecil daripada mereka telah dibantu oleh guru-guru secara nota edaran dan sebagainya.

    Tetapi kita juga tahu ramai murid-murid yang tidak dapat meneruskan pembelajaran secara berkesan melalui PdPR. Kajian oleh pengkaji Fakulti Pendidikan UKM pada bulan Julai 2020 dan Laporan UNICEF Malaysia pada April 2021 menunjukkan ramai murid-murid yang tidak dapat meneruskan pembelajaran PdPR kerana faktor kemiskinan dan lokaliti mereka di kawasan pedalaman.

    Mereka telah mengalami hilang motivasi dan keciciran pembelajaran. Ini telah menyebabkan wujud jurang pembelajaran (learning gap) antara murid-murid di negara ini semakin melebar. Khususnya di kalangan murid-murid dari keluarga berpendapatan tinggi dan rendah.

    KPM nampaknya sedar isu keciciran pembelajaran ini dan telah diumumkan mulai Januari hingga Mac 2022 adalah tiga bulan untuk program intervensi keciciran pembelajaran.

    Cuma sehingga ini kita masih belum jelas apakah bentuk intervensi yang akan dilakukan, adakah secara berpusat atau akan diserahkan kepada pihak PPD dan sekolah untuk mengaturkan program intervensi ini, kita masih belum dimaklumkan. Mungkin masih dalam perbincangan di peringkat KPM.

    Sebaiknya, KPM menyediakan garis panduan yang jelas dan senarai KPI intervensi untuk PPD dan sekolah membangunkan program intervensi mengikuti keperluan lokaliti masing-masing.

    Keduanya, isu kebajikan murid-murid. Kita tahu selepas hampir dua tahun dilanda pandemik banyak pengalaman buruk yang dilalui oleh murid-murid. Ada murid-murid yang kehilangan ibubapa, saudara mara, adik beradik dan mungkin mereka sendiri dijangkiti Covid-19.

    Ramai ibu bapa yang telah kehilangan pekerjaan. Kes kesihatan mental, kemurungan dan tekanan emosi di kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat berkali ganda sepanjang tempoh pandemik.

    Pengumuman pembukaan sekolah bukan hanya fokuskan kepada soal menguruskan akademik semata-mata. Sepatutnya pembukaan sekolah juga memberikan keutamaan terlebih dahulu kepada isu kebajikan dan kesejahteraan murid-murid.

    Penting untuk sekolah memulihkan kembali psikologi murid-murid dan motivasi pembelajaran mereka sebelum memulakan sesi pembelajaran. Begitu juga memastikan kebajikan pembelajaran seperti peralatan pembelajaran disediakan oleh KPM dan program makanan tambahan dapat diteruskan secepat mungkin.

    Kita juga tahu tidak semua murid-murid akan ke sekolah mulai 3 Oktober nanti jika menggunakan model pembukaan sekolah yang telah dibentangkan KPM.

    Secara umum, jika menggunakan model pembukaan sekolah KPM secara berfasa didapati hanya 30 peratus sahaja murid-murid akan kembali ke sekolah secara berperingkat.

    Manakala 70 peratus akan kekal belajar secara PdPR berperingkat sehinggalah semua negeri masuk ke fasa empat. Selain itu, ramai ibu bapa yang nampaknya masih belum bersedia untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atas faktor keselamatan.

    Maksudnya bilangan murid-murid yang masih belum dapat ke sekolah mulai 3 Oktober nanti adalah lebih ramai berbanding yang akan ke sekolah. Oleh itu, penambahbaikan program PdPR masih diperlukan buat masa sekarang sehinggalah semua sekolah dibuka semula.

    Program pemberian peranti seperti yang dijanjikan oleh KPM mestilah diteruskan. Sokongan KPM pada pelaksanaan PdPR oleh guru-guru juga masih perlu dikukuhkan. Kebimbangan kita ialah ketika transisi kepada pembukaan sekolah, aktiviti PdPR akan mula dikesampingkan.

    Sistem pendidikan negara kita telah mengalami pengalaman yang buruk sepanjang pandemik berlaku. Malaysia adalah antara negara yang paling lama menutup sekolah di dunia.

    Walaupun PdPR telah dilaksanakan, tahap keberkesanan pembelajaran melalui PdPR sering dipertikaikan. Ini menjawab kepada mengapa KPM beberapa kali mengumumkan pembukaan sekolah sejak Mac 2021 yang lalu.

    Tentunya tidak cukup sekadar umumkan pembukaan sekolah pada 3 Oktober nanti. KPM perlu ada persiapan yang lebih menyeluruh dan inklusif. KPM mesti mempunyai Pelan Pemulihan Pendidikan Negara secepat mungkin.

    Pelan Pemulihan Pendidikan Negara ini akan menjadi asas dan panduan untuk seluruh kementerian, agensi, sekolah, ibu bapa dan ahli-ahli masyarakat bersatu memulihkan semula sistem pendidikan negara kita.

    Buat masa ini seluruh negara masih menunggu-nunggu Pelan Pemulihan Pendidikan Negara dari KPM.

    Penulis ialah pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Buat penggiliran ikut tahun atau tingkatan

    Buat penggiliran ikut tahun atau tingkatan

    Oleh DR ANUAR AHMAD

    TAHNIAH diucapkan kepada Menteri Kanan Pendidkan, Datuk Dr Radzi Jidin dan pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah membentangkan satu pelan pembukaan sekolah yang menyeluruh, teratur dan mencakupi sebahagian besar hal ehwal operasi pembukaan sekolah secara berperingkat bermula 3 Oktober nanti.

    Beberapa ketetapan yang dibuat dilihat telah dapat meringankan bebanan ibubapa seperti tidak ada keperluan memakai uniform sekolah dan ibu bapa juga mempunyai pilihan sama ada untuk menghantar anak-anak ke sekolah atau sebaliknya.

    Begitu juga pemakluman berkaitan kadar vaksinasi guru dan pekerja sekolah yang telah melebihi 90 peratus pasti akan menenangkan kebimbangan ibu bapa.

    Umumnya, pelan ini dilihat lebih baik dan lebih bersedia berbanding pelan pembukaan sekolah pada bulan April 2021 yang lalu.

    Antara perkara utama yang telah diperkenalkan dalam pelan ini adalah sistem penggiliran kehadiran murid-murid bagi tujuan mengehadkan hanya 50 peratus sahaja murid hadir pada satu-satu masa ke sekolah.

    Walau bagaimanapun, pendekatan memecahkan kelas kepada dua kumpulan murid dilihat akan menambahkan beban tugas pengajaran guru.

    Ini pastinya akan menimbulkan kekangan kepada para guru untuk merancang pembelajaran dan memastikan silibus mata pelajaran dapat diselesaikan.

    Kaedah penggiliran yang lebih sesuai adalah dengan membenarkan murid-murid datang ke sekolah mengikut tahun atau tingkatan.

    Misalnya hanya murid tingkatan empat dan tingkatan lima sahaja hadir pada minggu pertama manakala pelajar tingkatan satu hingga tiga dibenarkan hadir pada minggu yang kedua.

    Penyusunan semula fizikal kelas boleh dilakukan untuk memastikan penjarakkan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi.

    Menteri Kanan Pendidikan juga tidak menjelaskan tentang keputusan terkini berkaitan program vaksinasi murid-murid sama ada akan diberikan keutamaan kepada murid kelas peperiksaan.

    Ini sebenarnya adalah persoalan pokok yang dinantikan oleh para ibu bapa. Tanpa vaksinasi lengkap, para ibu bapa pasti akan keberatan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah bermula 3 Oktober nanti.

    Penulis ialah Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Kementerian Pendidikan perlu utamakan 3 perkara penting

    Kementerian Pendidikan perlu utamakan 3 perkara penting

    KEMENTERIAN Pendidikan seharusnya memberi keutamaan terhadap tiga perkara penting dalam masa 100 hari pertama di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

    Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, bagi perkara pertama, data dan sains mestilah menjadi hujah dalam membuat semua keputusan dasar pendidikan dan bukan lagi sekadar hujah politik.

    Menurut beliau, setiap keputusan mestilah disokong dengan data kajian dan pandangan pakar berwibawa.

    “Walaupun keputusan mungkin tidak popular tidak mengapa, asalkan keputusan tersebut dibolehkan diyakini, tepat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas pembentukan Kabinet baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

    Menyentuh tentang perkara kedua, Anuar menambah, Kementerian Pendidikan perlu melibatkan lebih ramai pakar pendidikan dan pakar kesihatan dalam sesi perbincangan dasar kementerian sebelum membuat keputusan.

    Beliau memberitahu, langkah itu bertujuan supaya pertimbangan lebih menyeluruh dan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terkesan dalam sektor pendidikan.

    Perkara ketiga, kata Anuar, Kementerian Pendidikan perlu melibatkan secara aktif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan khususnya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dalam sesi merumuskan keputusan KPM.

    Menurut beliau, dengan cara itu, rakyat dapat melihat usaha kebersamaan yang erat antara Kementerian Pendidikan dengan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.

    Anuar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Kanan Pendidikan.

    “Pelantikan ini adalah diperlukan dalam keadaan semasa bagi memastikan semua perancangan dan keputusan Kementerian Pendidikan yang telah dibuat sebelum ini dapat diteruskan dengan segera khususnya persediaan pembukaan sekolah pada 3 Oktober 2021.

    “Semoga semua perancangan Kementerian Pendidikan yang telah dirancang sebelum ini dapat digerakkan dengan segera demi kebaikan pendidikan anak-anak kita,” jelasnya.