Category: Semasa

  • JPNJ terima RM16.66 juta untuk program Jaminan Bekalan Makanan

    JPNJ terima RM16.66 juta untuk program Jaminan Bekalan Makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Pertanian Negeri Johor (JPNJ) menerima peruntukan RM16.66 juta untuk menyelaras pelaksanaan enam program yang melibatkan seramai 1,583 penerima bermula tahun ini hingga tahun depan.

    Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 juta diagihkan untuk program kolaborasi syarikat peneraju dengan pengusaha tanaman serta industri asas tani.

    “Peruntukan yang diterima ini adalah menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi pelaksanaan program atau projek di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan.

    “Tujuannya bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan di samping menjadikan Johor sebagai hab utama pengeluaran makanan negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JPNJo dan pemain industri dengan pengusaha tanaman atau industri asas tTani, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini .

    Turut hadir Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

    Sesi Menandatangani MoU yang diadakan hari ini merupakan fasa pertama membabitkan enam syarikat peneraju dan 20 pengusaha manakala fasa kedua akan diadakan pada Januari 2022 membabitkan enam syarikat peneraju dan 50 pengusaha.

    Hasni (belakang tengah) dan Tengku Zafrul (belakang kiri) menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara JPNJ bersama syarikat peneraju dan pengusaha pertanian dan industri asas tani di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri

    Hasni berkata, program itu adalah satu kerjasama antara syarikat peneraju yang bertindak sebagai pemain industri dengan pengusaha tanaman atau industri asas tani menerusi urusan jual beli hasil atau produk pertanian, seterusnya mewujudkan perjanjian ladang kontrak.

    Menurutnya, persefahaman tersebut bertujuan mendapatkan harga pasaran yang relevan serta menguntungkan kedua-dua pihak atas nasihat JPNJ.

    “Syarikat peneraju akan bertanggungjawab mencari pasaran sama ada tempatan atau eksport, manakala pengusaha berperanan memastikan produk dikeluarkan dengan kuantiti yang mencukupi, berkualiti dan selamat.

    “Menerusi program ini, setiap syarikat peneraju akan menerima insentif maksimum RM50,000 bagi setiap syarikat manakala setiap pengusaha menerima insentif maksimum RM20,000,” katanya.

    Insentif berkenaan katanya, akan diberi dalam bentuk peralatan, mesin, kelengkapan atau infrastruktur yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti serta pembinaan bangunan pusat pengumpulan hasil ladang untuk memastikan proses pemasaran berjalan dengan lancar.

    Hasni berkata, program itu dijangka mampu mengatasi masalah pemasaran serta lambakan produk pertanian yang sering dihadapi pengusaha, terutamanya pengusaha kecil dalam mendapatkan harga pasaran yang baik.

    “Usaha ini adalah satu kaedah untuk mengeluarkan pengusaha iaitu petani kecil daripada kepompong kumpulan B40 di mana syarikat peneraju juga akan mendapat produk pertanian yang mencukupi dan berkualiti, seterusnya mampu meningkat,” katanya.

  • Maritim selamatkan wanita Itali sakit apendiks

    Maritim selamatkan wanita Itali sakit apendiks

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menerusi misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) menyelamatkan seorang wanita warga Itali yang mengalami sakit apendiks.

    Pengarahnya, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, kru kapal tangki berusia 22 tahun itu mengadu sakit perut kronik atau apendiks ketika kapal berada di perairan Utara Banda Acheh, Indonesia, semalam.

    Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Langkawi telah menerima aduan daripada syarikat pemilik kapal yang berpusat di Singapura sekitar jam 2 petang kelmarin.

    “Syarikat berkenaan meminta bantuan bagi membawa kru wanita terbabit ke pusat kesihatan atau hospital terdekat.

    “Berdasarkan maklumat awal diterima, lokasi Kapal MV Drenec itu dimaklumkan berada di sekitar 190 batu nautika barat laut Pulau Langkawi.

    “Ejen kapal tersebut yang berada di Lumut mencadangkan untuk mendaratkan mangsa di Malaysia berikutan kemudahan fasiliti hospital yang lebih meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan di Lumut, hari ini.

    Shahrizan berkata, misi dilaksanakan dan mangsa dipindahkan melalui titik pertemuan aset Maritim Malaysia bersama-sama kapal tangki terbabit pada kedudukan empat batu nautika utara Pulau Pangkor.

    “Mangsa telah dipindahkan dengan menggunakan kaedah ’transfer bucket’ milik kapal MV Drenec di kedudukan titik pertemuan tersebut.

    “Mangsa selamat dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh di sini sekitar jam 11 pagi sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Seri Manjung,” katanya.

  • Dron gergasi UTHM pecah rekod angkat muatan 200 kg

    Dron gergasi UTHM pecah rekod angkat muatan 200 kg

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    UNIVERSTI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat terus menempa nama apabila ciptaan dron kargo bersaiz besar yang dikenali sebagai C-Drone dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

    Lebih manis apabila kejayaan sekumpulan penyelidik tersebut menjadi hadiah untuk UTHM yang baru menyambut ulang tahun ke-28 pada Khamis lalu.

    Ketua Projek C-Drone, Profesor Madya Dr Zamri Omar berkata, kejayaan yang diraih dalam MBR itu adalah bagi kategori beban terberat yang boleh diangkat sesebuah dron.

    Jelasnya, pada percubaan rekod penerbangan, C-Drone berjaya terbang dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram.

    “C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ianya adalah daripada jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

    “Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi manakala berat kasarnya pula sekitar 400kg,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Zamri, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu proof of concept (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar yang boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

    Tambahnya, projek yang memakan masa kurang dua tahun itu dijayakan sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang pelbagai bidang kepakaran.

    Mereka turut dibantu sekumpulan pelajar dan penasihat pakar daripada universiti tempatan dan pihak industri sebelum prototaip C-Drone direka bentuk, dibina serta diuji terbang di UTHM.

    “Bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang, semuanya dilaksanakan dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang berlokasi di kampus induk,” katanya.

    “Dana projek C-Drone ini diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian daripadanya dibiayai pihak UTHM,” katanya.

    Kejayaan UTHM mencipta dan melaksanakan pengujian awal prototaip C-Drone itu katanya, diharap dapat menjadi motivasi dan membuka ruang bagi universiti serta pihak industri yang berminat untuk berkerjasama dalam mengembangkan potensi dron ke arah pengkomersialan.

  • 8,077 calon duduki peperiksaan SPM ulangan

    8,077 calon duduki peperiksaan SPM ulangan

    PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2021 akan dilaksana bermula 21 hingga 23 September ini dengan 8,077 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

    Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 1,568 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPMU 2021 di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara.

    LP mengingatkan semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung dengan memuat turun jadual waktu peperiksaan di portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.

    Calon juga diingatkan membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

    LP berkata, calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 dengan memuat turun garis panduan itu di portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my. – Bernama

  • Kes Covid-19 menurun kepada 14,956 hari ini

    Kes Covid-19 menurun kepada 14,956 hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA terus mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 penurunan empat hari berturut-turut turut apabila merekodkan 14,954 kes pada hari ini berbanding 15,549 kes yang dilaporkan semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 kepada 2,097,830 setakat jam 12 tengah hari ini.

    Beliau berkata, dua negeri yang merekodkan kes melebihi 2,000 adalah Sarawak dengan 2,707 kes dan diikuti Selangor, 2,028 kes.

    “Johor pula merekodkan 1,948 kes diikuti Kelantan (1,420), Sabah (1,356), Pulau Pinang (1,259), Perak (1,222), Kedah (809), Pahang (705), Terengganu (671) dan Melaka (207), Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (144).

    “Perlis merekodkan sebanyak 76 kes baharu Covid-19 disusuli dengan Putrajaya (19), manakala tiada kes baharu di Labuan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya, hari ini.

  • 15 PATI warga China, Indonesia ditahan dalam Op Benteng

    15 PATI warga China, Indonesia ditahan dalam Op Benteng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Warga China dan Indonesia dalam Op Benteng di di tepi pantai Jalan Tanjung Balau, Sedili Kecil (Bio-Desaru), Kota Tinggi malam tadi.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan sedang merapati ke pantai sekitar kawasan Bio-Desaru pada pukul 11 malam.

    15 PATI China dan Indonesia ditahan selepas anggota petugas pos pemerhati mengesan pergerakan bot yang mencurigakan sedang merapati ke pantai sekitar kawasan Bio-Desaru

    “Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan penjejakkan.

    “Menerusi serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 15 individu dipercayai PATI sedang bersembunyi di tepi pantai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tiga daripada 15 PATI yang ditahan sedang bersembunyi di tepi pantai

    Katanya, 15 individu PATI itu terdiri daripada lima lelaki warga China bersama-sama lima lelaki dan lima wanita Warga Indonesia yang berusia antara 21 hingga 42 tahun dipercayai baru saja masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati lima lelaki China tersebut yang tinggal di Indonesia berhasrat untuk pulang ke China menggunakan laluan masuk menerusi Malaysia,” katanya.

    Lima PATI warga China yang tinggal di Indonesia berhasrat untuk pulang ke China menggunakan laluan masuk menerusi Malaysia, turut ditahan

    Tambah beliau, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,582 melibatkan matawang Indonesia IDR 7,477,000 (RM 2,186.74) bersama-sama 10 buah telefon bimbit.

    Semua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

    Beliau memberitahu, laporan telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

  • Adakah semburan nano Covid-19 selamat?

    Adakah semburan nano Covid-19 selamat?

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat dan mengesahkan sama ada semburan nano untuk mencegah Covid-19 yang digunakan secara meluas ketika ini selamat atau sebaliknya.

    Perkara itu memandangkan terlalu sedikit maklumat mengenai produk terbabit daripada pihak KKM sekali gus menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan berhubung penggunaannya.

    Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, sebilangan besar daripada produk itu tidak menyatakan bahan-bahan pada label malah ada yang menyebut ‘bahan aktif yang terbukti melawan virus yang disenaraikan dalam’ Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Alam Sekitar Nasional dan KKM.

    Jelasnya, walaupun bahan kimia itu mungkin dinyatakan selamat dan berkesan oleh pelbagai agensi dan organisasi, namun ia mesti diperlakukan dengan berhati-hati kerana aspek ‘keselamatan’ bahan kimia tersebut bergantung kepada jangka masa pendedahan serta kepekatannya dalam cecair.

    “Lebih-lebih lagi, seseorang itu mungkin mempunyai tindak balas kesan sampingan terhadap bahan kimia tertentu dalam cecair.

    “Sesetengah cecair yang dijual bahkan tidak mempunyai label amaran yang betul, arahan pengendalian, nama pengeluar atau pengedar, serta bahan dan kepekatannya.

    “Oleh itu, kita tidak tahu sama ada siapa dan di mana cecair ini disediakan dan dibotolkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohideen, CAP bimbang kerana sesetengah orang telah menggunakan senapang itu untuk menyembur cecair aerosol ke seluruh badan mereka.

    Sedangkan jelasnya, penyedutan aerosol mungkin boleh memudaratkan sistem pernafasan seseorang atau cecair itu mungkin bersentuhan dengan mata dan mulut mereka.

    “Orang ramai mungkin boleh berkongsi maklumat ini secara tidak sengaja melalui media sosial dengan demikian boleh memberi maklumat yang salah kepada orang lain,” katanya.

    Sehubungan itu tegasnya, CAP sekali lagi kami mengulangi gesaan kepada KKM khususnya untuk menyampaikan maklumat secepat mungkin mengenai senapang semburan nano dan cecair pembersih yang mereka gunakan.

    Jelasnya, adalah amat berguna sekiranya maklumat itu boleh didapati dalam bentuk soalan lazim (FAQ) agar orang awam dapat memahaminya.

    “Senapang semburan nano adalah antara barangan yang popular kerana dianggap sebagai kaedah pembersihan yang sesuai sekurang-kurangnya untuk kegunaan peribadi dan oleh itu orang ramai perlu tahu apakah bahan kimia yang mereka kendalikan itu selamat,” katanya.

  • Syarat ketat MM2H boleh jejaskan Johor – Hasni

    Syarat ketat MM2H boleh jejaskan Johor – Hasni

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SYARAT ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan memberi kesan terhadap Johor sekiranya peraturan kepada peserta itu tidak dikaji semula untuk dilonggarkan.

    Meskipun menyambut baik pengumuman program itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri Johor amat berharap syarat yang dikenakan terbabit dapat dikaji semula sebelum ia dilaksanakan.

    Kata beliau, kajian semula itu penting kerana program MM2H merupakan salah satu kekuatan yang dapat memberi faedah serta manfaat kepada negeri tersebut.

    “Kerajaan negeri berharap agar MM2H ini bukan hanya dikaji semula tetapi segera dilaksanakan. Dengan apa yang diumumkan, Johor amat terkesan sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.

    “Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan 46 unit rumah kepada penduduk untuk projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini hari ini.

    Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan.

    Baginda bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

    Mengikut syarat baru, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

    Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

    Sementara itu, Hasni berkata, program MM2H itu juga memberi impak kepada kerajaan negeri memandangkan kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura.

    Malah ujarnya, kebimbangan kerajaan negeri dalam perkara itu telah disuarakan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkunjung ke Johor baru-baru ini.

  • Hospital Medan ATM rawat pesakit Covid-19 P. Pinang hampir siap

    Hospital Medan ATM rawat pesakit Covid-19 P. Pinang hampir siap

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    HOSPITAL Medan yang dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusus untuk merawat pesakit Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown kini sudah 95 peratus siap dan bersedia menerima pesakit dalam tempoh terdekat.

    Panglima Division Kedua Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, ketika ini kerja-kerja teknikal dan mekanikal di hospital medan itu masih giat dibangunkan oleh anggota ATM.

    Sambil melahirkan rasa puas hati dengan kerja-kerja pembinaan hospital itu oleh anggota ATM, Arman turut berharap operasinya kelak dapat membantu penduduk Pulau Pinang dalam melawan Covid-19.

    “Saya hadir meninjau operasi pembinaan Hospital Medan ini hari ini selain memberi semangat kepada anggota ATM yang bertungkus-lumus dalam memastikannya dapat beroperasi dengan sempurna dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pembinaan hospital medan itu hari ini.

    Pada 11 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebuah hospital medan akan dibina di kawasan parkir HPP bagi menampung lebih ramai pesakit Covid-19 di negeri ini.

    Hopsital medan itu yang akan menempatkan 96 katil biasa dan empat katil ICU mula dibina anggota ATM pada 16 September lalu melibatkan sebanyak 23 khemah di atas kawasan seluas 2,300 meter persegi.

  • 36,507 pelajar Terengganu suntik vaksin mulai Selasa

    36,507 pelajar Terengganu suntik vaksin mulai Selasa

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 36,507 pelajar tingkatan empat dan lima di Terengganu bakal menerima suntikan vaksin Covid-19, bermula Selasa ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, proses vaksinasi kesemua pelajar terbabit akan dijalankan di 54 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini.

    Beliau memberitahu, semua pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu akan menerima suntikan vaksin Pfizer.

    Katanya, berdasarkan data jumlah pelajar yang akan menerima vaksinasi, seramai 18,264 adalah pelajar tingkatan empat manakala 18,243 orang lagi merupakan pelajar tingkatan lima.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terenganu, Datuk Dr. Kasemani Embong

    “Jumlah pelajar yang bakal menerima suntikan vaksin ini hanya melibatkan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk sekolah menengah agama dan maktab rendah sains Mara (MRSM),” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Ahmad Shah Muhamed, Datuk Bandar Kuala Terengganu Rozali Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah.

    Menurut Dr Kasemani, program vaksinasi kepada pelajar tingkatan empat dan lima dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober depan.

    Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan mereka menduduki peperiksaan.

    Selain itu ujarnya, bagi pelajar tingkatan satu dan tiga, pihaknya sedang menunggu kelulusan untuk vaksinasi kumpulan pelajar tersebut.