PAS yakin akan mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana bebas daripada rasuah mahupun salah guna kuasa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) mempertandingkan lebih 160 calon di seluruh negara termasuk 64 daripada Pas.

Jelasanya, tidak ada pemimpin PN yang ada rekod di mahkamah, sama ada yang sudah dituduh, sedang mahupun yang akan dituduh dalam waktu terdekat ini.

“Sebab itu, kami berani tampil dengan tema bersih kerana semua calon Pas bersih daripada tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kami yakin rakyat Malaysia beri mandat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang) merangkap Ahli Majlis Tertinggi PN berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Parlimen Kota Bharu, Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin berkata, Pas bersama PN berkemampuan membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan stabil selepas PRU-15 berdasarkan pengalaman 30 bulan parti itu berada dalam Kabinet di bawah pemerintahan dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (13 bulan) sebelum ini.

Berkaitan isu intergriti bagi pengisytiharan harta, Takiyuddin berkata, calon-calon gabungan itu lebih-lebih lagi daripada parti Pas tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

“PN sebelum ini terdapat 12 orang berada di dalam Kabinet sudah pun mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri.

“Saya sendiri sudah isytiharkan pada Muhyiddin dan Ismail. Tidak timbul masalah kerana sebahagian calon-calon PN sebelum ini menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli parlimen yang umumnya sudah mengisytiharkan harta masing-masing,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Takiyuddin, Kelantan juga akan menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran sekiranya PN diberi mandat penuh untuk menerajui negara.

Takiyuddin adalah penyandang Parlimen Kota Bharu selama dua penggal sebelum ini dan akan bertanding mewakili Pas bertemu enam penjuru bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Beliau menetang lawan Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail (BN); Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim; Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Untuk rekod, pengundi Kota Bharu berjumlah 116,503 orang melibatkan 14 peratus (%) kaum Cina, 1% India dan selebihnya Melayu.

Sebanyak 56% adalah pengundi muda antara 18 hingga 39 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here