Category: Semasa

  • Lebih 4,000 kunjungi Tasik Kenyir dalam tempoh 15 hari dibuka

    Lebih 4,000 kunjungi Tasik Kenyir dalam tempoh 15 hari dibuka

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    WALAUPUN pergerakan para pelancong khususnya dari luar Terengganu masih lagi ‘tersekat’, namun orang ramai tetap menjadikan Tasik Kenyir, di Hulu Terengganu sebagai destinasi percutian pilihan di negeri ini.

    Ini terbukti, apabila seramai 4,582 telah mengunjungi tasik berkenaan dalam tempoh 15 hari selepas ia dibuka semula kepada orang ramai sejak 1 September lalu.

    Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris, sambutan diterima daripada para pengunjung setakat ini amat menggalakkan dan ini secara tidak langsung memberi impak positif terhadap ekonomi penggiat industri pelancongan di kawasan tersebut.

    Menurut beliau, ketika ini kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir masih dikawal dengan mensyaratkan prosedur operasi standard (SOP) sepertimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Berdasarkan perkembangan menggalakan ini kata Razali, beliau percaya jumlah pengunjung dijangka terus meningkat dari masa ke semasa.

    Malah katanya, inisiatif dilakukan penggiat industri khususnya melibatkan pengusaha rumah bot yang menawarkan pakej istimewa dan potongan harga antara lima hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah hari tempahan, hujung minggu atau hari biasa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar turut menarik perhatian orang ramai.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Senator Datuk Razali Idris

    “Difahamkan, banyak tempahan sudah diterima pengusaha rumah bot Tasik Kenyir sepanjang bulan September dan Oktober,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Razali, buat masa ini aktiviti dan destinasi lawatan masih lagi terhad kerana kebanyakan lokasi utama seperti Taman Herba, Santuari Kelah dan Taman Negara masih ditutup berikutan Terengganu sebelum ini masih berada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Namun katanya, suasana dijangka bertambah meriah selepas Terengganu beralih kepada Fasa Tiga PPN bermula Jumaat esok.

    “Walaupun kesemua penggiat pelancongan di Tasik Kenyir sudah lengkap menerima dua dos vaksin pada bulan lalu, kita berharap mereka akan terus mematuhi SOP.

    “Begitu juga dengan orang ramai yang ingin bercuti di sana, mereka perlu sentiasa mengikut peraturan ditetapkan,” jelas beliau.

  • Ganti sistem penggiliran kepada membuka sesi sekolah mengikut daerah kurang kes Covid-19

    Ganti sistem penggiliran kepada membuka sesi sekolah mengikut daerah kurang kes Covid-19

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PENDEKATAN terbaik untuk kembali membuka sekolah adalah mengikut daerah secara berperingkat, bukannya mengikut negeri berdasarkan fasa pemulihan. 

    Pemerhati pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, dalam situasi pandemik Covid-19  ketika ini, terdapat daerah di negeri-negeri yang kadar jangkitannya adalah rendah dan terkawal.

    Sehubugan itu tambah Anuar yang juga pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuka dahulu sekolah di daerah tersebut.

    “Bagi daerah yang masih tinggi kadar jangkitan harian, sesi persekolahan di daerah itu tidak boleh dibuka dahulu walaupun berada di negeri fasa tiga atau empat.

    “Vaksinasi juga adalah penentu sebenar kepada pembukaan sekolah yang mana sepatutnya hanya sekolah yang murid-muridnya telah divaksin sahaja dibenarkan beroperasi semula,”katanya dalam satu kenyatan hari ini.

    Menurut Anuar, pembukaan sekolah mengikut daerah dan berdasarkan vaksinasi kepada pelajar itu penting bertujuan mendapatkan kembali keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah.

    Tambah beliau, ini juga merupakan alternatif kepada model pembukaan sekolah secara penggiliran mingguan yang diperkenalkan oleh KPM yang akan mewujudkan tiga kumpulan pelajar di dalam sesebuah kelas iaitu kumpulan A, kumpulan B dan kumpulan C.

    “Sekiranya sebuah kelas terdapat 36 murid yang dipecahkan kepada kumpulan A dan kumpulan B, maka setiap kumpulan akan ada 18 murid.

    “Tapi pasti ada sebahagian murid kumpulan A dan sebahagian murid kumpulan B yang tidak akan dibenarkan oleh ibu bapa ke sekolah atas sebab bimbangkan keselamatan anak-anak. Kumpulan ini akan membentuk kumpulan C iaitu kumpulan ‘cicir’,” katanya.

    Menjelaskan lebih lanjut, tambah Anuar, kumpulan ‘cicir’ itu ialah mereka yang langsung tidak hadir ke sekolah sekali gus tidak dapat mengikuti pembelajaran bersemuka di sekolah.

    “Pada masa yang sama, mereka juga tidak dapat mengikuti sesi pengajian secara online (PdPR) bermodul pada minggu seterusnya kerana tidak hadir ke sekolah pada minggu sebelumnya.

    “Ini akan menyebabkan murid-murid kumpulan C akan tercicir pembelajaran mereka disebabkan dasar penggiliran yang dilaksanakan oleh KPM,” katanya.

  • EIA projek tambak laut dibatal, Pulau Pinang fail semakan kehakiman

    EIA projek tambak laut dibatal, Pulau Pinang fail semakan kehakiman

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membatalkan kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut perairan selatan (PSR).

    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri berpandangan keputusan JAS adalah berasaskan kepada ketidakpatuhan proses perancangan semata-mata, bukannya atas hujah-hujah substantif ataupun ‘merits of the case’.

    Tambahnya, keputusan bertulis Lembaga Rayuan menjelaskan laporan EIA didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) dianggap belum lagi berkuat kuasa ketika kelulusan EIA diberi.

    Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan itu dan berpendapat segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan-kelulusan yang perlu telah pun dipatuhi.

    “Ini termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019.

    “Kedua-dua pematuhan ini dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan bahawa projek tersebut hendaklah selari dengan ‘development plan or physical plan approved by the relevant approving authority’.

    “Justeru, kelulusan yang diberi oleh Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan-keperluan akta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam masa sama, tambah Zairil, kerajaan negeri juga akan memulakan proses mengemukaan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi Negeri ini pada zaman pasca Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.

  • PM lawat mangsa tanah runtuh di Penampang

    PM lawat mangsa tanah runtuh di Penampang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat tiga keluarga yang menjadi mangsa tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang, hari ini.

    Perdana Menteri meluang masa kira-kira 10 minit dengan diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menaiki kenderaan khas.

    Meninjau sekitar lokasi kejadian, Perdana Menteri turut bertanya khabar keluarga terlibat tanah runtuh serta menyampaikan sumbangan.

    Sementara itu, seorang mangsa, Doraly John, 36, mengakui terkejut apabila kejadian yang menimpa mereka mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang kebetulan datang ke negeri ini.

    “Sebenarnya, saya hanya tahu kira-kira 20 minit sebelum Perdana Menteri tiba melawat kami tiga keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh semalam.

    “Walaupun masih terkejut dengan kejadian yang berlaku, namun kami bersyukur kerana mendapat perhatian daripada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Semalam tanah runtuh berlaku di kawasan tersebut dan terdapat mangsa diselamatkan penduduk kampung berkenaan dalam perkongsian dua video masing-masing berdurasi 29 saat dan 48 saat.

    Seorang penduduk melihat keadaan sebuah rumah keadaan tanah runtuh yang berlaku di Kampung Madsiang

    Doraly berkata, Perdana Menteri turut memaklumkan akan membina semula rumah mereka yang rosak teruk akibat kejadian itu.

    “Perdana Menteri ada juga cakap dia mahu bina rumah kami semula sebab yang rumah lama ini sudah tidak boleh dibaiki.

    “Saya sangat bersyukur kerana turut diberi bantuan makanan dan juga sedikit sumbangan,” katanya.

    Mengimbas semula kejadian itu, Doraly berkata, ia berlaku dalam sekelip mata saja namun bernasib baik apabila semua ahli keluarganya terselamat.

    “Saya ketika itu baru tiba dari pekan dan dalam tempoh dua minit sahaja tiba-tiba berlaku runtuhan tanah dari bukit sehingga menyebabkan kenderaan saya terbalik dan turut menghempap rumah.

    “Saya turut tercedera di bahagian pinggang dan kaki akibat dihempap dinding namun disebabkan bimbang dengan keselamatan anak-anak, saya segera mencari mereka di dalam rumah,” katanya.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri dalam kenyataannya, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk terhadap jiran, rakan serta ahli keluarga sendiri ketika di musim tengkujuh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

  • 18,815 kes Covid-19 di Malaysia hari ini

    18,815 kes Covid-19 di Malaysia hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA mencatatkan 18,815 kes Covid-19 hari ini, menurun berbanding 19,495 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pertambahan itu bermakna jumlah kumulatif kes Covid-19 negara adalah 2,049,750 kes.

  • 2 penjenayah warga asing ditembak mati

    2 penjenayah warga asing ditembak mati

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS menembak mati dua penjenayah warga asing maut dalam insiden berbalas tembakan di kawasan semak di Bukit Mengkuang, Kubang Semang, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Terdahulu, suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Waja itu dikejar sepasukan polis selepas cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Jalan Penanti kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketika kejadian salah seorang suspek melepaskan dua das tembakan ke arah polis manakala seorang lagi cuba menyerang anggota terbabit menggunakan parang.

    Sehubungan itu tambahnya, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek dalam usaha untuk mempertahankan diri. 

    “Bagaimanapun, tembakan yang dilepaskan suspek ke arah polis tidak mengenai sasaran sebaliknya terkena cermin sisi kereta polis,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, hari ini.

    Mohd. Shuhaily berkata, polis turut menemui dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memecah masuk rumah di bahagian but belakang kereta Proton Waja yang dinaiki suspek.

    Turut dijumpai tambahnya, sepucuk pistol berisi enam butir peluru serta sebilah parang.

    Katanya, semakan terhadap kereta yang dinaiki suspek mendapati kenderaan itu pernah dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lalu di Sungai Petani, Kedah.

    Jelas Mohd. Shuhaily, kedua-dua suspek itu juga diburu polis kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan dan melepaskan tembakan di Bukit Mertajam, Ahad lalu.

  • Ihsan Sultan Johor, rumah usang 2 beradik warga emas dibina semula

    Ihsan Sultan Johor, rumah usang 2 beradik warga emas dibina semula

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESUSAHAN hidup dua beradik warga emas yang tinggal dalam sebuah rumah usang di Kampung Perigi Acheh, Masai, Pasir Gudang mendapat perhatian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Sultan Johor berkenan membina semula kediaman Tan Lai Ho, 65, dan Tan Lai Siang, 67, yang sudah tidak selamat untuk diduduki.

    Rumah papan yang dihuni mereka sejak lahir hampir roboh dimakan anai-anai dan keadaan lebih menyedihkan apabila dibasahi air sewaktu hujan disebabkan atap berlubang.

    Lai Ho berkata, abangnya, menghidap penyakit glaukoma yang kritikal sehingga kedua-dua matanya kabur dan tidak mempunyai keupayaan untuk bekerja mencari rezeki.

    “Saya bekerja sebagai pembantu di sebuah tokong Cina berdekatan dengan rumah dan gaji yang diterima sekadar cukup untuk membeli barangan makanan sahaja.

    “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Baginda Tuanku Sultan kerana sudi menghulurkan bantuan untuk membina rumah kepada kami,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, Mejar Cina, Datuk David Wong yang mengunjungi kediaman dua beradik berkenaan turut meluangkan masa meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan rumah baharu mereka.

    Beliau turut menyampaikan sumbangan 144 kotak makanan kurniaan Sultan Ibrahim menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada Ketua Kampung, Othman Adon.

    Selain itu, beliau menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi Sultan Johor untuk perbelanjaan sarapan serta makanan tengah hari kepada penduduk kampung yang bakal menerima suntikan vaksin.

    “Baginda sentiasa menggalakkan rakyat untuk mendapatkan vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan juga komuniti,” katanya.

  • Hari Malaysia perkukuh Kesatuan Dalam Kepelbagaian

    Hari Malaysia perkukuh Kesatuan Dalam Kepelbagaian

    HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September sentiasa sarat dengan nilai dan makna serta mengingatkan tentang betapa bertuahnya dapat terus menghela nafas di tanah air tercinta ini.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia juga mengukuhkan lagi tekad untuk terus memaknai Kesatuan Dalam Kepelbagaian sesama Keluarga Malaysia.

    “Demi menghargai pengorbanan pejuang terdahulu. Demi kesejahteraan kita hari ini. Dan demi kebanggaan generasi seterusnya. Insya-Allah. Selamat Hari Malaysia!!” katanya dalam hantaran Facebook sempena Hari Malaysia, hari ini.

    Dalam hantaran berasingan, beliau menyatakan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

    Hishammuddin memberitahu, sepanjang hampir sembilan dekad ini, terlalu banyak, teramat mendalam dan tersangat besar jasa Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Tentera Udara Diraja Malaysia demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air.

    Hari ATM
    Hishammuddin Hussein mengucapkan selamat Hari ATM Ke-88 kepada semua pegawai dan anggota tentera di negara ini.

    “Tanpa ragu dan gentar, sanggup terasing di belantara, belayar jauh di samudera dan terbang tinggi di udara. Nyawa dipertaruhkan, kudrat dikerah, berjauhan dari keluarga – tiada satu pun pengorbanan ini mampu dibalas dengan apa jua yang setimpal.

    “Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap perwira ATM kerana sentiasa menjadi perisai negara dan rakyat termasuk di era COVID-19 yang serba menguji ini. Selamat Hari ATM ke-88,” katanya.

  • Salur lebih RM18.24 juta pengurusan bencana Sabah-PM

    Salur lebih RM18.24 juta pengurusan bencana Sabah-PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan lebih RM18.24 juta kepada Sabah bagi melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas di negeri ini sentiasa dipelihara.

    Perdana Menteri berkata, perunttukan itu disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

    “Peruntukan ini bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), pembelian 2,500 unit C-Tent (RM961,250), operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000), operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000) dan pengurusan operasi Covid-19 di Sabah iaitu sebanyak RM16 juta.

    “Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyampaikan cek contoh peruntukan berkenaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu, hari ini.

    Ismail Sabri sebelum itu mendengar taklimat mengenai pembangunan Sabah yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan menteri-menteri kabinet negeri.

  • Bantuan Wang Ihsan dinaikkan kepada RM1,000-PM

    Bantuan Wang Ihsan dinaikkan kepada RM1,000-PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan bersetuju menaikkan Bantuan Wang Ihsan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap keluarga terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana lain.

    Menurut Perdana Menteri, inisiatif bantuan itu dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah dengan melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta.

    Beliau sebelum itu mengumumkan peruntukan RM18.241 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Sabah bagi menguruskan tindak balas bencana.

    “Kerajaan salur peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 berjumlah RM9.5 juta bagi bantu negeri urus bencana MTL,” katanya, hari ini.