LEBIH 2,000 penduduk di sekitar Kampung Pemberian, Kuala Krai, Kelantan lega apabila jambatan baharu kampung itu siap dibina pada hujung tahun lalu.

Jambatan itu dibina dengan kos RM28.6 juta itu bagi menggantikan jambatan lama yang tidak selamat dan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Ia mula dibina pada tahun 2016 di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kuala Krai hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Nik Mohammad Abduh Nik Aziz.

Terletak kira-kira 28 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 1 kilometer dari Simpang Jalan Utama Kuala Krai-Gua Musang dari Kg. Manjor ke Kg. Pemberian, jambatan sepanjang 240 meter itu akan memudahkan perhubungan dan keselamatan penduduk sekitarnya.

Mahdzir dalam kenyataan media berkata, jambatan itu dinaikkan ketinggiannya daripada jambatan lama.

”InshaAllah kalau banjir besar melanda ia tak akan sampai ke paras jambatan ini berdasarkan jangkaan dan perkiraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Penduduk kampung terbabit sebelum ini sering terputus hubungan setiap kali banjir melanda di musim tengkujuh yang menenggelamkan jambatan besi yang dibina rendah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here