PERIKATAN Nasional (PN) akan memastikan nilai ringgit diperkukuhkan semula dengan melaksanakan beberapa langkah ekonomi, sekiranya dipilih oleh pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini, menjadi Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memang menjejaskan semua pihak, namun dapat dipulihkan dengan memperkukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu.

“Jadi isu (kejatuhan nilai ringgit) ada juga berkaitan dengan soal pertumbuhan ekonomi kita, ada yang berkaitan dengan pelaburan yang datang boleh menjana pendapatan dan mengukuhkan ekonomi.

“Apabila ekonomi kita kukuh… kita tak bergantung kepada apa yang dilakukan oleh pihak lain. Sekarang ni ialah kerana ringgit dikaitkan dengan soal dolar.

“Bila Amerika menaikkan kadar OPR (kadar dasar semalaman) dan kesannya di seluruh dunia dan Malaysia juga terkesan,” katanya.

Beliau berkaa demikian pada majlis dialog sempena pelancaran manifesto Perikatan Nasional ‘PN BEST’ bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau ‘PN BEST’ yang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran, di Shah Alam, malam tadi.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Radzi Jidin pada sesi dialog ketika Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Untuk rekod, ringgit mencatat sejarah sekali lagi pada Jumaat, (4 November 2022) apabila nilainya jatuh ke paras terendah sepanjang masa – lebih rendah daripada ketika krisis kewangan Asia pada 1998.

Dengan ditutup pada 4.7460 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mata wang tempatan itu mengatasi paras terendah 4.7380 yang dicatat pada 21 Oktober 2022.

Paras terendah ketika krisis kewangan Asia ialah 4.7250 yang dicatat pada 7 Januari 1998.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, masalah kejatuhan nilai ringgit itu boleh diatas sekiranya kerajaan memperkukuhkan semula kedudukan ekonomi negara seberapa cepat yang boleh.

Muhyiddin berkata sekiranya PN dipilih menjadi kerajaan Pusat pada pilihan raya 19 November ini, usaha akan dilakukan bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negara dan mempercepatkan proses pemulihannya.

“Jadi pokok kepada segala apa yang disebutkan tadi ialah macam mana kita nak kukuhkan balik kedudukan ekonomi kita.

“Itu sebab agenda yang saya sebut tadi ialah menperkukuhkan dan mempercepatkan proses pemulihan, supaya kedudukan ringgit kita makin kukuh dan ini akan menjamin harga yang lebih stabil dan sebagainya,” katanya, lapor SatuBerita.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi. GAMBAR: Warta Rakyat

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta yang terkesan akibat kejatuhan nilai ringgit sekali gus menjejaskan perniagannya yang baru sahaja hendak pulih.

Mastura Hassan dari Setapak Jaya hadir ke majlis pelancaran manifesto di Shah Alam malam tadi untuk bertanya mengenai langkah yang boleh diambil bagi mengatasi kejatuhan nilai ringgit.

Menurutnya beliau yang memperoleh bantuan ketika kerajaan PN memerintah sebelum ini, baharu sahaja bangkit daripada perniagaan, namun kini berdepan kesukaran akibat kejatuhan nilai mata wang tempatan, yang menyebabkan harga barangan naik.

“Saya belajar buat salai. Saya bangkit. Tapi untuk makluman abah sekarang ni saya rasa dulu saya boleh berjalan, saya boleh berlari… tapi sekarang saya dah mula merangkak. Bolehkan kejatuhan ringgit Malaysia dihentikan. Jangan biarkan jatuh lagi… kami peniaga kecil sangat terkesan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here