Category: Semasa

  • Ahmad Faizal nafi naikkan papan iklan sebagai bahan kempen

    Ahmad Faizal nafi naikkan papan iklan sebagai bahan kempen

    TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau yang menaikkan beberapa papan iklan sebagai bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di sekitar Tambun tetapi ia sebaliknya dilakukan oleh penyokongnya.

    Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Tambun itu berkata beliau tahu dan mengenali pihak yang menaikkan papan iklan itu malah sudah memberitahu supaya tidak menyertakan perkataan PN kerana bukan sebahagian daripada kempen parti.

    “Saya fikir ia sesuatu yang ‘bijak’ dan harap ia sekadar untuk menambah warna semasa kempen ini. Walaupun nampak seperti menyindir tetapi sebahagian kita berpolitik tanpa perlu serangan peribadi dan sebagainya.

    “Saya suka cara itu sebab beri sedikit elemen keseronokan, saya rasa okay sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Kelompok PN di Meru Perdana di sini malam tadi.

    Ditanya mengenai dakwaan orang ramai berhubung kos bagi pemasangan dan pertukaran papan tanda sekitar Tambun yang dianggap membazir, beliau berkata ia bukan daripada parti atau dirinya sendiri kerana terdapat had perbelanjaan yang ditetapkan untuk berkempen mengikut peraturan.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mempertikaikan saingannya yang menaikkan papan iklan di lebuh raya yang dipercayai melibatkan kos ratusan ribu selain pemasangan bendera yang terlalu banyak di kawasan awam.

    Baru-baru ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan Ahmad Faizal menaikkan beberapa papan iklan di sekitar Tambun sebagai bahan kempen PRU15.

    Papan iklan itu antaranya memaparkan wajah Ahmad Faizal diiringi kata-kata ‘Never Lost In Tambun’, yang telah diturunkan dan digantikan dengan papan iklan baharu dengan tulisan ‘Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m’ dipercayai disasarkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

    Ia dikatakan sebagai respons kepada sebuah papan iklan dengan gambar Anwar dan tulisan ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ yang dinaikkan di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian dan sebelum ini, papan iklan menunjukkan gambar Ahmad Faizal dengan sindiran berkenaan sebutan ‘air’ dalam loghat Perak yang memaparkan kata-kata ‘Ayor bukan Ayaq’ tular di media sosial.

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kempen hari ketiga semakin rancak dengan pasukan melakukan lawatan rumah ke rumah termasuk menziarah penduduk yang sakit serta kerja pemasangan bendera parti selain memaklumkan akan melancarkan tambahan manifesto bagi negeri Perak yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Beliau yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Tambun berdepan Anwar mewakili PH dan Ketua UMNO Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang mewakili BN serta Abdul Rahim Tahir dari Pejuang.— BERNAMA

  • Tuan Ibrahim calon MB Pas di Pahang, wakil Pas jadi MB jika PN menang di Perlis

    Tuan Ibrahim calon MB Pas di Pahang, wakil Pas jadi MB jika PN menang di Perlis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merupakan calon Menteri Besar Pahang sekiranya gabungan tersebut menang di negeri berkenaan.

    Menurut Bekas Perdana Menteri itu, beliau sendiri telah memaklumkan perkara tersebut kepada Tuan Ibrahim sewaktu ke Pahang sebelum ini.

    Selain itu katanya, Pas juga dijangka akan menambah bilangan Menteri Besar apabila PN dilihat berada di landasan tepat untuk merampas Perlis daripada cengkaman Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

    “Gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini cukup kukuh dan saya tengok trend mutakhir ini, Perlis pun akan ‘jatuh’ kepada kita. Pas jadi Menteri Besar di Perlis dan kami akan sokong.

    “Sebelum ini juga saya ada ke Pahang dan bertemu Tuan Ibrahim di sana. Saya katakan kepadanya kalau Pahang menang, ‘hang’ la jadi Menteri Besar.

    “Pas akan tambah bilangan Menteri Besar dan kami dalam Bersatu ini tak kisah. Pas memimpin dan kita akan sokong sepenuhnya kerana apa yang lebih penting, PN perlu mengurus serta mentadbir negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendang (PCC), dekat Pendang, Kedah, malam tadi.

    Dalam PRU kali ini, Tuan Ibrahim akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian di Kelantan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka dekat Lipis, Pahang yang merupakan kampung halamannya.

    Sementara itu Muhyiddin dalam ceramah sama turut mengajak kalangan ahli UMNO yang mungkin hadir ke majlis tersebut, agar memikirkan mengenai soal menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air daripada memikirkan mengenai soal-soal lain termasuk calon Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut.

    “Datanglah bersama jemaah ini untuk selamatkan negara. Tak keluar UMNO pun tak mengapa asalkan ‘pangkah PN pada 19 November nanti.

    “Saya pun pernah jadi ahli UMNO tetapi sekarang dah keluar. Mereka (ahli UMNO) mungkin berat nak keluar tetapi hati kata tak suka Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid serta tak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Mereka tak mahu terlibat dengan komponen yang melakukan kemungkaran, kesalahan, kebobrokan, rasuah dan salah guna kuasa. Kalau ‘pangkah’ kumpulan ini, kita bukan saja rugi malah saya tak tahulah apa hukumnya berbuat demikian?

    “Jadi saya nak minta ahli-ahli UMNO di Pendang keluarlah mengundi beramai-ramai. Undi itu rahsia, yang tahu cuma kita serta Allah saja dan kalau mereka keluar mengundi PN, maknanya mereka dah terlibat bersama-sama kita selamatkan negara daripda terus terjerumus ke kancah agak dalam,” katanya.

  • Tanding tanpa kebenaran, keahlian Bersatu terhenti serta-merta

    Tanding tanpa kebenaran, keahlian Bersatu terhenti serta-merta

    MANA-MANA ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak mendapat kebenaran parti untuk bertanding pada pilihan raya, keahliannya adalah terhenti secara serta-merta, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau dalam satu kenyataan malam ini berkata, keahlian terhenti secara merta-merta itu selaras Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu.

    Menurut Hamzah, ia juga terpakai kepada pencadang atau penyokong kepada mana-mana parti lawan atau calon Bebas.

    Kenyataan ringkas itu bagaimanapun tidak menyatakan kes yang dirujuk.

    Media sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria mengemukakan borang penamaan calon untuk bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15. – Bernama

  • Manifesto PN lebih seimbang, realistik – Penganalisis politik

    Manifesto PN lebih seimbang, realistik – Penganalisis politik

    TAWARAN Parti Perikatan Nasional (PN) lebih menyeluruh dan seimbang berbanding manifesto Pakatan Harapan (PH).

    Penganalisis politik, Dr. Syed Agil Alsagoff berkata manifesto PN yang dibentangkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengambil kira segala aspek rakyat.

    “Manifesto PN semalam seimbang kalau dibandingkan dengan PH kerana mengambil banyak aspek, terutamanya dengan masalah sosial pada masa kini.

    “Dari segi pengkhususan, PN mengambil kira banyak faktor dan banyak penawaran (234 tawaran), kerana mereka sebahagian daripada kerajaan sebelum ini saya melihat fokus masalah rakyat itu lebih optimistik, realistik dan rasional, ada beberapa pendekatan PH yang melibatkan perkara-perkara yang remeh-temeh” katanya, ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

    Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menekankan golongan B40 bakal menikmati kelebihan terbanyak diikuti golongan belia dengan tawaran seperti wawasan FELDA baharu.

    “Saya nampak golongan B40 bakal dapat paling banyak manfaat, diikuti warga belia termasuk pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

    “Keutamaan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan penduduk-penduduk. Malah, Muhyiddin beritahu beliau akan pertimbangkan kawalan KWSP secara bersasar,” katanya.

    Penganalisis politik dan Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff

    Dalam pada itu, Syed Agil percaya manifesto tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya tidak kira mana-mana parti politik kerana bergantung kepada isu semasa, namun pembentangan 234 tawaran PN lebih realistik.

    “Berdasarkan manifesto, lebih 40 peratus ke 50 peratus boleh dicapai, manakala selebihnya bergantung kepada isu semasa terutamanya kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan.

    “Saya nampak manifesto PN rasional sebab mengambil faktor semua kelompok dan nampak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat,” jelasnya.

    Dalam pembentangan semalam, Muhyiddin menjelaskan Tawaran PN-BEST mengandungi 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Antara komponen penting dalam tawaran manifesto PN termasuk moratorium pinjaman PMKS kepada peniaga kecil, 1 juta
    pekerjaan berpendapatan tinggi, bantuan awal pengajian IPT bernilai RM1,000 dan diskaun 25 peratus bayaran balik PTPTN kepada graduan kelas kedua atas.

  • Tak kenal, maka tak cinta, kata Dr. Radzi

    Tak kenal, maka tak cinta, kata Dr. Radzi

    TEGAR melaungkan slogan #EraBaharuPutrajaya, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin semakin bersemangat selepas masuk dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Tidak gentar menghadapi pertarungan enam penjuru berdepan dengan lima pencabar lain, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tekad untuk terus fokus dengan kekuatan yang dimiliki jentera PN dalam usaha menawan Putrajaya.

    Beliau semasa berkempen di Presint 11 (Putrajaya) hari ini, gembira sempat bertemu rakan-rakannya.

    “Alhamdulillah, dapat berjemaah bersama-sama sahabat di Presint 11 (Putrajaya) sebentar tadi.

    “Sambil-sambil tu dapat dengar apa penambahbaikan yang amat diperlukan untuk Putrajaya. Insya-Allah, kita akan usahakan yang terbaik demi #EraBaharuPutrajaya,” katanya dalam ciapan terbaharu dalam Twitter miliknya @RadziJidin.

    “Kepada warga Putrajaya yang ingin mengenali saya dengan lebih lanjut, jom sertai saya dalam mana-mana program sepanjang tempoh berkempen ini. Saya juga ada share dalam Facebook story saya. Kita jumpa, kita ‘borak-borak’.

    “Sambil borak-borak, dapat juga saya kenali saudara, rakan-rakan Putrajaya dengan lebih dekat. Kata orang, tak kenal maka tak cinta,” tweet beliau lagi.

    Beliau juga merendah diri untuk memperkenalkan dirinya sekali gus akan keperibadian empunya diri, biarpun satu negara mengetahui beliau merupakan Menteri Pendidikan Kanan Malaysia pada ketika ini.

    Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk Putrajaya khususnya agar melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU-15.

    “Laksanakanlah tanggungjawab saudara, rakan-rakan sebagai pengundi (pada PRU-15) sebaik-baiknya dan buatlah pilihan dengan jiwa yang tenang dan penuh sedar. Insya-Allah, kita mampu mengubahnya.

    “Undilah Perikatan Nasional! Prihatin, Bersih dan stabil,” kata Radzi, lapor Harakahdaily.

  • PN BEST terima respon positif rakyat – Muhyiddin

    PN BEST terima respon positif rakyat – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto yang juga disebut PN BEST menerima respon yang sangat positif dari rakyat.

    Beliau yang juga Pengerusi PN menegaskan, pelaksanaan PN BEST bukan janji kosong jika gabungan politik itu mendapat mandat mentadbir negara pada 19 November ini.

    Menurutnya, banyak lagi tawaran khas PN kepada segenap lapisan rakyat Malaysia termasuk pengeluaran wang caruman KWSP secara bersasar bagi meringankan beban rakyat.

    “Ini bukan janji kosong. Saya telah membuktikannya ketika saya memimpin negara di mana begitu banyak manfaat yang diterima oleh rakyat.

    “Saya juga menerima respon yang sangat positif berkenaan tawaran PNBEST ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Semalam, gabungan parti di bawah kepimpinan Muhyiddin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Semua tawaran PN termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my.

    Mengulas mengenai manifesto PN itu, Muhyiddin mengakui beliau berasa sebak apabila mendengar keluhan dan impian rakyat Malaysia semasa sesi “Townhall Pelancaran Tawaran PN BEST” semalam.

    “Sebak juga rasanya apabila mendengar keluhan dan impian rakyat Malaysia dalam sesi “Townhall Pelancaran Tawaran PN BEST”.

    “InsyaAllah saya cuba sedaya mampu saya untuk menyelamatkan negara yang kita sayangi ini,” katanya.

    Menurut Muhyiddin, pada sesi pelancaran itu, beliau menerangkan banyak tawaran yang semestinya berdasarkan keperluan rakyat dan negara.

    Katanya lagi, PN BEST menekankan beberapa perkara antaranya:

    1. Mewujudkan 1 Juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa depan dalam tempoh 5 tahun
    2. DanaNita untuk wanita bangkit berniaga dengan pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000
    3. Bantuan Awal Pengajian IPT sebanyak RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar
    4. Akses Kepada Peranti Digital untuk murid di seluruh negara
    5. Moratorium pinjaman PMKS yang lebih berkesan bagi membantu peniaga kecil.
    6. Kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (COLA) kakitangan awam sebanyak RM 100.

    Sementara itu, mengakhiri kenyataan berkenaan, Muhyiddin menghadiahkan rakyat dengan serangkap pantun.

    Kubulat tekad menyelamat negara,
    Membantu rakyat sehabis daya,
    Andai kata PN ke Putrajaya,
    Dihadiahkan 1 hari cuti kepada semua

  • PN akan pastikan nilai ringgit kukuh jika jadi kerajaan, kata Muhyiddin

    PN akan pastikan nilai ringgit kukuh jika jadi kerajaan, kata Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memastikan nilai ringgit diperkukuhkan semula dengan melaksanakan beberapa langkah ekonomi, sekiranya dipilih oleh pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini, menjadi Kerajaan Persekutuan.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memang menjejaskan semua pihak, namun dapat dipulihkan dengan memperkukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu.

    “Jadi isu (kejatuhan nilai ringgit) ada juga berkaitan dengan soal pertumbuhan ekonomi kita, ada yang berkaitan dengan pelaburan yang datang boleh menjana pendapatan dan mengukuhkan ekonomi.

    “Apabila ekonomi kita kukuh… kita tak bergantung kepada apa yang dilakukan oleh pihak lain. Sekarang ni ialah kerana ringgit dikaitkan dengan soal dolar.

    “Bila Amerika menaikkan kadar OPR (kadar dasar semalaman) dan kesannya di seluruh dunia dan Malaysia juga terkesan,” katanya.

    Beliau berkaa demikian pada majlis dialog sempena pelancaran manifesto Perikatan Nasional ‘PN BEST’ bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau ‘PN BEST’ yang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran, di Shah Alam, malam tadi.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Radzi Jidin pada sesi dialog ketika Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Untuk rekod, ringgit mencatat sejarah sekali lagi pada Jumaat, (4 November 2022) apabila nilainya jatuh ke paras terendah sepanjang masa – lebih rendah daripada ketika krisis kewangan Asia pada 1998.

    Dengan ditutup pada 4.7460 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mata wang tempatan itu mengatasi paras terendah 4.7380 yang dicatat pada 21 Oktober 2022.

    Paras terendah ketika krisis kewangan Asia ialah 4.7250 yang dicatat pada 7 Januari 1998.

    Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, masalah kejatuhan nilai ringgit itu boleh diatas sekiranya kerajaan memperkukuhkan semula kedudukan ekonomi negara seberapa cepat yang boleh.

    Muhyiddin berkata sekiranya PN dipilih menjadi kerajaan Pusat pada pilihan raya 19 November ini, usaha akan dilakukan bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negara dan mempercepatkan proses pemulihannya.

    “Jadi pokok kepada segala apa yang disebutkan tadi ialah macam mana kita nak kukuhkan balik kedudukan ekonomi kita.

    “Itu sebab agenda yang saya sebut tadi ialah menperkukuhkan dan mempercepatkan proses pemulihan, supaya kedudukan ringgit kita makin kukuh dan ini akan menjamin harga yang lebih stabil dan sebagainya,” katanya, lapor SatuBerita.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi. GAMBAR: Warta Rakyat

    Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta yang terkesan akibat kejatuhan nilai ringgit sekali gus menjejaskan perniagannya yang baru sahaja hendak pulih.

    Mastura Hassan dari Setapak Jaya hadir ke majlis pelancaran manifesto di Shah Alam malam tadi untuk bertanya mengenai langkah yang boleh diambil bagi mengatasi kejatuhan nilai ringgit.

    Menurutnya beliau yang memperoleh bantuan ketika kerajaan PN memerintah sebelum ini, baharu sahaja bangkit daripada perniagaan, namun kini berdepan kesukaran akibat kejatuhan nilai mata wang tempatan, yang menyebabkan harga barangan naik.

    “Saya belajar buat salai. Saya bangkit. Tapi untuk makluman abah sekarang ni saya rasa dulu saya boleh berjalan, saya boleh berlari… tapi sekarang saya dah mula merangkak. Bolehkan kejatuhan ringgit Malaysia dihentikan. Jangan biarkan jatuh lagi… kami peniaga kecil sangat terkesan,” katanya.

  • Calon Pas bebas rasuah, tiada masalah isytihar harta, kata Takiyuddin

    Calon Pas bebas rasuah, tiada masalah isytihar harta, kata Takiyuddin

    PAS yakin akan mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana bebas daripada rasuah mahupun salah guna kuasa.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) mempertandingkan lebih 160 calon di seluruh negara termasuk 64 daripada Pas.

    Jelasanya, tidak ada pemimpin PN yang ada rekod di mahkamah, sama ada yang sudah dituduh, sedang mahupun yang akan dituduh dalam waktu terdekat ini.

    “Sebab itu, kami berani tampil dengan tema bersih kerana semua calon Pas bersih daripada tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kami yakin rakyat Malaysia beri mandat,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang) merangkap Ahli Majlis Tertinggi PN berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Parlimen Kota Bharu, Kota Bharu, hari ini.

    Takiyuddin berkata, Pas bersama PN berkemampuan membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan stabil selepas PRU-15 berdasarkan pengalaman 30 bulan parti itu berada dalam Kabinet di bawah pemerintahan dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (13 bulan) sebelum ini.

    Berkaitan isu intergriti bagi pengisytiharan harta, Takiyuddin berkata, calon-calon gabungan itu lebih-lebih lagi daripada parti Pas tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

    “PN sebelum ini terdapat 12 orang berada di dalam Kabinet sudah pun mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri.

    “Saya sendiri sudah isytiharkan pada Muhyiddin dan Ismail. Tidak timbul masalah kerana sebahagian calon-calon PN sebelum ini menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli parlimen yang umumnya sudah mengisytiharkan harta masing-masing,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut Takiyuddin, Kelantan juga akan menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran sekiranya PN diberi mandat penuh untuk menerajui negara.

    Takiyuddin adalah penyandang Parlimen Kota Bharu selama dua penggal sebelum ini dan akan bertanding mewakili Pas bertemu enam penjuru bagi mempertahankan kerusi tersebut.

    Beliau menetang lawan Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail (BN); Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim; Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

    Untuk rekod, pengundi Kota Bharu berjumlah 116,503 orang melibatkan 14 peratus (%) kaum Cina, 1% India dan selebihnya Melayu.

    Sebanyak 56% adalah pengundi muda antara 18 hingga 39 tahun.

  • Kamarudin mahu teruskan pembangunan belia di Bandar Tun Razak

    Kamarudin mahu teruskan pembangunan belia di Bandar Tun Razak

    PENYANDANG kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berjanji akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah belia di kawasan itu.

    Sebagaimana dilakukannya sejak awal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun 2018, beliau tidak pernah sunyi daripada mengheret anak muda terlibat dalam aktiviti berkenaan.

    Semalam, beliau turun padang merasmikan kejohanan sepak takraw Piala Dato’ Kamarudin Jaffar di gelanggang padang Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.

    Menurutnya, kejohanan itu menyaksikan sebanyak 20 pasukan terlibat.

    “Kejohanan seumpama ini adalah kesinambungan aktiviti sukan dan riadah yang dirancang oleh pihak Pusat Khidmat Rakyat Bandar Tun Razak.

    “Sebelum ini juga telah diadakan kejohanan bola sepak, bola jaring, sukan rakyat dan sebagainya.

    “Semua ini dilaksanakan dengan objektif memupuk semangat perpaduan penduduk Bandar Tun Razak tanpa mengira kaum, di samping menggalakkan aktiviti bersukan di kalangan belia dan pembangunan modal insan,” katanya, lapor Satu Berita.

    Kata Timbalan Menteri Luar Negeri itu, banyak lagi aktiviti bersukan seumpama ini akan dilaksanakan demi memastikan belia di Parlimen Bandar Tun Razak sentiasa mempunyai kegiatan bermanfaat dan menjadikan sukan sebagai satu budaya.

    Dalam PRU-15 kali ini beliau dicabar Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Chew Yin Keen dari Barisan Nasional (BN).

  • Jho Low mahu surat putera Arab dirahsiakan-Bekas pegawai bank

    Jho Low mahu surat putera Arab dirahsiakan-Bekas pegawai bank

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mahu empat pucuk surat daripada seorang putera Arab Saudi yang kononnya menjanjikan sumbangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

    Joanna Yu Ging Ping, 51, bekas pengurus perhubungan di AmBank mengesahkan perkara itu apabila ditunjukkan transkrip mesej Blackberry Messenger (BBM) bertarikh 23 Jun 2014 oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa perbicaraann kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu melibatkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Berdasarkan perbualan itu, ia menunjukkan Jho Low kononnya memberitahunya bahawa Najib telah mengarahkan ‘surat hadiah’ daripada Putera Faisal Turki Al Saud tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

    Ketika ditanya Sri Ram mengenai apa yang beliau fahami daripada mesej itu, Yu berkata surat tersebut untuk mengesahkan bahawa dana yang masuk ke dalam akaun Najib adalah hasil daripada sumbangan dari Arab.

    Sri Ram: Apakah tujuan mesej itu?

    Yu: Bahawa ia sepatutnya dianggap sebagai sulit.

    Saksi itu berkata setiap kali akaun bank Najib terlebih pengeluaran, beliau akan memaklumkan sama ada kepada Nik Faisal Ariff Kamil (pemegang mandat) atau Jho Low supaya cek yang dikeluarkan Najib tidak dtolak kerana kekurangan wang dalam akaun.

    Beliau berkata seorang individu yang dikenali sebagai Kee Kok Thiam kemudiannya akan memasukkan wang ke dalam akaun Najib yang kadangkala berjumlah ratusan ribu bagi memastikan cek boleh digunakan.

    Apabila ditanya sama ada bank akan menolak cek dalam keadaan sedemikian, Yu menjawab: “Ini akaun Perdana Menteri, jadi kami akan usaha mendapatkan dana supaya nampak elok,”.

    Beliau berkata Najib adalah penandatangan tunggal untuk cek dari akaunnya, dan Nik Faisal tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan cek itu bagi pihak Najib.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.