Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menerusi misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) menyelamatkan seorang wanita warga Itali yang mengalami sakit apendiks.

Pengarahnya, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, kru kapal tangki berusia 22 tahun itu mengadu sakit perut kronik atau apendiks ketika kapal berada di perairan Utara Banda Acheh, Indonesia, semalam.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Langkawi telah menerima aduan daripada syarikat pemilik kapal yang berpusat di Singapura sekitar jam 2 petang kelmarin.

“Syarikat berkenaan meminta bantuan bagi membawa kru wanita terbabit ke pusat kesihatan atau hospital terdekat.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, lokasi Kapal MV Drenec itu dimaklumkan berada di sekitar 190 batu nautika barat laut Pulau Langkawi.

“Ejen kapal tersebut yang berada di Lumut mencadangkan untuk mendaratkan mangsa di Malaysia berikutan kemudahan fasiliti hospital yang lebih meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan di Lumut, hari ini.

Shahrizan berkata, misi dilaksanakan dan mangsa dipindahkan melalui titik pertemuan aset Maritim Malaysia bersama-sama kapal tangki terbabit pada kedudukan empat batu nautika utara Pulau Pangkor.

“Mangsa telah dipindahkan dengan menggunakan kaedah ’transfer bucket’ milik kapal MV Drenec di kedudukan titik pertemuan tersebut.

“Mangsa selamat dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh di sini sekitar jam 11 pagi sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Seri Manjung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here