SEBANYAK 7,373 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan di seluruh negara hari ini, jumlah yang terendah direkodkan sejak 7 Julai lalu.
Pada hari tersebut, sebanyak 7,097 kes positif baharu direkodkan.
Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.
Pecahan kes mengikut negeri pula adalah seperti berikut:
Selangor – 1,351 (689,317)
Sarawak – 1,126 (223,507)
Sabah – 761 (204,954)
Johor – 859 (204,655)
Kuala Lumpur – 288 (188,152)
Kedah – 437 (140,067)
Pulau Pinang – 537 (136,337)
Kelantan – 940 (124,527)
Perak – 724 (108,530)
Negeri Sembilan – 198 (98,885)
Pahang – 553 (70,079)
Terengganu – 590 (61,624)
Melaka – 289 (60,603)
Labuan – 1 (9,985)
Putrajaya – 23 (6,417)
Perlis – 66 (4,582)
Jumlah itu juga menunjukkan penurunan mendadak berbanding 8,743 kes semalam.
Kelmarin sebanyak 9,751 kes baharu COVID-19 dicatatkan dan angka-angka sebelum itu adalah 9,890 kes (Khamis), 9,380 kes (Rabu), 8,817 kes (Selasa) dan 8,075 kes (Isnin).
Secara kumulatif, sebanyak 2,339,594 kes COVID-19 dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara awal tahun lalu.
Maklumat terperinci berhubung perkembangan harian COVID-19 di Malaysia boleh diakses melalui laman COVIDNOW https://covidnow.moh.gov.my selepas tengah malam.
Dalam hantaran berasingan, Dr Noor Hisham menasihatkan rakyat Malaysia agar terus berhati-hati dalam situasi pandemik yang masih belum reda.’
Beliau mengingatkan orang ramai agar jangan memandang remeh terhadap kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP).
“Kita mesti terus mematuhi semua langkah berjaga-jaga termasuk melakukan ujian kendiri. Sentiasa berhati-hati sepanjang masa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Noor berkata, Malaysia mencatatkan kes sembuh COVID-19 sebanyak 10,959 kes, mengatasi angka kes baharu berjumlah 7,373.
Beliau berkata, daripada 7,373 kes baharu COVID-19 itu, 98.2 peratus atau 7,240 kes adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.
“Sementara 133 kes atau 1.8 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.
Beliau berkata ,daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 hari ini, dua adalah kes import melibatkan masing-masing satu warganegara dan bukan warganegara, manakala 7,371 adalah kes tempatan membabitkan 6,991 kes atau 94.8 peratus warganegara sementara 380 atau 5.2 peratus bukan warganegara.
Dr Noor Hisham berkata, 762 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 410 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan dengan lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan.
Kelantan menjadi negeri dengan kluster baharu tertinggi iaitu sebanyak empat kluster komuniti.
Dr Noor Hisham berkata, nilai kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.86 dengan negeri kadar Rt tertinggi adalah Perlis iaitu 1.10.