POLIS merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian langgar lari membabitkan sebuah lori simen dan sebuah motosikal di Jalan Tasek Gelugor, Seberang Perai Selasa lalu tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya kini sedang mengesan lori simen terbabit yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan maut kira-kira pukul 6 petang itu.

Ujarnya, mangsa yang juga penunggang motosikal, Zakaria Othman, 74, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi iaitu enam hari selepas kejadian di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Tasek Gelugor ke Pekan Darat.

Ketika tiba di lokasi kejadian tambah beliau, motosikal mangsa secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh lori simen berkenaan sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.

“Namun pemandu lori simen itu tidak berhenti selepas kemalangan sebaliknya terus melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 018-2881 424 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here