KEBENARAN kepada guru-guru Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terbabit dalam politik adalah bersifat mengembalikan semula peraturan lama.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kebenaran itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia telah diamalkan sebelum ini.

“Guru KEMAS dan juga Penyelia KEMAS, mereka bukan kategori DG, mereka di bawah KEMAS seperti Perdana Menteri sebut dibolehkan. Guru kemas tiada masalah dari dahulu (terlibat dalam politik), tetapi zaman PH (Pakatan Harapan) dia keluarkan satu pekeliling, sekarang bukan zaman PH, macam dahulu baliklah sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembagan Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu yang membenarkan guru KEMAS terbabit dalam politik.

Kata Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, isu pembabitan guru dalam politik bukanlah perkara baharu.

“Sebenarnya dari dahulu guru-guru boleh terlibat dengan politik, di zaman Pakatan Harapan, dia keluarkan Pekeliling dia hentikan terus kalau siapa yang pegang jawatan akan ambil tindakan, sedangkan dahulu tidak ada macam itu. Kalau sebut parti politik, maksudnya aktif dalam semua parti politik, ada yang jadi kerajaan dan ada yang jadi pembangkang,” katanya.

Kebenaran itu kata beliau bagaimanapun ada sedikit berlainan berbanding guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan yang mempunyai struktur perjawatan yang membabitkan jawatan di peringkat pengurusan.

“Maksudnya guru-guru yang tidak memegang jawatan pengurusan, guru-guru ini paling ramai dari DG41, akan naik hingga ke DG54 dan ke Jusa, dalam perkhidmatan guru tidak banyak yang boleh naik hingga ke Jusa sebab tidak banyak perjawatan itu, jadi dia akan berhenti di DG54.

Tetapi kalau DG54 dia jadi PPD (Pegawai Pendidikan Daerah) atau Pengetua Sekolah atau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri, itu ada masalah sikit kalau nak pegang jawatan dalam politik sebab dia ada jawatan yang dia pegang,” jelas Mahdzir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here