KES COVID-19 membabitkan varian Omicron dikhuatiri akan meningkat di negara ini dan sistem kesihatan sudah bersedia menghadapinya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penularan varian itu diyakini terkawal ekoran kadar vaksinasi yang tinggi.
“Gelombang Omicron bermula di Malaysia.
“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.
Menurut beliau, jumlah kes Kategori 3, 4 dan 5 kini menunjukkan penurunan.
Kes pertama Omicron dikesan di negara ini membabitkan sampel seorang pelajar dari Afrika Selatan, yang tiba ke negara ini pada 19 Nov lalu.
Sejumlah 601 kes Omicron dikesan di negara ini sehingga semalam, dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan sejumlah 162 kes baharu Omicron direkodkan sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, sebanyak 6,188 kes Delta, 233 kes Beta dan 14 kes Alpha, dikesan dalam tempoh sama.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, berkata tahap risiko membabitkan varian Omicron kekal tinggi, di mana jumlah kes baharu Covid-19 mencapai rekod baharu, minggu lalu.
KEADAAN kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.
Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata, Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.
“Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.
Marina berkata, Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.
Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.
Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan. – BERNAMA
KABINET hari ini membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Bagaimanapun beliau berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.
“Baru tadi kami buat keputusan seperti mana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh Kabinet.
“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari Tanah Suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata ia masih belum diputuskan.
“Tapi mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami juga sudah adakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu. Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi mereka selanjutnya,” katanya.
KERAJAAN Negeri Kedah yakin masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah akan dapat diatasi apabila kesemua Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dalam pembinaan dan dinaik taraf, siap dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar memaklumkan, selain projek yang dibiayai sendiri oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar (KASA) turut membantu dengan pelaksanaan beberapa projek bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Antara projek tersbeut katanya termasuklah menaik taraf LRA Pelubang bagi meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 227 juta liter sehari (mld) kepada 454 mld yang dijangka siap pada Mei 2024.
“Projek LRA Pelubang itu bakal menyelesaikan masalah di Kuala Kedah dan Ayer Hitam manakala Projek menaik taraf LRA Jenun Baru yang dijangka siap pada Disember 2023 mampu membantu menyelesaikan masalah di Pendang serta Yan.
“Projek Naik taraf LRA Bukit Selambau yang juga dijangka siap pada Disember 2023 akan meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 30 mld kepada 70 mld sekali gus menyelesaikan masalah air di Merbok, Tanjung Dawai dan Tupah manakala Projek naik taraf sistem pam di Padang Matsirat, Langkawi mampu menyelesaikan isu berkaitan di pulau legenda itu,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah meletakkan perkara itu sebagai satu keutamaan yang perlu diselesaikan dalam tempoh beliau memimpin.
“Menyedari bahawa isu ini sudah berlarutan begitu lama, sememangnya sukar untuk ia diatasi sepenuhnya dalam masa singkat,” katanya.
Dalam pada itu katanya, SADA ketika ini sudah kembali mencatatkan keuntungan setelah mengalami kerugian berjumlah RM36 juta pada 2019.
Kerugian tersebut kata kenyataan itu, telah menyebabkan kerja-kerja penyenggaraan tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana memerlukan kos yang sangat tinggi.
“Bagaimanapun atas daya usaha dan komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri, SADA kemudiannya berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 juta pada 2020.
“Pada 2021, rekod keuntungan berjaya ditingkatkna kepada lebih RM30 juta sebelum cukai dan ini memberi kelegaan kepada SADA untuk melipat gandakan kerja penambah baikan serta penyenggaraan perkhidmatan di seluruh negeri,” katanya.
TIADA keperluan setakat ini untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman harimau belang sejak Disember lepas, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
“Isu harimau ini di bawah Perhilitan, kita sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini kita tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.
“Kalau kita nak pindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, kita nasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kemeriahan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau belang pada 7 Jan lepas.
Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu.
Sementara itu, ketika ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa haiwan liar tersebut berkeliaran di penempatan Orang Asli disebabkan pembalakan haram, Mohd Amar berkata, pihaknya mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK).
“Masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.
“Pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung,” katanya. – BERNAMA
Nama Mahanie Sulong, 62, sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan khalayak sastera di negara ini khususnya di Terengganu.
Ini kerana kegigihan anak kelahiran Ladang Sekolah, Kuala Terengganu ini dalam berkarya berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang penulis dan penyair wanita prolifik Terengganu.
Walaupun ada ketika beliau mendakwa pernah ‘timbul tenggelam’ dalam berkarya, namun tanpa disedari penglibatannya dalam bidang penulisan dan kesusasteraan telah menjangkau melebihi 40 tahun.
Minat yang dipupuk sejak dibangku sekolah menengah akhirnya menjadi realiti sebaik beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerja Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sekitar tahun 1980.
Pada awalnya, beliau menulis hanya ingin mencuba sesuatu yang baharu, tetapi akhirnya telah mencambahkan minat mendalam untuk terus berkarya. Berkat usaha tersebut, maka terhasillah beberapa buah novel awal antaranya ‘Di Bawah Mentari’, ‘Percikan Badai’ dan ‘Izat’.
Selain novel, beliau turut menghasilkan karya dalam pelbagai genre lain seperti puisi, skrip drama radio, cerpen dan rencana.
Ikutilah Wawancara 5 Soalan Wartawan WartaRakyat MOHD LAZIM ENDUT bersama Penyair wanita prolifik Terengganu, MAHANIE SULONG, yang juga Bendahari PELITA mengenai bidang penulisan dan kesusasteraaan yang diceburi.
Sudah berapa lama melibatkan diri dalam bidang penulisan dan kesusasteraan, boleh ceritakan bagaimana mula ‘terheret’ di bidang ini?
MAHANIE : Boleh dikatakan agak lama juga iaitu bermula pada akhir 1980an. Ketika itu, saya belum bekerja dan masih lagi menganggur, jadi masa terluang banyak diisi dengan mendengar radio terutama melibatkan slot siaran rancangan drama tempatan.
Lama kelamaan hati saya mula tertarik untuk turut menulis skrip drama radio, kemudian tercetus pula minat untuk menulis cerpen, novel dan terakhir puisi.
Apakah antara nama-nama karya terawaldan terkini pernah dihasilkan?
MAHANIE: Sebaik dilantik menjadi Setiausaha Kerja PELITA pada akhir tahun 1980, saya terus mengaplikasikan minat yang ada dengan menghasilkan karya dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi dan rencana.
Antara novel terawal saya ialah “Di Bawah Mentari”, ‘Percikan Badai” dan “Izat”.
Manakala lain-karya saya pernah dihasilkan termasuk antologi bersama antaranya ialah “Tarbiyah” (1984: TETAMU), “Warna Kemesraan” (1986: PELITA), “Sekayu” (1989: PELITA), “Guru Oh Guru” (DBP), “Mutiara Timur” (DBP), “Wilayah Permata” (1991: PELITA), “Kisaran Angin” (1997: PELITA), “Gema Membelah Gema” (GAPENA), “Teng Ye Nung” (PELITA) “Bah Kuning” (2015: DBPWT) dan “Dermaga Hayat” (2017: PELITA).
Bagaimana perkembangan bidang penulisan dan Kesusasteraan di Terengganu ketika ini?
MAHANIE: Kalau diperhatikan memang terdapat percambahan di mana semakin ramai lahirnya penulis muda berbakat besar di negeri ini, namun ketrampilan dan kerancakkan dalam berkarya di bidang ini masih kelihatan agak lesu.
Hal ini disebabkan kebanyakan penulis hari ini khususnya di Terengganu mempunyai kerjaya tetap yang lain dan mereka menulis hanya kerana minat, tetapi terpaksa berhadapan dengan kekangan masa yang agak terhad dan terbatas. Justeru seseorang penulis perlulah bijak dalam menguruskan masa.
Bagaimana pula dengan penulis wanita, difahamkan ia masih lagi kurang dan apakah cara untuk menarik lebih ramai golongan tersebut menyertai bidang ini?
MAHANIE: Di Terengganu memang ada ‘terlahir’ ramai penulis wanita sejak dahulu lagi, tetapi kemunculan penulis muda wanita kebelakangan ini tidak begitu konsisten dalam berkarya dan tidak ramai pula yang betul-betul aktif.
Sebenarnya saya sendiri pun masih lagi ‘tenggelam timbul’ dalam bidang ini, saya tiada pilihan atau cara bagaimana mahu menarik minat penulis wanita supaya mereka mendekati dan menyertai bidang penulisan dan kesusasteraan.
Namun, pada saya usaha persatuan berkaitan seperti PELITA yang secara berterusan mengadakan pelbagai aktiviti seperti bengkel dan latihan penulisan bermula diperingkat sekolah menengah boleh membantu ke arah itu.
Sepanjang terlibat dalam bidangini, adakah pernah memenangi anugerah atau hadiah?
MAHANIE: Antara hadiah yang pernah saya menangi ialah Hadiah Saguhati Puisi Utusan-Public Bank (1990), Hadiah Penulis Produktif PELITA genre skrip drama radio (1990) dan Hadiah Utama Puisi Utusan-Public Bank (1993).
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri Kelantan hari ini bersetuju mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkepentingan rakyat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengambilan tanah itu membabitkan projek di bawah agensi kementerian itu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)
“Saya bersama Ketua Setiausaha KPLB dan juga Pengarah KPLB Kelantan serta Pengurus Besar KESEDAR membincangkan hal-hal berkaitan dengan kolaborasi kerjasama antara negeri dan Persekutuan yang melibatkan projek-projek khususnya di KESEDAR.
‘’ Contohnya ada pengambilan tanah, projek itu adalah projek Persekutuan bawah KPLB, kerajaan negeri buat pengambilan tanah, jadi kita buat kolaborasi Task force,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Mahdzir memberitahu, mereka bersetuju untuk mempercepatkan proses projek seperti jururunding dan sebagainya, di peringkat kementerian diketuai Ketua Setiausaha manakala di peringkat diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Selain itu jelas Mahdzir, perbincangan kedua-dua pihak turut merangkumi program-program pembangunan di wilayah KESEDAR.
“Kami juga berbincang untuk menyelesaikan perkara berbangkit lama di dalam kawasan KESEDAR, sebab di KESEDAR ada tanah yang diusahakan khususnya dalam tanaman kelapa sawit dan ada lagi sedang diusahakan untuk buat ukuran tanah bagi membolehkan kita serahkan kepada peserta dalam masa jangka panjang,’’ katanya.
Di peringkat KPLB kata beliau, pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini akan diperkemaskan susulan persetujuan yang dicapai hari ini.
Beliau menetapkan sasaran dalam tempoh lima bulan untuk menggerakkan inisiatif yang dipersetujui tersebut.
KERAJAAN mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 di negara ini termasuk dos penggalak selesai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita lihat kalau dua dos vaksin COVID-19 dan booster (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan, “ katanya.
Ismail Sabri berkata sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.
Beliau berkata walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.
Menurutnya, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.
“Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan booster, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.
Ismail Sabri berkata ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.
Walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura telah dilaksanakan serta perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di luar negara, menyebabkan Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara, katanya.
Beliau berkata pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik.
Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan
“Ada khabar angin yang apabila raya nanti tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup, saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi,” katanya.
Pada Ahad semasa di Bera, Pahang, Ismail Sabri memberi jaminan bawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.
Beliau berkata jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.
LEBIH 2,000 penduduk di sekitar Kampung Pemberian, Kuala Krai, Kelantan lega apabila jambatan baharu kampung itu siap dibina pada hujung tahun lalu.
Jambatan itu dibina dengan kos RM28.6 juta itu bagi menggantikan jambatan lama yang tidak selamat dan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Ia mula dibina pada tahun 2016 di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kuala Krai hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Nik Mohammad Abduh Nik Aziz.
Terletak kira-kira 28 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 1 kilometer dari Simpang Jalan Utama Kuala Krai-Gua Musang dari Kg. Manjor ke Kg. Pemberian, jambatan sepanjang 240 meter itu akan memudahkan perhubungan dan keselamatan penduduk sekitarnya.
Mahdzir dalam kenyataan media berkata, jambatan itu dinaikkan ketinggiannya daripada jambatan lama.
”InshaAllah kalau banjir besar melanda ia tak akan sampai ke paras jambatan ini berdasarkan jangkaan dan perkiraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Penduduk kampung terbabit sebelum ini sering terputus hubungan setiap kali banjir melanda di musim tengkujuh yang menenggelamkan jambatan besi yang dibina rendah.
KEBENARAN kepada guru-guru Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terbabit dalam politik adalah bersifat mengembalikan semula peraturan lama.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kebenaran itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia telah diamalkan sebelum ini.
“Guru KEMAS dan juga Penyelia KEMAS, mereka bukan kategori DG, mereka di bawah KEMAS seperti Perdana Menteri sebut dibolehkan. Guru kemas tiada masalah dari dahulu (terlibat dalam politik), tetapi zaman PH (Pakatan Harapan) dia keluarkan satu pekeliling, sekarang bukan zaman PH, macam dahulu baliklah sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembagan Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, di sini hari ini.
Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu yang membenarkan guru KEMAS terbabit dalam politik.
Kata Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, isu pembabitan guru dalam politik bukanlah perkara baharu.
“Sebenarnya dari dahulu guru-guru boleh terlibat dengan politik, di zaman Pakatan Harapan, dia keluarkan Pekeliling dia hentikan terus kalau siapa yang pegang jawatan akan ambil tindakan, sedangkan dahulu tidak ada macam itu. Kalau sebut parti politik, maksudnya aktif dalam semua parti politik, ada yang jadi kerajaan dan ada yang jadi pembangkang,” katanya.
Kebenaran itu kata beliau bagaimanapun ada sedikit berlainan berbanding guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan yang mempunyai struktur perjawatan yang membabitkan jawatan di peringkat pengurusan.
“Maksudnya guru-guru yang tidak memegang jawatan pengurusan, guru-guru ini paling ramai dari DG41, akan naik hingga ke DG54 dan ke Jusa, dalam perkhidmatan guru tidak banyak yang boleh naik hingga ke Jusa sebab tidak banyak perjawatan itu, jadi dia akan berhenti di DG54.
Tetapi kalau DG54 dia jadi PPD (Pegawai Pendidikan Daerah) atau Pengetua Sekolah atau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri, itu ada masalah sikit kalau nak pegang jawatan dalam politik sebab dia ada jawatan yang dia pegang,” jelas Mahdzir.