Oleh Abu Ubaidillah Rahman

KELANTAN menyasarkan 80 peratus penduduknya menerima vaksinasi Covid-19 menjelang Oktober ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sasaran itu adala sebagaimana yang dirancang dan berdasarkan vaksin yang dibekalkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Kebangsaan.

Beliau berkata, usaha itu melibatkan proses vaksinasi di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan swasta termasuk klinik dan hospital.

Menurutnya, sehingga kini, semua PPV yang beroperasi berupaya menyuntik 25,000 dos sehari sedangkan kapasiti sebenarnya boleh mencecah sehingga 30,000 dos sehari.

“Sekarang ini, kami tidak buka PPV untuk hari minggu berdasarkan jumlah vaksin yang kita ada. Insya-Allah kami boleh buka PPV di hari minggu jika ada pertambahan bekalan disediakan kepada kami.

“Kalau 30,000 sehari, kita boleh capai satu juta sebulan. Langkah ini akan membantu mempercepatkan imuniti di kalangan masyarakat yang ada dan selari dengan sasaran pihak kerajaan mahu proses vaksin ini dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau PPV di bawah Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 95 hingga 97 peratus vaksin yang dibekalkan dapat disuntik kepada mereka yang layak setiap minggu dan sambutan daripada masyarakat juga amat memberangsangkan.

Walaupun pendaftaran melalui Mysejahtera agak rendah, Dr. Zaini berkata, apa yang penting ialah proses vaksinasi itu mencapai sasaran berdasarkan jumlah bekalan vaksin yang diberikan.

“Kalau pendaftaran tinggi pun, tapi kalau vaksin tiada, sama saja. Sehingga kini, seramai lebih 440,000 penduduk telah mendapat dos pertama iaitu melibatkan 23.1 peratus jumlah rakyat Kelantan manakala dos kedua pula ialah seramai lebih 245,000 orang yang mana melibatkan 12.88 peratus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here