Category: Semasa

  • Kalau tiada saya, Anwar bukan siapa pun – Tun Mahathir

    Kalau tiada saya, Anwar bukan siapa pun – Tun Mahathir

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah mengungkit jasanya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyatakan bahawa Presiden PKR itu terhutang budi kepadanya kerana naik dalam politik.

    Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu menafikan beliau menjadi halangan kepada usaha Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

    Sebaliknya, Dr Mahathir mendakwa, Anwar yang enggan menerimanya selepas rejim PH tumbang awal tahun lalu.

    “Saya tak tolak dia. Sebenarnya, Anwar jadi Anwar kerana saya. Kalau tak ada saya, Anwar bukan siapa pun.

    “Saya yang bawa naik dia sampai jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam wawancara bersama Bernama malam tadi.

    Ahli Parlimen Langkawi itu merujuk kepada perkembangan politik sekitar era 1990-an ketika beliau masih menjadi Presiden UMNO manakala Anwar bergelar timbalannya.

    Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Anwar namun Ahli Parlimen Port Dickson itu masih menyalahkannya sebagai punca perpecahan dalam PH.

    Dr Mahathir turut mengakui usaha PH untuk berkuasa semula gagal walaupun kerajaan PN sebelum ini tidak kuat sebab tidak mempunyai majoriti yang selesa.

    Beliau mendakwa, salah satu punca pakatan pembangkang itu gagal bekerjasama adalah keengganan Anwar untuk memberikan sebarang peranan kepadanya.

    “Syarat yang dikenakan kepada saya ialah saya tidak boleh pegang apa-apa jawatan pun dalam PH, jauh sekali menjadi Perdana Menteri.

    “Dia nak jadi Perdana Menteri. Saya kata pada dia, ‘Saya jadi Perdana Menteri untuk enam bulan, lepas tu you take over la’.

    “Lepas tu apa peranan saya? Tak nak saya jadi perdana menteri, tak nak saya ada dalam parti. Dia yang menolak saya. Tapi dengan bijaknya, dia beritahu kepada orang yang saya tolak dia,” jelasnya.

    Rejim PH tumbang sendiri setelah 22 bulan berkuasa apabila Dr Mahathir mengambil tindakan mengejut dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

    Keputusan luar jangka Dr Mahathir itu dipercayai ada kaitan dengan desakan yang sangat hebat daripada kem Anwar dalam PH meminta beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu secepat mungkin.

    Namun, ketika itu, Dr Mahathir meminta supaya diberi tempoh sehingga hujung 2020, selepas persidangan APEC yang dipengerusikan Malaysia selesai.

  • Yan, Kuala Muda kawasan bencana Tahap Satu – MB Kedah

    Yan, Kuala Muda kawasan bencana Tahap Satu – MB Kedah

    Oleh Rizqi Zabidi

    Kerajaan Negeri Kedah mengklasifikasikan Daerah Yan dan Kuala Muda yang terjejas akibat fenomena kepala air petang semalam sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

    Berikutan itu katanya, semua agensi kerajaan dan badan berkanun berkaitan dengan pengurusan operasi bencana, sedang mengambil pelbagai langkah perlu bagi memastikan musibah melanda dapat ditangani dengan berkesan.

    “Kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam berikutan kejadian itu di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai petang semalam.

    “Bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai tadbir, mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih amat mendalam terhadap korban dalam kejadian itu,” katanya.

    Tambahnya, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa saja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas.

    “Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, petugas kerajaan serta sukarelawan agar menjaga diri dengan ancaman Covid-19.

  • Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    HAKIM Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berang kerana bekas Perdana Menteri itu tidak hadir pada prosiding perbicaraan, pagi ini.

    Sebaik saja perbicaraan kes itu bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah, anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Menurut Rahmat, Najib dan Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    “Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berang dan berkata, Najib seharusnya hadir di mahkamah terlebih dahulu.

    “Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana. Namun, laporan media menyatakan, ia akan dilakukan secara berperingkat.

    “Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

    Tambah beliau, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

    Namun, mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

  • Perkhidmatan kerajaan E2E kini capai 57.02 peratus

    Perkhidmatan kerajaan E2E kini capai 57.02 peratus

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERKHIDMATAN kerajaan dalam talian sepenuhnya atau ‘end-to-end’ (E2E) sudah mencapai tahap 57.02 peratus sehingga bulan lalu.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, E2E yang bertujuan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat itu adalah berdasarkan rangka kerja MyDigital.

    Kerajaan katanya, menetapkan sasaran 80 peratus menjelang 2025 bagi perkhidmatan sedemikian.

    “Antara objektif pendigitalan kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah ataupun peratus perkhidmatan secara dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir, pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa perlu berurusan secara bersemuka.

    “E2E akan menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Malah urusan sedemikian lebih mudah, cepat, selesa serta tiada had masa,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Persidangan Digital Sektor Awam 2021 (PDiSA) secara maya menerusi laman sosial Facebook Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Justeru katanya, sebagai pendekatan untuk memberi nilai tambah dan memperkasakan lagi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus dalaman agensi, kerajaan bersetuju untuk menetapkan penambahan lima peratus daripada perkhidmatan E2E semasa sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) 2021 Tier-1 bagi penjawat utama perkhidmatan awam.

  • Istana tidak jemput kem PH, peluang Anwar malap?

    Istana tidak jemput kem PH, peluang Anwar malap?

    AHLI Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) tidak dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

    Memetik laporan BH Online, perkara itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memberitahu, Ahli Parlimen dari PKR tidak menerima jemputan daripada pihak istana untuk menghadap Seri Paduka bagi mengesahkan surat akuan (SD) sokongan kepada calon Perdana Menteri pilihan mereka.

    “Tidak dapat jemputan. Itu kena tanya pihak istana,” katanya.

    Perkembangan tersebut mencetuskan spekulasi berhubung kegagalan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih sokongan yang mencukupi untuk merealisasikan angan-angannya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    Walaupun kem PH mendakwa Anwar beroleh 105 sokongan, Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan gagal memancing undi daripada kem UMNO yang bersepakat menyokong pencalonan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Peluang bekas Timbalan Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin cerah apabila beliau dikatakan menerima sokongan daripada 114 Ahli Parlimen.

    Difahamkan, Ahli-ahli Parlimen dari parti-parti komponen PN juga memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

    Hari ini juga, Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan menghadap Seri Paduka di Istana Negara.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengesahkan bahawa 114 Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri menghadap Seri Paduka hari ini.

    Ahli Parlimen Pontian itu mendakwa, hanya kumpulan yang menang sahaja dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

    Mana-mana Ahli Parlimen yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri yang baharu perlu meraih sekurang-kurangnya 111 sokongan untuk melayakkannya dipertimbangkan bagi mengisi jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara itu.

    Walau bagaimanapun, seperti dititahkan oleh Seri Paduka semalam, Perdana Menteri kesembilan perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat dengan segera bagi mengabsahkan bahawa beliau menerima kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

  • PICK capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi semalam – JKJAV

    PICK capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi semalam – JKJAV

    Oleh Abu Ubaidilah Rahman

    SASARAN untuk menvaksinasikan 50 peratus rakyat dewasa negara telah berjaya dicapai semalam.

    Menurut pihak pengurusan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu, setakat ini 11,743,096 populasi dewasa negara telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

    Menurut perkongsian infografik di Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini, memaklumkan sebanyak 75.3 peratus atau 17,625,760 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin COVID-19 menerusi PICK setakat semalam sebanyak 29,368,856 dos.

    Menurut JKJAV, 54 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 36 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

    Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 531,114 dos semalam berbanding 525,111 dos pada Selasa, dengan 188,474 adalah dos pertama manakala 342,640 adalah dos kedua.

  • Harap usaha Muhyiddin, kerajaan PN tangani Covid-19 diteruskan kerajaan baharu

    Harap usaha Muhyiddin, kerajaan PN tangani Covid-19 diteruskan kerajaan baharu

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    PERDANA Menteri dan kerajaan baharu nanti diharap dapat meneruskan semua usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dalam menangani Covid-19.

    Ketua Penerangan Wanita PN Johor, Normala Sudirman berkata, antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana ternyata membuktikan kejayaan dengan catatan jumlah vaksinasi harian tertinggi di dunia.

    “Begitu juga strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga menunjukkan prestasi yang baik dan semakin menunjukkan kejayaan dari masa ke semasa dan sehingga hujung tahun ini kita akan melihat keberhasilan PPN.

    “Inisiatif kerajaan PN sebelum ini yang menempah lebih 87 juta dos vaksin melibatkan perbelanjaan RM4.36 bilion adalah langkah dan usaha membebaskan rakyat daripada Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak RM530 bilion telah diperuntukkan sepanjang era kerajaan PN melibatkan lapan pakej ekonomi dalam usaha menjaga kesihatan dan meneruskan kelangsungan hidup rakyat.

    Wanita PN Johor katanya, mahukan semua usaha itu dapat diteruskan Kabinet baharu meskipun pucuk pimpinan utama kerajaan telah bertukar selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

    “Kita ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet kerajaan PN yang telah mencurahkan khidmat bakti dengan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.

    “Rakyat Malaysia menjadi saksi kesungguhan kerajaan PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah gigih berusaha sehabis mampu untuk menyelamatkan negara tercinta daripada cengkaman wabak Covid-19 selama ini,” katanya.

    Pihaknya mengharapkan agar rakyat dapat dibebaskan daripada pandemik Covid-19 dalam masa terdekat walau apa jua situasi yang berlaku.

  • Hentikan ‘kejahilan’ dalam berpolitik, rakyat sudah muak!

    Hentikan ‘kejahilan’ dalam berpolitik, rakyat sudah muak!

    SEGALA debaran siapa Perdana Menteri Ke-19 dijangka berakhir hari ini. Apabila 114 ahli Parlimen yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menduduki jawatan itu akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

    Majlis menghadap atau perjumpaan dengan Seri Paduka itu adalah sebagai proses pengesahan sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin lalu.

    Walaupun tiada pengumuman rasmi setakat ini namun berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Ahmad Fadhil Shaari hanya ‘pasukan’ yang menang sahaja dipanggil menghadap.

    Sememangnya dari segi jumlah 114 yang diterima oleh Ismail Sabri, ia sekaligus mengesahkan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ‘terkubur lagi’.

    Tidak perlulah lagi kita berbicara soal berapa sokongan yang diterima oleh Presiden PKR itu kerana yang pasti berapa pun beliau dapat ia bukan angka ‘yang kukuh dan meyakinkan’.

    Pada awal ‘pertarungan’ bermula, laluan Ismail Sabri dilihat ‘berduri’ kerana beliau bersama 22 lagi ahli Parlimen UMNO dianggap mengingkari keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Justeru walaupun telah mendapat sokongan 100 ahli Parlimen namun ia belum mencukupi kerana bekas Timbalan Presiden UMNO  itu  memerlukan 11 lagi sokongan bagi membolehkan beliau memperolehi majoriti 111. Jumlah kerusi Dewan Rakyat ialah 222 bagaimanapun terdapat dua kekosongan berikutan kematian ahli parlimen Batu Sapi dan Ahli Parlimen Gerik.

    Nasib Ismail Sabri terletak di tangan 15 lagi ahli Parlimen UMNO, walaupun ada yang cuba menjadi ‘batu api’ dengan tujuan sokongan tidak diberikan namun MT memutuskan untuk menyokong pencalonan beliau. Biarpun Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan kekal tidak menyokong tetapi ia tidak menjejaskan apa-apa.

    Selepas ini sebagai Perdana Menteri baharu seperti mana dititahkan oleh Seri Paduka perlu membawa usul percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan pelantikan beliau.

    Walaupun ramai yang mula bimbang bahawa ia akan mencetuskan satu konflik atau kemelut politik kerana pembangkang mungkin akan mengambil kesempatan untuk menjatuhkan pula Ismail Sabri, namun senario kali ini berbeza.

    Pertama, 114 ahli Parlimen sudah menyatakan dalam surat akuan serta disahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka menyokong Ismail Sabri maknanya di sidang Parlimen nanti itulah pendirian mereka.

    Jika mereka keputusan yang dibuat di Parlimen tidak sama dengan apa yang dinyatakan dalam surat akuan bersumpah, mereka boleh dianggap menipu Seri Paduka dan tidak layak sama sekali menjadi ahli Parlimen.

    Bagaimanapun jika mereka kekal menyokong Ismail Sabri maka ia sekaligus akan menutup ruang kepada sebarang percubaan untuk menukar pemilihan beliau.

    Kedua, ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang pastinya sudah mendapat mesej yang jelas daripada Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah melalui perjumpaan dengan ketua-ketua parti pada Selasa lalu.

    Antara lain Seri Paduka bertitah;

    *Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi pandemik Covid-19.

    *Kesepakatan dan kejujuran ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

    Turut ditegaskan oleh Seri Paduka dan Sultan Nazrin ialah semua kemelut dan kecelaruan politik telah memberi kesan negatif  yang mendalam kepada ekonomi negara.

    Selain itu baginda berdua turut menzahirkan pandangan ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar segera.

    Titah serta peringatan Seri Paduka dan Sultan Nazrin sudah jelas, justeru ahli-ahli Parlimen wajib mematuhi dan memastikan kemelut politik yang memualkan tidak berterusan. Rasa sudah bosan dan muak.

    Di mana-mana sahaja terutama dalam media sosial, ahli-ahli politik menjadi sasaran kecaman dan kritikan kerana terus berpolitik ketika rakyat susah. Kalau mereka tidak berubah sikap,jangan terkejut jika dalam PRU-15 nanti majoriti rakyat tidak keluar mengundi.

    Buat apa mereka mengundi memilih ahli Parlimen, kalau puak yang kononnya bergelar wakil rakyat hanya menyusahkan rakyat dan hanya memperalatkan nama rakyat untuk menghalalkan tindakan merebut kuasa politik termasuk menjatuhkan pemimpin negara.

    Janganlah menunjukkan ‘kejahilan’ dalam politik sehingga menyusahkan rakyat, jadikanlah pelantikan Ismail Sabri sebagai ‘noktah’ kepada kemelut politik sebelum PRU-15 diadakan.

    Kalau rasa parti kita hebat, kalau rasa kita layak Perdana Menteri, kalau kita rasa ada sokongan kuat dalam kalangan rakyat tunggu sahaja PRU-15, di situlah gelanggang sebenar.

  • Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH selebriti yang dikaitkan dengan video tular ganguan seksual baru-baru ini tiba ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis.

    Beliau hadir kira-kira pukul 9 pagi selepas dipanggil pihak polis, pada Rabu.

    Menurut laporan-laporan media semalam, pendakwah terbabit dipanggil untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi media mengesahkan kehadiran pendakwah itu.

    Menurutnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan mengenai kehadiran pendakwah terbabit. 

    Pada Julai lepas, seorang pengguna twitter telah menularkan satu video memaparkan individu mirip pendakwah berkenaan melaku aksi seksual.

    Pengguna twitter yang menyembunyikan identiti dirinya itu turut mengeluarkan persoalan apa yang bakal berlalu sekiranya seorang tokoh negara merupakan seorang pemangsa seksual.

    “Apa yang anda buat sekiranya anda tahu seseorang tokoh negara seorang seksual predator.

    “Tetapi, anda tiada bukti mahkahmah (sebab si mangsa tak nak buat report polis).

    “Tokoh ini tokoh yang disanjung dan disayangi. Sampai susah nak percaya perangai sebenarnya,” kata hantaran itu. 

  • 3 PPS di Pulau Pinang dibuka

    3 PPS di Pulau Pinang dibuka

    SEBANYAK tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir dibuka di Pulau Pinang bermula tengah malam tadi ekoran kejadian banjir di beberapa kawasan di negeri itu sejak petang semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS itu masing-masing di Dewan JKKK Sungai Kechil; Sekolah Kebangsaan Jawi dan Dewan Al-Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar.

    Katanya, PPS Dewan JKKK Sungai Kechil dibuka pukul 1 pagi tadi dan menempatkan sembilan orang daripada sebuah keluarga termasuk tiga kanak-kanak.

    Sementara itu katanya, PPS SK Jawi dibuka pukul 12 tengah malam tadi dan kini menempatkan seramai 11 orang daripada empat buah keluarga.

    Dalam pada itu, difahamkan PPS di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar yang dibuka pukul 11 malam tadi ketika ini menempatkan tiga buah keluarga terdiri daripada 12 orang.

    “Semua mangsa banjir yang berada di PPS dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Ratusan buah rumah khususnya di kawasan Balik Pulau; Teluk Kumbar, Balik; Teluk Bahang dan Nibong Tebal petang semalam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 12 tengah hari.

    Keadaan banjir menjadi lebih buruk dengan ada kawasan dinaiki air sehingga 0.5 meter disebabkan kejadian air pasang selain hujan yang kembali lebat pada sebelah malam.

    Bagaimanapun, air kembali surut pagi ini dan penduduk kini sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah mereka daripada sisa-sisa banjir.

    Ini merupakan kali kedua banjir kilat melanda kawasan terbabit selepas kejadian pertama Mei lalu disebabkan hujan lebat berterusan dalam tempoh hanya beberapa jam.