SEBANYAK tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir dibuka di Pulau Pinang bermula tengah malam tadi ekoran kejadian banjir di beberapa kawasan di negeri itu sejak petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS itu masing-masing di Dewan JKKK Sungai Kechil; Sekolah Kebangsaan Jawi dan Dewan Al-Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar.

Katanya, PPS Dewan JKKK Sungai Kechil dibuka pukul 1 pagi tadi dan menempatkan sembilan orang daripada sebuah keluarga termasuk tiga kanak-kanak.

Sementara itu katanya, PPS SK Jawi dibuka pukul 12 tengah malam tadi dan kini menempatkan seramai 11 orang daripada empat buah keluarga.

Dalam pada itu, difahamkan PPS di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar yang dibuka pukul 11 malam tadi ketika ini menempatkan tiga buah keluarga terdiri daripada 12 orang.

“Semua mangsa banjir yang berada di PPS dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ratusan buah rumah khususnya di kawasan Balik Pulau; Teluk Kumbar, Balik; Teluk Bahang dan Nibong Tebal petang semalam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 12 tengah hari.

Keadaan banjir menjadi lebih buruk dengan ada kawasan dinaiki air sehingga 0.5 meter disebabkan kejadian air pasang selain hujan yang kembali lebat pada sebelah malam.

Bagaimanapun, air kembali surut pagi ini dan penduduk kini sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah mereka daripada sisa-sisa banjir.

Ini merupakan kali kedua banjir kilat melanda kawasan terbabit selepas kejadian pertama Mei lalu disebabkan hujan lebat berterusan dalam tempoh hanya beberapa jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here