Category: Semasa

  • [VIDEO] Polis kesan pemandu lori simen terlibat langgar lari

    [VIDEO] Polis kesan pemandu lori simen terlibat langgar lari

    POLIS merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian langgar lari membabitkan sebuah lori simen dan sebuah motosikal di Jalan Tasek Gelugor, Seberang Perai Selasa lalu tampil membuat laporan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya kini sedang mengesan lori simen terbabit yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan maut kira-kira pukul 6 petang itu.

    Ujarnya, mangsa yang juga penunggang motosikal, Zakaria Othman, 74, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi iaitu enam hari selepas kejadian di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Tasek Gelugor ke Pekan Darat.

    Ketika tiba di lokasi kejadian tambah beliau, motosikal mangsa secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh lori simen berkenaan sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.

    “Namun pemandu lori simen itu tidak berhenti selepas kemalangan sebaliknya terus melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 018-2881 424 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Rakyat patuh SOP, pembangkang langgar undang-undang

    Rakyat patuh SOP, pembangkang langgar undang-undang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    NAIB Presiden Pas, Senator Ustaz Idris Ahmad mempertikaikan tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang terlibat dalam perarakan dan cuba memasuki bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada pagi ini.

    Beliau berkata, sepatutnya ahli Parlimen berkenaan menjadi contoh kepada 32 juta rakyat supaya mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

    Mereka katanya, merupakan penggubal undang-undang sepatutnya menghormati undang-undang namun sebaliknya berlaku apabila ahli-ahli Parlimen itu meneruskan perhimpunan semasa kes Covid-19 masih membimbangkan.

    “Pertamanya, rakyat di Malaysia ini cukup patuh. Apabila arahan mengatakan tidak boleh pergi solat berjemaah di masjid dan surau, mereka patuh.

    “Apabila pergi ke surau masjid, mereka buat penjarakan sosial, mereka patuh. Apabila pasar malam tidak boleh meniaga, mereka patuh.

    “Anak-anak tidak boleh belajar di sekolah, terpaksa belajar dari rumah, anak-anak patuh. Pekerja-pekerja yang bukan bersifat essential keperluan, tidak dibenarkan untuk dibuka, mereka patuh.

    “Semua perkara-perkara yang diarah oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara), melalui nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), mereka patuh. Jadi amat tidak eloklah apabila kita sebagai law maker tiba-tiba bertindak sedemikian rupa,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, beliau bukan mahu bermusuh dengan mana-mana pihak tetapi perhimpunan itu amat tidak wajar dalam suasana pandemik ketika ini.

    “Maka sebab itu, apa yang berlaku semalam, kita tengok geng baju hitam, hari ini geng daripada kod (suite) hitam.

    “Jadi kita amat kesallah apabila berlaku benda begitu kerana orang lain boleh ikut, tidak boleh pergi ziarah kubur, orang ikut.

    “Tak boleh buat kenduri, orang ikut. Tiba-tiba pula kita tidak ikut, macam mana,” soalnya.

  • Sasar 80 peratus penduduk Kelantan divaksin menjelang Oktober ini

    Sasar 80 peratus penduduk Kelantan divaksin menjelang Oktober ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KELANTAN menyasarkan 80 peratus penduduknya menerima vaksinasi Covid-19 menjelang Oktober ini.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sasaran itu adala sebagaimana yang dirancang dan berdasarkan vaksin yang dibekalkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Kebangsaan.

    Beliau berkata, usaha itu melibatkan proses vaksinasi di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan swasta termasuk klinik dan hospital.

    Menurutnya, sehingga kini, semua PPV yang beroperasi berupaya menyuntik 25,000 dos sehari sedangkan kapasiti sebenarnya boleh mencecah sehingga 30,000 dos sehari.

    “Sekarang ini, kami tidak buka PPV untuk hari minggu berdasarkan jumlah vaksin yang kita ada. Insya-Allah kami boleh buka PPV di hari minggu jika ada pertambahan bekalan disediakan kepada kami.

    “Kalau 30,000 sehari, kita boleh capai satu juta sebulan. Langkah ini akan membantu mempercepatkan imuniti di kalangan masyarakat yang ada dan selari dengan sasaran pihak kerajaan mahu proses vaksin ini dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau PPV di bawah Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, hari ini.

    Menurutnya, sebanyak 95 hingga 97 peratus vaksin yang dibekalkan dapat disuntik kepada mereka yang layak setiap minggu dan sambutan daripada masyarakat juga amat memberangsangkan.

    Walaupun pendaftaran melalui Mysejahtera agak rendah, Dr. Zaini berkata, apa yang penting ialah proses vaksinasi itu mencapai sasaran berdasarkan jumlah bekalan vaksin yang diberikan.

    “Kalau pendaftaran tinggi pun, tapi kalau vaksin tiada, sama saja. Sehingga kini, seramai lebih 440,000 penduduk telah mendapat dos pertama iaitu melibatkan 23.1 peratus jumlah rakyat Kelantan manakala dos kedua pula ialah seramai lebih 245,000 orang yang mana melibatkan 12.88 peratus,” katanya.

  • Kerajaan Negeri Kedah buka PPV Mega di Sungai Petani

    Kerajaan Negeri Kedah buka PPV Mega di Sungai Petani

    BERIKUTAN kejayaan mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin ke Kedah, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif tambahan bagi mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyatnya.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor antara langkah yang diambil adalah membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega di SP Sport Center di Sungai Petani dengan kerjasama ProtectHealth yang mampu memberi suntikan hingga 5,000 dos, sehari.

    “Kerjasama ini menjadikan PPV mega tersebut sebagai PPV intergrasi terbesar di Kedah.

    “Selain itu kerajaan negeri akan turut menaik taraf PPV awam di Dewan Kenangan Sungai Petani sebagai PPV mega intergrasi bermula 11 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Baru-baru ini Muhammad Sanusi memaklumkan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju dengan permintaan kerajaan negeri untuk menambah pemberian vaksin kepada Kedah daripada 130,000 dos seminggu kepada 220,000 dos seminggu.

    Permintaan itu dibuat Muhammad Sanusi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, minggu lalu.

    Beliau menambah, kerajaan negeri pada masa sama sedang meneliti cadangan pembukaan PPV integrasi di lokasi bersesuaian bagi meningkatkan jumlah suntikan vaksin.

    “Kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf PPV awam kepada PPV integrasi supaya suntikan vaksin dapat ditingkatkan ke tahap maksimum dengan penglibatan semua pihak terlibat,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, satu lagi PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), sedang menanti kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan (MOSTI) untuk dibuka di negeri ini bagi menampung vaksinasi pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu.

    “PPV PIKAS tersebut akan dibuka di Jitra. Ia akan menjadi PPV PIKAS ketiga di negeri ini selepas PPV PIKAS Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan PPV PIKAS Sungai Petani yang mempunyai kapasiti mencecah 3,000 dan 5,000 suntikan sehari.

    “Selain PPV awam, PIKAS, mega dan intgerasi, semua daerah di Kedah juga mula menggerakkan program vaksinasi secara ‘outreach’ dengan bergerak ke dalam komuniti luar bandar,” katanya.

    “Dengan persiapan dilakukan, kita yakin 80 peratus penduduk di Kedah akan menerima dos lengkap menjelang akhir Oktober atau awal November sekali gus membantu membina imuniti berkelompok,” katanya.

    Katanya, imuniti kelompok tersebut secara tidak langsung mampu menyelesaikan kekurang kemudahan rawatan di hospital seperti dilaporkan ketika ini.

  • Lapangan Terbang Kulim siap 2026 – MB Kedah

    Lapangan Terbang Kulim siap 2026 – MB Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang selama ini dicanang sebagai ‘game changer’ kepada kemajuan ekonomi Kedah selain mendatangkan kesan positif kepada negeri-negeri berjiran di utara tanah air, dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada 2026.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, fasa pertama projek tersebut bakal dimulakan dalam masa terdekat dengan menelan kos sebanyak RM6 bilion.

    Katanya, ia kemudiannya akan dilanjutkan dengan beberapa projek lain termasuk infrastruktur utama iaitu Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) melibatkan laluan antara Bandar Baharu ke Sungai Petani melalui KXP.

    “Selain itu akses baharu Lebuh Raya Utara Selatan di Tikam Batu akan dibina malah kerja menaik taraf laluan keluar masuk sedia ada ke Sungai Petani, akan turut dinaik taraf.

    “Di samping itu terdapat juga cadangan penjajaran baharu landasan kereta api Tasik Gelugor di Pulau Pinang – Taman Teknologi Tinggi Kulim – Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan.

    Hari ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. (KXP AirportCity) mewakili kerajaan negeri untuk memeterai perjanjian bersama Kumpulan ECK yang diwakili pengarah urusan kumpulanya, Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Alor Setar.

    Menerusi perjanjian itu, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan berperanan sebagai pemilik dan pemaju projek KXP.

    Sebanyak 80 peratus pegangan ekuiti dalam SPV itu dimiliki ECK manakala bakinya dimiliki kerajaan negeri melalui KXP AirportCity yang merupakan syarikat subsidiari PKNK.

    Muhammad Sanusi menambah, KXP akan memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau termasuk sebagai hab industri halal dan e-dagang bagi rantau ASEAN terutamanya melibatkan produk farmasi dan pelbagai kategori kargo.

    KXP juga katanya akan dijadikan hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.

    Menurutnya, antara berita baik untuk penduduk di negeri ini adalah KXP akan menjadi hab penerbangan haji dan umrah khususnya bagi penduduk utara semenanjung.

    “Dari segi ekonomi, kerajaan negeri optimis KXP mampu menjana peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri Kedah yang diunjurkan 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus pada masa ini.

    “Lapangan terbang ini juga dijangka menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) sebanyak AS$281 juta (RM1.186 bilion) pada 2026,” ujarnya.

    Tambahnya, KXP turut menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan secara langsung untuk diisi penduduk tempatan.

    “Dalam beberapa tahun akan datang, insya Allah Kedah akan berubah wajah daripada sebuah negeri miskin kepada negeri ekonomi baharu yang pesat berkembang sebagaimana Lembah Klang,” katanya.

  • Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’:Lima NGO buat laporan polis

    Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’:Lima NGO buat laporan polis

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    LIMA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini berhubung perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan,’ yang dianjurkan Sabtu lalu.

    Gabungan lima NGO terbabit adalah Persatuan Anak Melayu Johor, Gabungan NGO 1 Malaysia, Pertubuhan Sosial dan Minda Prihatin, Dewan Perundingan NGO and Pertububan Salam Budi.

    Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Najmuddin Mahmood berkata, perhimpunan yang diadakan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh kumpulan berkenaan.

    “Negara kini sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, seharusnya individu-individu ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Kesalahan yang mereka lakukan adalah serius jadi kita berharap polis mengambil tindakan segera diambil pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, dalang di sebalik perhimpunan tersebut perlu dicari dan kesalahan yang dilakukan peserta tersebut adalah serius kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PP).

    Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil supaya tidak berulang lagi pada masa depan.

  • Jangan kelirukan rakyat, susahkan pihak berkuasa

    Jangan kelirukan rakyat, susahkan pihak berkuasa

    AHLI Parlimen pembangkang tidak sepatutnya mengelirukan rakyat dan menyusahkan pihak berkuasa dengan berhimpun beramai-ramai di Dataran Merdeka hari ini.

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati ekoran keputusan menangguhkan sidang Parlimen dan berhimpun beramai-ramai ketika negara masih dalam situasi pandemik Covid-19 yang serius bukanlah tindakan tepat.

    “Para Ahli Parlimen pembangkang yang bijak belaka seharusnya lebih celik dalam kerja-kerja tunjuk perasaan ini.

    “Mengapa pula memilih cara yang bakal membahayakan nyawa rakyat dan berkemungkinan besar akan memburukkan keadaan Covid-19 di negara kita untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka?

    “Berfikirlah terlebih dahulu sebelum bertindak terutama tentang pengorbanan anggota barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus untuk melawan Covid-19.

    “Fikirlah tentang keselamatan orang yang anda sayang, tentang rakyat yang sekian lama mendengar nasihat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan duduk di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan  Pulau Pinang menambah, memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang semakin serius, semua pihak sama ada daripada kerajaan atau pembangkang seharusnya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi fokus kepada usaha memerangi wabak berkenaan.

    Dalam masa sama, beliau berharap pemimpin pembangkang tidak berterusan memalitkan diri dalam agenda politik yang hanya mementingkan matlamat peribadi.

    “Rakyat merasa meluat dengan tindak-tanduk ahli-ahli politik ini dan mereka ingin melihat semua pihak bersatu padu membanteras penularan Covid-19 di negara kita.

    “Semua ahli politik harus memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19 dan perjuangan politik harus diketepikan sehingga pilihan raya umum diadakan,” katanya.

    Tambahnya, sementara menunggu sidang Parlimen disambung semula juga, Ahli Parlimen sepatutnya menggunakan masa terluang melawat kawasan masing-masing.

    Katanya, masih ramai rakyat yang perlu diberi bantuan dan masih banyak masalah mereka yang perlu diselesaikan, bukannya menjadi punca yang menyebabkan kacau-bilau.

    Jelasnya lagi, Ahli Parlimen pembangkang seharus menggunakan ‘masa lapang’ ini untuk mengagihkan kesemua bantuan barangan yang diperuntukkan kepada mereka sebanyak RM300,000 oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk rakyat yang memerlukan.

    “Ahli Parlimen pembangkang juga harus menjadi teladan yang baik kepada rakyat. Mereka meminta rakyat mematuhi SOP, tetapi mereka sendiri yang melanggar SOP,” katanya.

  • Pekerja besi buruk dijel 14 hari tunjuk kemaluan, kejar wanita

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap seorang pekerja besi buruk atas kesalahan
    menunjukkan kemaluan pada seorang wanita dan mengejarnya pada bulan lalu.

    Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Premkumar, 32, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Julai lalu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mendatangkan kegusaran kepada seorang wanita berusia 30 tahun dengan membuka seluar, menunjukkan kemaluan dan mengejar wanita tersebut.

    Kesalahan dilakukan di sebuah jalan di Pusat Bandar Puchong di sini pada pukul 1 tengahari pada 27 Julai lalu.

    Berikutan itu pertuduhan dikemukakan kesalahan memgikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tidak mampu membayar denda.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa bersama seorang lagi individu sedang berniaga di tepi jalan, didatangi tertuduh dalam keadaan mabuk sambil meminta wang.

    Selepas mendapati mangsa tidak mengendahkannya, tertuduh kemudian bertindak membuka seluar dan menunjukkan kemaluan kepada mangsa.

    Mangsa yang takut telah melarikan diri namun dikejar tertuduh, nasib wanita itu baik kerana pada masa sama berjaya meminta bantuan daripada dua anggota polis yang ketika itu melakukan rondaan di kawasan tersebut.

  • Nenek 64 tahun tokan dadah diberkas bersama cucu

    Nenek 64 tahun tokan dadah diberkas bersama cucu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG nenek berusia 64 tahun dan cucu lelakinya antara tiga suspek yang dicekup polis baru-baru ini selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM86,000, di Taman Seri Bayu di Alor Gajah.

    Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
    (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang membuat serbuan di sebuah rumah di taman perumahan itu kira-kira pukul 6 pagi.

    Ketua JSJN negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas bersama 18 peket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 2.2 kilogram dan enam peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 533 gram.

    “Susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi suspek dipercayai rakan sindiket yang
    merupakan seorang wanita warga emas dan cucu lelakinya yang berusia 21 tahun di kawasan sama kira-kira 45 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Zulkiflee, kesemua dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di kawasan tempatan dan boleh menampung kegunaan kira-kira 6,200 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

    Kata beliau, hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek pertama didapati
    positif dadah jenis methamphetamin, selain turut mempunyai dua rekod lampau berkait kes
    jenayah serta dadah.

    Manakawal warga emas itu turut memiliki dua rekod berkaitan dadah, sementara cucunya mempunyai masing-masing satu rekod jenayah dan dadah.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas barang kemas dan sebuah kereta serta motosikal
    berjumlah keseluruhan RM24,782.11 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran
    dadah ini,” jelasnya.

    Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan
    mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati
    mandatori jika sabit kesalahan.

    habis

  • 15,764 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini

    15,764 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    STATISTIK penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan kepada 15,764 kes hari ini berbanding 17,150 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 negara meningkat kepada 1,146,186 kes.

    Mengenai kes hari ini, Dr. Noor Hisham memberitahu, semua negeri mencatatkan pertambahan kes dan lima negeri melaporkan kes empat angka.

    Negeri terbabit ialah Selangor dengan 6,067 kes baharu, Kuala Lumpur (1,536), Johor (1,222), Sabah (1,166) dan Kedah (1,108).

    “Selain itu negeri lain turut mencatatkan pertambahan kes hari ini iaitu Negeri Sembilan sebanyak (862), Perak (748), Pulau Pinang (667). Kelantan (552), Pahang (475), Melaka (463) dan Terengganu (425).

    “Putrajaya melaporkan 46 kes baharu, Perlis (sembilan) dan Labuan (tujuh),” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook hari ini.