Oleh Rizqi Zabidi

Kerajaan Negeri Kedah mengklasifikasikan Daerah Yan dan Kuala Muda yang terjejas akibat fenomena kepala air petang semalam sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

Berikutan itu katanya, semua agensi kerajaan dan badan berkanun berkaitan dengan pengurusan operasi bencana, sedang mengambil pelbagai langkah perlu bagi memastikan musibah melanda dapat ditangani dengan berkesan.

“Kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam berikutan kejadian itu di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai petang semalam.

“Bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai tadbir, mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih amat mendalam terhadap korban dalam kejadian itu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa saja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, petugas kerajaan serta sukarelawan agar menjaga diri dengan ancaman Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here