HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September sentiasa sarat dengan nilai dan makna serta mengingatkan tentang betapa bertuahnya dapat terus menghela nafas di tanah air tercinta ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia juga mengukuhkan lagi tekad untuk terus memaknai Kesatuan Dalam Kepelbagaian sesama Keluarga Malaysia.

“Demi menghargai pengorbanan pejuang terdahulu. Demi kesejahteraan kita hari ini. Dan demi kebanggaan generasi seterusnya. Insya-Allah. Selamat Hari Malaysia!!” katanya dalam hantaran Facebook sempena Hari Malaysia, hari ini.

Dalam hantaran berasingan, beliau menyatakan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

Hishammuddin memberitahu, sepanjang hampir sembilan dekad ini, terlalu banyak, teramat mendalam dan tersangat besar jasa Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Tentera Udara Diraja Malaysia demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air.

Hari ATM
Hishammuddin Hussein mengucapkan selamat Hari ATM Ke-88 kepada semua pegawai dan anggota tentera di negara ini.

“Tanpa ragu dan gentar, sanggup terasing di belantara, belayar jauh di samudera dan terbang tinggi di udara. Nyawa dipertaruhkan, kudrat dikerah, berjauhan dari keluarga – tiada satu pun pengorbanan ini mampu dibalas dengan apa jua yang setimpal.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap perwira ATM kerana sentiasa menjadi perisai negara dan rakyat termasuk di era COVID-19 yang serba menguji ini. Selamat Hari ATM ke-88,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here