Oleh RIZQI ZABIDI

KERAJAAN Negeri Kedah yakin masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah akan dapat diatasi apabila kesemua Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dalam pembinaan dan dinaik taraf, siap dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar memaklumkan, selain projek yang dibiayai sendiri oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar (KASA) turut membantu dengan pelaksanaan beberapa projek bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Antara projek tersbeut katanya termasuklah menaik taraf LRA Pelubang bagi meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 227 juta liter sehari (mld) kepada 454 mld yang dijangka siap pada Mei 2024.

“Projek LRA Pelubang itu bakal menyelesaikan masalah di Kuala Kedah dan Ayer Hitam manakala Projek menaik taraf LRA Jenun Baru yang dijangka siap pada Disember 2023 mampu membantu menyelesaikan masalah di Pendang serta Yan.

“Projek Naik taraf LRA Bukit Selambau yang juga dijangka siap pada Disember 2023 akan meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 30 mld kepada 70 mld sekali gus menyelesaikan masalah air di Merbok, Tanjung Dawai dan Tupah manakala Projek naik taraf sistem pam di Padang Matsirat, Langkawi mampu menyelesaikan isu berkaitan di pulau legenda itu,” katanya.

Kenyataan itu menambah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah meletakkan perkara itu sebagai satu keutamaan yang perlu diselesaikan dalam tempoh beliau memimpin.

“Menyedari bahawa isu ini sudah berlarutan begitu lama, sememangnya sukar untuk ia diatasi sepenuhnya dalam masa singkat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, SADA ketika ini sudah kembali mencatatkan keuntungan setelah mengalami kerugian berjumlah RM36 juta pada 2019.

Kerugian tersebut kata kenyataan itu, telah menyebabkan kerja-kerja penyenggaraan tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana memerlukan kos yang sangat tinggi.

“Bagaimanapun atas daya usaha dan komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri, SADA kemudiannya berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 juta pada 2020.

“Pada 2021, rekod keuntungan berjaya ditingkatkna kepada lebih RM30 juta sebelum cukai dan ini memberi kelegaan kepada SADA untuk melipat gandakan kerja penambah baikan serta penyenggaraan perkhidmatan di seluruh negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here