PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua lokaliti di Pahang dan satu di Sabah, mulai esok hingga 5 Oktober ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD selama 14 hari itu akan dilaksanakan di Perumahan Ladang Felda Umas 6, Kalabakan, Sabah bermula Khamis ini hingga 6 Oktober ini.
“PKPD di Pahang membabitkan Kampung Baru Cenderawasih, Pekan serta ladang dan kilang sawit RMDC Sdn Bhd, Bukit Koman, Gali di Raub.
“Keputusan melaksanakan PKPD dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan di semua lokaliti terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan hari ini turut memutuskan menamatkan PKPD dua lokaliti di Sabah iaitu PKPD Kampung Sugiang Baru di Tenom dan Kampung Rapak di Ranau, pada esok seperti tarikh yang dijadualkan.
SEORANG pengurus besar syarikat pengeluar kereta direman enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setelah dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai.
Ia dipercayai sebagai balasan membantu syarikat kereta terpakai berkenaan memperolehi kereta prapengeluaran kegunaan kilang pengeluar bagi tujuan ujian dan kawalan kualiti, dan kereta terpakai bagi dijual di bawah harga pasaran dan tidak mengikut prosedur.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 26 Sept terhadap lelaki berkenaan, selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini, lapor Bernama.
Menurut sumber SPRM, kegiatan lelaki berkenaan dipercayai berlaku sejak 2019 melibatkan kira-kira 1,000 unit kereta yang tidak melalui proses penjualan yang diluluskan, dengan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.
Selain kereta prapengeluaran itu, kereta tukar beli daripada pelanggan yang membeli kereta baharu dari syarikat pengeluar kereta berkenaan, turut dijual kepada syarikat kereta terpakai terlibat, kata sumber tersebut.
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan Tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, peruntukan itu adalah daripada Kum;pulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
‘’Ia akan digunakan untuk penyediaan laluan masuk, penyediaan platform jentera dan pemasangan cerucuk keping sepanjang 200 meter untuk mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
PAda 17 September lalu, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Kemensah Heigjts dipercayai akibat aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor dan menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalirkan pergerakan aliran air bawah tanah dan telah mengakibatkan 27 buah rumah terjejas.
Dr. Latiff berkata, kerja-kerja perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan.
‘’Kajian penilaian dan tindakan ini diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR,’’ katanya.
KEPUTUSAN kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan memastikan ia benar-benar selamat, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menggunakan slogan #reopeningsafely berhubung isu kebenaran rentas negeri, beliau berkata pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani COVID-19 sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Katanya risiko penularan wabak COVID-19 juga perlu dilihat jika perjalanan secara besar-besaran dibenarkan terutama bagi mereka yang berada di kawasan berisiko.
“Saya harap semua tahu kita bukan sahaja serius tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan apabila kita buat kelonggaran, kita lakukannya dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Hishammuddin berkata pada akhirnya, akan ada sinar di hujung terowong namun rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.
Beliau berkata buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap vaksinasi.
“Menuju fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Hishammuddin juga berkata mesyuarat kedua Menteri Kuartet COVID-19 hari ini bersetuju dengan cadangan supaya pemilik premis perniagaan stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa mulai 6 pagi hingga 12 malam kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau berkata keputusan itu akan disyor untuk diputuskan kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.
Katanya mesyuarat juga memfokus kepada penambahbaikan SOP dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan Oktober.
GAJI asas sebanyak RM2,000 seorang selain tawaran komisen sehingga 20 peratus berdasarkan jumlah carian pemain, itu yang dijanjikan sindiket judi dalam talian terhadap warga tempatan untuk bekerja dengan mereka.
Malah, ketika pekerja-pekerja terbabit merisikokan diri menghubungi pelanggan, dalang sebenar pula hanya bergerak di belakang tabir sehingga sukar untuk dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, maklumat berkenaan dimaklumkan lapan suspek yang ditahan pihaknya berkaitan sindiket judi dalam talian terbabit dalam satu operasi, semalam.
Menurut beliau, empat lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun yang kesemuanya warga tempatan ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan di sebuah rumah di Bukit Indah, pada pukul 5.30 petang.
“Kegiatan itu beroperasi selama 24 jam setiap hari dan dibahagikan kepada dua syif di mana segala bayaran dibuat melalui transaksi oleh pelanggan menggunakan 12 akaun bank tempatan dengan jumlah kutipan harian kira-kira RM10,000.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket perjudian atas talian itu telah beroperasi di rumah tersebut lebih kurang dua bulan dan mensasarkan pelanggan dari negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Sejumlah wang turut dirampas dalam serbuan yang dilakukan oleh polis.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai peralatan berkaitan antaranya lapan komputer, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kertas tercatit cara-cara bekerja dan promosi perjudian, dua kad akses, dua unit router, dua modem wifi, serangkai kunci dan wang tunai RM570.
“Lapan set komputer yang dirampas telah dirujuk ke pakar judi dan terdapat unsur-unsur pertaruhan perjudian dalam talian yang menggunakan beberapa laman sesawang,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
HARI ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui akaun Twitter mengucapkan tahniah kerana Malaysia capai sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.
Pencapaian itu jauh lebih awal daripada sasaran akhir tahun sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan secara berperingkat mulai 24 Februari lalu.
Kita masih ingat fasa pertama PICK melibatkan petugas kesihatan dan barisan hadapan manakala Tan Sri Muhyiddin Yasssin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer–BioNTech.
Seperti juga program-program lain ia pasti ada kelemahan di sana di sini, tetapi kerajaan yang ketika itu dipimpin oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak berputus asa.
Pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat dilaksanakan dengan penyertaaan sejumlah kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan anggota masyarakat untuk memastikan bahawa program ini mencapai sasarannya.
Khairy Jamaluddin yang ketika itu menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi program imunisasi ini setelah pelantikan beliau dipersetujui oleh Jemaah Menteri hingga peletakan jawatan beliau pada 16 Ogos lalu.Beliau kini adalah Menteri Kesihatan.
Dengan sokongan Muhyiddin dan barisan Kabinet termasuk Ismail Sabri yang ketika itu merupakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), pelbagai langkah dilakukan bagi menjayakan program imunisasi terbesar yang pernah dilaksanakan dalam sejarah negara ini dan diuruskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sejak awal tahun 2021.
Walaupun terdapat gangguan politik termasuklah bergema slogan ‘kerajaan gagal’ namun PICK tidak pernah tergugat. Biarpun Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu namun bekas Perdana Menteri sudah ‘menyediakan tapak’ bagi memastikan PICK dan apa juga usaha bagi membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 berjaya.
Ia terbukti apabila laporan dari minggu keempat bulan Ogos 2021, Malaysia secara purata memberikan sekitar 448,900 dos vaksin setiap hari dan memberi bayangan bahawa negara akan mencapai kelompok imuniti lebih awal daripada sasaran.
Dan hari ini, ia sudah tercapai sekaligus membuktikan satu lagi tuduhan bahawa ‘kerajaan gagal’ menangani pandemik Covid-19 hanyalah dakyah dan bermotif politik semata-mata bagi menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusi Perdana Menteri.
Kejayaan PICK salah satu daripada pelbagai usaha kerajaan memerangi Covid-19 yang disusun sejak pandemik itu tercetus. Lain-lain kejayaan ialah bagaimana beberapa negeri kini sudah memasuki fasa pemulihan yang cukup memberangsangkan.
Ketika ini hanya tinggal Kedah dan Johor sahaja di Fasa 1 manakala negeri-negeri lain sudah melangkah ke Fasa 2, Fasa 3 dan menuju Fasa 4. Selain kes Covid-19 di negeri-negeri juga mencatatkan penurunan ketara.
Selangor dan Kuala Lumpur yang suatu ketika dianggap ‘sarang Covid-19’ kini sudah memasuki Fasa 2 dengan kes Selangor (1,934) dan Kuala Lumpur (359). Sektor-sektor ekonomi juga semakin ‘bernafas’ kembali.
Itu belum lagi mengambil kira bagaimana lebih banyak sektor pelancongan akan dibuka selepas Langkawi sudah menikmati sejak seminggu lalu. Semua ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh Muhyiddin.
Tetapi pada masa sama beliau beruntung kerana memiliki barisan Kabinet khususnya Ismail Sabri dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang terus berjuang bersama Muhyiddin memerangi pandemik Covid-19 ketika parti mereka menarik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Kita tidak boleh bayangkan apa akan berlaku, jika Ismail Sabri dan rakan-rakannya turut sama terjebak dengan politik ‘pendek akal’ itu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik tersebut.
Ismail Sabri sanggup mengambil risiko, begitu juga dengan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan. Mereka tahu adalah sangat tidak bertanggungjawab meninggalkan rakyat dan negara ketika Covid-19 ‘tengah menggila’.
Ternyata pengorbanan mereka kini tidak sia-sia. Kejayaan yang dicapai oleh negara dalam memerangi Covid-19 termasuk PICK juga adalah hasil usaha mereka selain perancangan yang dibuat oleh Muhyiddin.
Kesimpulannya, semua itu membuktikan ‘kerajaan gagal’ hanyalah satu dakyah dan mereka yang melaung-laungkan slogan itu atau menyebarkan propaganda itu lupa…akhirnya kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan apatah lagi pembohongan!
Ia juga memberi isyarat bahawa Ismail Sabri melakukan tindakan yang tepat apabila melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Kalau ada yang mahu membantah biarkan sahaja kerana semua itu hanyalah bermotif politik.
KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan sebanyak 15,759 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini meningkat kepada 2,127,394 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh negeri melaporkan pertambahan kes empat angka dengan Sarawak kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 3,732 kes baharu.
Johor mencatatkan angka kedua tertinggi dengan 1,959 kes diikuti Selangor (1,934), Pulau Pinang (1,417), Kelantan (1,338), Sabah (1,291) dan Perak (1,184).
Kedah pula mencatatkan 786 kes disusuli Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264), Negeri Sembilan (127), Putrajaya (34), Perlis (23) dan Labuan (12).
MESYUARAT Kedua Menteri Kuartet COVID-19 hari ini telah bersetuju dengan cadangan supaya pemilik premis perniagaan stesen minyak, restoran/ kedai makan/ kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa dengan waktu beroperasi mulai pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam, kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, cadangan berhubung operasi kedai itu akan diangkat keJawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum diputuskan tarikh berkuat kuasa.
Menurut beliau, adalah penting untuk dijelaskan bahawa fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat.
“Menuju ke fasa endemik tersebut, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) serta mematuhi garispanduan yang telah ditetapkan.
“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hishammuddin Hussein
Yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sero Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Hishammuddin menambah, mesyuarat itu turut memberi fokus kepada usaha menambah baik SOP yang telah diumumkan kepada orang ramai sebelum ini dan mempermudahkannya daripada 181 SOP kepada 10 sahaja.
“Usaha ini berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan bulan Oktober,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, Nancy telah membentangkan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan Langkawi yang berjalan lancar seperti yang telah dirancang.
Hishammuddin berkata, sekiranya perkembangan positif itu berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan di destinasi-destinasi yang lain.
“Menteri-Menteri Kuartet telah menetapkan tempoh dua minggu untuk menilai perkembangan terkini di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi-destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri,” ujarnya.
Selain itu, kata beliau, Ahmad Faizal pula telah membentangkan mengenai pembukaan gymnasium dan pusat boling yang telah diumumkan minggu lepas.
Menurut Hishammuddin, penting untuk dijelaskan, kerajaan membenarkan pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup adalah dengan mengambil kira tunggak ketiga iaitu kesejahteraan rakyat terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri.
“Namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menekankan bahawa pengusaha dan pengguna mesti bertanggungjawab serta berdisiplin dalam mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan.
“Ini amat penting memandangkan gimnasium merupakan kawasan tertutup, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya ada pihak terleka tentang pematuhan SOP dan garis panduan” jelasnya.
Beliau menambah, selain gimnasium, Ahmad Faizal turut membentangkan mengenai potensi pembukaan stadium kepada orang awam bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan-sukan yang sesuai.
“Ini masih di peringkat perbincangan yang mana cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahmad Faizal tadi akan diangkat untuk diteliti di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
PELAJAR dan remaja berusia 16 dan 17 tahun di Pulau Pinang akan mula menerima vaksin esok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebagai permulaan vaksinasi itu akan membabitkan para pelajar yang beralamat tetap di Pulau Pinang tetapi berasrama penuh di negeri lain.
Tambah beliau, janji temu para pelajar berkaitan akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera manakala ibu, bapa, waris atau penjaga perlu hadir bersama ketika mendapatkan vaksin.
“Mereka juga dinasihatkan membawa dokumen-dokumen perlu terutamanya Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu Kon Yeow berkata, pada Khamis ini bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari pula, sesi vaksinasi membabitkan golongan pelajar sekolah berusia 16 hingga 17 tahun (tanpa komorbid) akan bermula di enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri itu.
Jelasnya, PPV terbabit adalah masing-masing di SPICE Convention Centre; Tapak Ekspo Seberang Jaya; Vangohh Eminent Hotel;Dewan Perda Convention Centre; Dewan Millenium; Kepala Batas dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.
Tambah beliau, semua janji temu bagi golongan itu juga akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera.
“Selain perlu hadir bersama-sama sepanjang proses pemberian vaksin, ibu, bapa, waris atau penjaga juga perlu memastikan semua dokumen pengenalan diri pelajar dan Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 adalah ditandatangani serta dibawa bersama,” katanya.
Tambah beliau, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan komorbid, janji temu vaksinasi akan dijalankan di hospital-hospital terdekat dan makluman janji temu juga adalah menerusi aplikasi MySejahtera.
“Dapatkanlah vaksin anda ke arah membentuk imuniti kelompok di Pulau Pinang. Penang Lawan Covid-19!” katanya.
JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 1,048 kompaun bernilai RM2.7 juta hasil pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jan lepas.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu, Dungun merekodkan kompaun tertinggi iaitu 473 kes diikuti Kemaman (233), Setiu (85), Marang (74), Kuala Terengganu (60), Hulu Terengganu (53), Besut (44) dan Kuala Nerus (26).
“Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menjaga jarak fizikal (281 kes), gagal daftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual (200 kes), gagal memakai pelitup muka (151 kes), menaiki kenderaan melebihi had penumpang dibenarkan (109 kes) dan majikan gagal kemas kini rekod pekerja (55 kes),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu hari ini.
Ditanya mengenai pemeriksaan pematuhan SOP sepanjang Terengganu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara sejak 17 Sept lepas hingga semalam, Dr Kasemani berkata sebanyak 24 kompaun dikeluarkan bagi tempoh empat hari itu.
“Jumlah kompaun yang dikeluarkan ialah RM49,500. Daripada 24 kompaun itu, 22 kes adalah kesalahan menaiki kenderaan lebih seorang di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan masing-masing satu kesalahan gagal daftar menerusi MySejahtera serta ingkar perintah kuarantin,” katanya.