Category: Umum

  • Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini – MetMalaysia

    Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini – MetMalaysia

    FASA peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept ini dan sehingga awal November menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 19 Mei lepas. 

     Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk  ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

    “Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya. 

    Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia. 

    Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di nombor 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut, katanya. – BERNAMA

  • Tiada pembalakan sekitar lokasi bencana kepala air Jerai

    Tiada pembalakan sekitar lokasi bencana kepala air Jerai

    KERAJAAN mengesahkan tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan Jerai di mana fenomena kepala air berlaku baru-baru ini.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda di Kedah sejak tiga tahun lalu.

    Menurut beliau, kawasan seluas 25,000 hektar diluluskan bagi tujuan usaha hasil pembalakan bagi tempoh 2014 hingga 2019, namun kawasan itu sebenarnya tidak diganggu dengan aktiviti pembalakan.

    “Jerai ialah kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Geopark Kebangsaan pada 2018, maka aktiviti pembalakan sememangnya tidak dijalankan di kawasan itu.

    “Menyentuh kejadian kepala air itu, saya lihat pokok yang dibawa oleh kepala air turun sekali dengan akarnya dan ini menunjukkan tiada pembalakan di kawasan Jerai. Ini yang kita sebut takdir Allah,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Takiyuddin menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai usaha kerajaan membaik pulih laluan di Jerai yang rosak akibat kejadian kepala air.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai aktiviti pembalakan yang berterusan, Takiyuddin berkata, tiada pelanggaran terhadap catuan tebangan tahunan (CTT) hutan yang boleh diusaha hasil pernah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 2019 dan 2020.

    Beliau menambah, kawasan CTT seluas 39,354 hektar diluluskan tahun lalu namun hanya 22,931 hektar yang diusahakan.

    “Pada 2019, seluas 43,299 hektar CTT diluluskan namun hanya 10, 949 hektar diusaha hasilkan,” jelasnya.

    Takiyuddin memberitahu, ia menunjukkan kerajaan serius dalam memastikan keputusan dibuat dipatuhi oleh setiap negeri.

    Beliau berkata, kementerian memandang serius isu pembalakan haram dan kesalahan hutan yang lain di dalam HSK dan sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 76 kes pembalakan haram di seluruh negara dikenakan tindakan.

    Daripada jumlah itu, katanya, 29 kes pembalakan haram dikesan berlaku di Semenanjung, tiga kes di Sabah dan 44 kes di Sarawak.

    “Selain pembalakan haram, sebanyak 274 kesalahan lain di HSK turut diambil tindakan di seluruh negara,” ujarnya.

  • COVID-19: 4,422 kanak-kanak hilang ibu bapa, penjaga

    COVID-19: 4,422 kanak-kanak hilang ibu bapa, penjaga

    KEMATIAN akibat COVID-19 telah menyebabkan seramai 4,422 kanak-kanak di negara ini kehilangan ibu bapa atau penjaga.

    Daripada jumlah itu, seramai 154 kanak-kanak menjadi yatim piatu.

    Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, jumlah mereka yang juga murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan KPM) direkodkan sejak pandemik COVID-19 melanda awal 2020 hingga 13 September lalu.

    “Daripada jumlah itu, 154 menjadi yatim piatu kerana kehilangan kedua-dua ibu dan bapa.

    “Sehubungan itu, pihak kementerian mengambil inisiatif memberi bantuan dan sokongan bagi menampung keperluan hidup mereka.

    COVID-19

    “Bantuan disalurkan melalui tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak daripada RM150 hingga RM1,000 sekeluarga.

    “Selain itu, kita juga memberikan perkhidmatan kaunseling membabitkan kaunseling individu, berkelompok dan terapi psikologi,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) berhubung isu tersebut.

    Rina menambah, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dan tiada waris atau saudara mara juga boleh ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

  • 86.7 peratus kekosongan guru diisi secara one-off

    86.7 peratus kekosongan guru diisi secara one-off

    SEBANYAK 86.7 peratus kekosongan guru sekolah di seluruh negara telah diisi melalui pengambilan seramai 18,702 guru secara one-off pada Jun lalu.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) tersebut dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa yang mengendalikan lantikan.

    Menurut beliau, calon bagi mengisi kekosongan itu mengutamakan graduan yang mempunyai kelayakan iktisas pendidikan, sama ada dari universiti awam (UA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

    “Berdasarkan data sehingga semalam, ada 21,564 kekosongan guru di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara.

    “Susulan pengambilan ‘one-off’ pada Jun lalu, ada baki 2,862 yang akan diisi menerusi proses lantikan biasa dan dilaksanakan secara berterusan oleh SPP,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai kriteria utama pemilihan guru seramai 18,000 orang dan keperluan sebenar kekosongan warga pendidik di seluruh negara.

  • Pelancongan antara negeri sedang dibincang – Nancy

    Pelancongan antara negeri sedang dibincang – Nancy

    KEPUTUSAN untuk membenarkan gelembung perjalanan pelancongan antara negeri sedang dibincang dan akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

    Beliau berkata langkah itu adalah bagi mempercepatkan pemulihan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

    “Setakat ini selain Langkawi, kita hanya benarkan pelancongan dalam negeri sahaja dan kita faham, kita tidak boleh bergantung kepada pelancongan dalam negeri sahaja untuk membantu pemulihan industri pelancongan negara, oleh itu kita sedang meneliti kebenaran pelancongan antara negeri bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), yang meminta supaya gelembung pelancongan domestik diperluaskan ke seluruh negara dan tidak hanya fokus pada kawasan pulau, bagi membantu pemulihan pemain industri pelancongan negara yang terkesan teruk akibat COVID-19.

    Nancy berkata terdapat beberapa destinasi yang disenaraikan untuk kebenaran pelancongan antara negeri ini termasuk Fraser Hill, Genting Highlands dan destinasi tumpuan yang lain di seluruh negara.

    Mengenai rancangan untuk membuka Pulau Langkawi kepada pelancong luar negara pula, Nancy berkata perkara itu juga sedang dalam perbincangan kementerian itu dengan kementerian dan agensi terlibat lain.

    “Kita sedang susun atur kriteria yang dibenarkan untuk pelancong antarabangsa ini untuk datang selain daripada lengkap vaksin, jika ia sudah diputuskan, kita akan mula buka Pulau Langkawi untuk pelancong antarabangsa,” katanya.

    Setakat ini kerajaan membenarkan pelancongan dalam negeri bagi negeri yang berada di Fasa Dua dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk individu yang telah lengkap vaksin.

    Projek rintis gelembung pelancongan domestik ke Pulau Langkawi pula bermula sejak 16 Sept lepas.- BERNAMA

  • Bekalan vaksin mencukupi bagi program dos ketiga, PICK remaja

    Bekalan vaksin mencukupi bagi program dos ketiga, PICK remaja

    BEKALAN vaksin COVID-19 bagi program pemberian dos ketiga (dos penggalak) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) adalah mencukupi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    “Dari segi bekalan insya-Allah cukup,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran PICK Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8, di sini hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19, selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

    Suntikan ketiga itu memberi keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi meliputi anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi, serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

    Khairy berkata perincian mengenai program dos ketiga akan diumumkan dalam tempoh ‘seminggu dua lagi’.

    Ditanya keperluan pemberian dos penggalak bagi vaksin dos tunggal jenis CanSino, Khairy berkata CanSino telah mengemukakan permohonan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), dengan menyatakan kemungkinan keperluan untuk dos kedua selepas enam bulan individu menerima suntikan.

    Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau data dari negara lain yang menggunakan vaksin CanSino untuk mendapatkan maklumat lanjutan, sama ada dos penggalak diperlukan selepas enam bulan.

    Beliau juga berkata tiada masalah dari segi perolehan vaksin jenis CanSino dan Sinovac untuk dos penggalak, kerana kilang pembotolan berpangkalan di Malaysia.

    Mengenai perancangan pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, Khairy berkata beberapa syarikat telah menghantar maklumat ujian klinikal bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, namun belum ada vaksin yang diluluskan NPRA untuk mereka di bawah 12 tahun.

    Beliau berkata KKM telah berbincang dengan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengenai cara-cara pembukaan tadika dan sekolah rendah, dengan memastikan persekitaran yang selamat.

    Beliau berkata strateginya adalah memastikan semua petugas di tadika dan sekolah rendah termasuk guru, pengendali dan pekerja, lengkap vaksinasi.

    “Itu cara terbaik yang boleh kita lakukan sekarang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan Kementerian Pendidikan, sehingga mendapat kelulusan penggunaan vaksin untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun,” katanya.

    Turut hadir pada pelancaran PICK Remaja itu ialah Radzi dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang juga penyelaras PICK Remaja.- BERNAMA

  • Dron gergasi UTHM pecah rekod angkat muatan 200 kg

    Dron gergasi UTHM pecah rekod angkat muatan 200 kg

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    UNIVERSTI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat terus menempa nama apabila ciptaan dron kargo bersaiz besar yang dikenali sebagai C-Drone dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

    Lebih manis apabila kejayaan sekumpulan penyelidik tersebut menjadi hadiah untuk UTHM yang baru menyambut ulang tahun ke-28 pada Khamis lalu.

    Ketua Projek C-Drone, Profesor Madya Dr Zamri Omar berkata, kejayaan yang diraih dalam MBR itu adalah bagi kategori beban terberat yang boleh diangkat sesebuah dron.

    Jelasnya, pada percubaan rekod penerbangan, C-Drone berjaya terbang dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram.

    “C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ianya adalah daripada jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

    “Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi manakala berat kasarnya pula sekitar 400kg,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Zamri, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu proof of concept (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar yang boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

    Tambahnya, projek yang memakan masa kurang dua tahun itu dijayakan sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang pelbagai bidang kepakaran.

    Mereka turut dibantu sekumpulan pelajar dan penasihat pakar daripada universiti tempatan dan pihak industri sebelum prototaip C-Drone direka bentuk, dibina serta diuji terbang di UTHM.

    “Bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang, semuanya dilaksanakan dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang berlokasi di kampus induk,” katanya.

    “Dana projek C-Drone ini diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian daripadanya dibiayai pihak UTHM,” katanya.

    Kejayaan UTHM mencipta dan melaksanakan pengujian awal prototaip C-Drone itu katanya, diharap dapat menjadi motivasi dan membuka ruang bagi universiti serta pihak industri yang berminat untuk berkerjasama dalam mengembangkan potensi dron ke arah pengkomersialan.

  • Syarat ketat MM2H boleh jejaskan Johor – Hasni

    Syarat ketat MM2H boleh jejaskan Johor – Hasni

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SYARAT ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan memberi kesan terhadap Johor sekiranya peraturan kepada peserta itu tidak dikaji semula untuk dilonggarkan.

    Meskipun menyambut baik pengumuman program itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri Johor amat berharap syarat yang dikenakan terbabit dapat dikaji semula sebelum ia dilaksanakan.

    Kata beliau, kajian semula itu penting kerana program MM2H merupakan salah satu kekuatan yang dapat memberi faedah serta manfaat kepada negeri tersebut.

    “Kerajaan negeri berharap agar MM2H ini bukan hanya dikaji semula tetapi segera dilaksanakan. Dengan apa yang diumumkan, Johor amat terkesan sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.

    “Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan 46 unit rumah kepada penduduk untuk projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini hari ini.

    Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan.

    Baginda bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

    Mengikut syarat baru, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

    Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

    Sementara itu, Hasni berkata, program MM2H itu juga memberi impak kepada kerajaan negeri memandangkan kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura.

    Malah ujarnya, kebimbangan kerajaan negeri dalam perkara itu telah disuarakan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkunjung ke Johor baru-baru ini.

  • 36,507 pelajar Terengganu suntik vaksin mulai Selasa

    36,507 pelajar Terengganu suntik vaksin mulai Selasa

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 36,507 pelajar tingkatan empat dan lima di Terengganu bakal menerima suntikan vaksin Covid-19, bermula Selasa ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, proses vaksinasi kesemua pelajar terbabit akan dijalankan di 54 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini.

    Beliau memberitahu, semua pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu akan menerima suntikan vaksin Pfizer.

    Katanya, berdasarkan data jumlah pelajar yang akan menerima vaksinasi, seramai 18,264 adalah pelajar tingkatan empat manakala 18,243 orang lagi merupakan pelajar tingkatan lima.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terenganu, Datuk Dr. Kasemani Embong

    “Jumlah pelajar yang bakal menerima suntikan vaksin ini hanya melibatkan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk sekolah menengah agama dan maktab rendah sains Mara (MRSM),” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Ahmad Shah Muhamed, Datuk Bandar Kuala Terengganu Rozali Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah.

    Menurut Dr Kasemani, program vaksinasi kepada pelajar tingkatan empat dan lima dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober depan.

    Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan mereka menduduki peperiksaan.

    Selain itu ujarnya, bagi pelajar tingkatan satu dan tiga, pihaknya sedang menunggu kelulusan untuk vaksinasi kumpulan pelajar tersebut.

  • AUKUS: Negara lain mesti hormat pendirian Malaysia

    AUKUS: Negara lain mesti hormat pendirian Malaysia

    KEMENTERIAN Pertahanan menegaskan bahawa negara-negara lain mesti menghormati pendirian Malaysia dan mematuhi undang-undang negara ini berhubung kapal selam berkuasa nuklear dan kapal perang yang memasuki perairan negara.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penegasan itu adalah selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

    Menurut beliau, sebagai anggota ASEAN, Malaysia akan sentiasa mempertahankan prinsip mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

    Tambah Hishammuddin, Malaysia turut mempertahankan pendiriannya dalam Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    “Pendirian saya tentang Laut China Selatan sentiasa konsisten sejak menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, kita mesti mengelakkan pertembungan luar jangka, salah perhitungan dan insiden yang tidak diingini di laluan laut yang penting ini, dan semua perkara hendaklah diselesaikan secara aman dan konstruktif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan semalam berkata, pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    Hishammuddin berkata, beliau akan menegaskan semula pendirian Malaysia dan menyampaikan pandangan Perdana Menteri kepada Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton melalui panggilan telefon esok.

    “Pada masa yang sama, Malaysia dan Australia akan meneruskan kerjasama pertahanan yang kukuh, terutamanya di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) serta Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada 2022,” jelasnya.

    Beliau menambah, Malaysia dan Australia juga akan bekerjasama melalui Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut disertai UK, New Zealand dan Singapura.

    Menurut Hishammuddin, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah sambutan ulang tahun ke-50 FPDA dan Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 21 Oktober ini.