Category: Semasa

  • RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM69,030 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM900 menerusi media sosial, Sabtu lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 25 tahun itu berminat untuk membeli kucing jenis ‘scottish’ dari Indonesia yang diiklankan menerusi Facebook pada 23 Okt lepas.

    “Kemudian wanita berkenaan berbincang menerusi telefon dengan persetujuan harga sebanyak RM900. Mangsa hanya perlu membayar separuh harga dan selebihnya akan dibayar setelah mendapat kucing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Aibee berkata pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM450 ke dalam akaun atas nama Tansiaupenga Siagian melalui pemindahan wang dan kemudian dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah ‘dipos’ kepada mangsa.

    Menurut beliau wanita berkenaan telah diminta membuat beberapa bayaran sebagai prosedur sepanjang proses pengeposan kucing tersebut.

    “Justeru, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke dua akaun berbeza berjumlah RM69,030 sejak 23 hingga 24 Okt lepas,” katanya.

    Aibee berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu selain bimbang dokumen seperti gambar kad pengenalan dan alamat rumah disalahgunakan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pemimpin rosakkan politik negara, bukan parti – Muhyiddin

    Pemimpin rosakkan politik negara, bukan parti – Muhyiddin

    PERPECAHAN masyarakat dalam berpolitik di negara ini bukan disebabkan oleh parti-parti yang terdapat di negara ini tetapi kerana sikap sesetengah individu atau pemimpin yang mempunyai agenda atau kepentingan tersendiri, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kebanyakan perlembagaan dan dasar perjuangan yang digariskan oleh parti-parti politik di negara ini adalah berasaskan perjuangan yang baik seperti menegakkan kedaulatan bangsa, agama dan negara.

    “Bagaimanapun malangnya sebahagian daripada ahli politik telah lupa kepada asas-asas tersebut atas sebab-sebab tertentu seperti ingin berebut kuasa dan memenuhi kepentingan kelompok tertentu,” katanya ketika menghadiri sesi temu bual Facebook Live bersama Garasi TV malam tadi.

    Katanya, setiap parti politik yang ditubuhkan, termasuk Bersatu, akan mendokong perlembagaan negara dan tidak lari daripada menerapkan nilainilai yang baik dalam kehidupan dan matlamat perjuangan.

    Mengulas mengenai sikap ahli politik veteran yang sentiasa bertelagah, Muhyiddin berkata, walaupun keadaan itu berlaku di negara ini tetapi perbalahan tersebut tidak seburuk di sesetengah darah hingga sanggup bertumbuk, berbaling kerusi di Parlimen atau berlaku pertumpahan darah.

    “Sememangnya, keadaan itu tidak dapat diterima oleh generasi muda masa kini tetapi saya yakin ia akan berubah sedikit demi sedikit apabila semakin ramai generasi muda mula menyertai politik menggantikan generasi lama,” tambahnya.

    Muhyiddin berkata, pemimpin perlu menggunakan kaedah politik yang sederhana dalam cara mereka berpolitik walaupun mempunyai matlamat untuk mengambil alih kuasa kerajaan.

    “Mesti sederhana, jangan rakus. Kita tidak boleh menghalalkan semua cara hanya kerana hendak mendapat matlamat tertentu. Perlu guna cara yang tidak memudaratkan masyarakat negara ini yang berbilang kaum,” katanya.

    Selain itu, katanya, rakyat juga termasuk generasi muda boleh memberi pengajaran kepada ahli politik yang sedemikian dengan menjadikan pilihan raya sebagai medan memilih pemimpin dan parti yang terbaik untuk memerintah.

    Beliau berkata, negara kini sedang memasuki proses kematangan dalam berpolitik dan golongan muda juga sedang diberi peluang untuk menyertainya, selain membuka peluang kepada mereka menjadi pengundi seperti membenarkan pengundi berumur 18 tahun.

    Katanya, generasi muda seharusnya tidak boleh kecewa dengan situasi politik yang berlaku dalam negara kerana ia merupakan proses kematangan yang sedang berlaku dalam dunia politik di negara ini.

    “Mereka boleh mempelajari dengan apa yang berlaku dan kemudiannya menjadi pemimpin politik yang lebih baik di masa depan dengan menjadikan apa yang berlaku sekarang sebagai pengajaran,” katanya. Dalam temu bual selama satu jam setengah itu, Muhyiddin juga berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara termasuk pelan pemulihan ekonomi negara selepas dilanda COVID-19 dan tahap kesihatannya selepas pernah mendapat penyakit kanser.

  • Operasi cegah merokok di tempat awam ditingkatkan– Khairy

    Operasi cegah merokok di tempat awam ditingkatkan– Khairy

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaludin memohon orang ramai agar mematuhi larangan merokok di tempat awam, terutama di restoran-restoran yang jumlahnya dilihat semakin meningkat.

    Katanya, berikutan arahan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap larangan merokok di tempat awam, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dipatuhi orang ramai.

    “Sejak Januari lalu sehingga 24 Oktober 2021, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan melibatkan perokok dan pemilik premis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.

    Dalam hantaran menerusi Facebook miliknya bertajuk ‘Tolong patuhi arahan larangan merokok di tempat awam’, beliau turut berkongsi gambar-gambar operasi aktiviti penguatkuasaan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kepong di Wilayah Persekutuan pada 23 Oktober lalu dan PKD Johor Bahru di Johor, semalam.

    Beliau berkata, KKM memberi jaminan bahawa lebih banyak operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan selepas ini di seluruh negara agar pematuhan terhadap undang-undang merokok di tempat awam sentiasa dipatuhi.

    Katanya, untuk operasi di sekitar Kepong Sabtu lalu, sebanyak 20 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan 15 kesalahan merokok di tempat makan dan lima ke atas pemilik kedai yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

    “Bagi operasi di Johor Bahru semalam pula, sebanyak 30 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B melibatkan 23 kesalahan merokok di tempat makan dan tiga kesalahan dikenakan ke atas pemilik,” katanya.

    Khairy berkata, selain itu, sebanyak empat notis kesalahan juga telah dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat lain.

    “Saya menyeru orang ramai supaya mematuhi arahan larangan merokok di tempat awam bukan sahaja demi keselesaan bersama, tetapi lebih penting demi kesejahteraan dan kesihatan semua pihak,” katanya.

  • Barang rampasan bernilai RM51.91 juta dilupuskan KPDNHEP

    Barang rampasan bernilai RM51.91 juta dilupuskan KPDNHEP

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melupuskan pelbagai barang rampasan bernilai RM51.91 juta hasil operasi yang dilakukan di seluruh negara.

    Barang berkenaan merupakan hasil rampasan dilakukan pihak KPDNHEP sepanjang tahun ini melibatkan pemeriksaan di 632,242 premis bagi tempoh Januari sehingga September ini.

    Menurut Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam, sebanyak 8,782 tindakan kes telah diambil melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM29.96 juta.

    “Barang rampasan ini melibatkan tindakan kes di bawah pelbagai kesalahan antaranya Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 membabitkan barang rampasan berkaitan cetak rompak, barang tiruan dan standard keselamatan

    “Secara keseluruhan, sebanyak RM2.19 juta hasil kutipan sementara yang sedang diuruskan kerajaan, RM935,477 adalah hasil jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus dan RM734,594 lucut hak kewangan perintah mahkamah.

    “Selain itu sebanyak RM4.11 juta kompaun telah dikeluarkan KPDNHEP melibatkan 7,830 kes di seluruh negara tahun ini,” katanya.

    Azman memusnahkan beg tiruan dirampas dan dilupuskan hari ini yang merupakan hasil rampasan dilakukan KPDNHEP sepanjang tahun ini bagi tempoh Januari sehingga September ini. Foto Facebook KPDNHEP

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Ekshibit Mega di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Arab Malaysian Industrial Park, Nilai, hari ini.

    Katanya, daripada jumlah itu, 97 kes melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM798,292.

    Menurutnya, berdasarkan kepada tindakan kes pengkompaunan dan pendakwaan tersebut, sebanyak 1,868 kes yang melibatkan barang sitaan telah dilupuskan tahun ini.

    “Sebanyak 22,274 aduan atas pelbagai kesalahan diterima pihaknya dari 1 Januari sehingga 25 Oktober tahun ini,” katanya.

    Jelasnya, berdasarkan statistik, aduan penipuan pembelian transaksi dalam talian paling tinggi diterima iaitu 9,324 aduan.

    “Kita akan sentiasa mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada supaya dapat mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dan adil,” katanya.

  • Muhyiddin zahirkan kesedihan, ucap takziah kepada keluarga mendiang Koh Hoi

    Muhyiddin zahirkan kesedihan, ucap takziah kepada keluarga mendiang Koh Hoi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah atas kematian Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi.

    Koh Hoi, 67 yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PN meninggal dunia pada pukul 4.50 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur akibat jangkitan Covid-19.

    Menurut Muhyiddin, mendiang yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) itu adalah salah seorang tokoh pengasas semasa penubuhan parti PN.

    Tambah beliau, mendiang yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu telah banyak memberikan sumbangan dan bakti kepada negara dan parti.

    “Selaku Setiausaha Agung parti STAR Sabah, beliau cukup dikenali dengan sifat rendah diri dan usaha gigihnya membina Perikatan Nasional tidak hanya di peringkat negeri Sabah tetapi juga di peringkat nasional. Pemergian Koh Hoi merupakan kehilangan besar bagi Perikatan Nasional di seluruh negara khususnya negeri Sabah.

    “Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang dan semoga tabah bagi menghadapi suasana pilu ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas jatuh bot

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas jatuh bot

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Kurau, Parit Buntar, hari ini.

    Ong Boon Lai, 40, disedari hilang pada pukul 6.30 pagi itu sebelum rakan mangsa melaporkan kepada majikan mereka.

    Menurut Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali, operasi cari lamat yang digerakkan pada pukul 9.45 pagi itu masih belum menemui sebarang petunjuk.

    “Operasi pencarian dilakukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi bersama bot Kilat 9 dengan dibantu Bot Kerambit Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan nelayan setempat.

    “Mangsa dikatakan keluar ke laut menaiki sebuah bot nelayan bersama tiga lagi pekerjanya.

    “Daripada laporan awal diterima, mangsa disyaki terjatuh ke dalam laut di kedudukan 0.6 barat daya muara Kuala Kurau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 11 batu nautika persegi.

    Katanya, setakat pukul 3.30 petang, mangsa masih belum ditemui.

    “Maritim mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut merujuk ramalan kaji cuaca dan mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memastikan bot dalam keadaan baik,” katanya.

  • Ah long beri pinjaman secara paksa, ugut bunuh mangsa

    Ah long beri pinjaman secara paksa, ugut bunuh mangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH keluarga di Taman Desa Jaya, Johor Bahru, kini hidup dalam trauma dan ketakutan selepas mendakwa dimalukan serta diugut ah long.

    Seorang lelaki yang dikenali sebagai Ng, 37, berkata, ah long itu turut menyimbah cat merah ke kereta adiknya di rumah ibu bapanya di taman tersebut selain menghantar mesej ugutan kepadanya menerusi aplikasi Whatsapp, pada 8 Oktober lalu.

    Ng memberitahu, kejadian bermula apabila adiknya yang bekerja di sebuah kilang di Singapura itu terdesak untuk menggunakan duit dengan melayari aplikasi pinjaman wang dalam media sosial pada awal September lalu.

    Katanya, walaupun adiknya berubah fikiran untuk membuat pinjaman, namun individu yang menguruskan pinjaman itu tetap meneruskan urusan terbabit dengan memindahkan wang berjumlah SGD1,000.

    “Adik saya tidak bersetuju dengan pinjaman tersebut, namun tetap membuat bayaran penuh beserta bunga. Tidak lama selepas itu mereka memindahkan lagi SGD2,000 kepada adik saya tanpa persetujuannya.

    “Setelah tak tahan berkali-kali diganggu ah long itu, adik bertindak menyekat nombor telefon berkenaan. Kini, kami ahli keluarganya di Johor menjadi sasaran mereka pula,” katanya dalam sidang akhbar di Tebrau, Johor Bahru, hari ini.

    Anak sulung kepada tiga beradik itu berkata, seorang pemilik akaun Facebook bernama Richard Lou telah memuat naik gambarnya bersama-sama keluarga dengan keterangan mendakwa mereka tidak membayar pinjaman yang dibuat.

    Peniaga akuarium itu berkata, dia turut menerima mesej berunsur ugutan menerusi WhatsApp dari nombor telefon berdaftar di Singapura yang mengugut untuk membakar rumah dan keretanya selain menyimbah cat merah.

    “Saya turut menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon tempatan yang menghantar gambar pistol selain memberi amaran berhati-hati ketika keluar dari rumah.

    “Untuk makluman, saya dan isteri tidak pernah membuat pinjaman daripada siapa-siapa pun. Disebabkan bimbang akan keselamatan kami, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah, Johor bahru pada 8 Oktober lalu,” katanya.

    Tambahnya, lima hari selepas laporan polis itu dibuat iaitu pada 13 Oktober, dia dihubungi ibunya pada pukul 11.30 malam memberitahu kereta adik bongsunya di rumah Taman Desa Jaya disimbah cat merah.

    Katanya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan seorang wanita bertindak menyimbah cat merah manakala seorang lelaki menampal notis di pagar rumah yang bertulis ‘ini amaran pertama’.

    “Saya tidak mempunyai musuh dan tak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak. Saya berharap perkara ini berakhir segera kerana tak tahan lagi hidup dalam ketakutan seperti ini,” katanya yang membuat laporan polis kedua di balai sama pada 14 Oktober lalu.

  • SOP ketat akan disediakan bagi menyambut 32,000 pekerja asing ke Malaysia

    SOP ketat akan disediakan bagi menyambut 32,000 pekerja asing ke Malaysia

    KERAJAAN akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum negara ini menerima seramai 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata, pekerja asing dari Indonesia akan dibawa masuk terlebih dahulu untuk bekerja dalam sektor berkenaan sebelum diikuti oleh pekerja asing dari negara-negara sumber yang lain.

    Menerusi satu kenyataan hari ini, Zuraida turut memaklumkan, SOP kemasukan pekerja asing yang bakal dikuatkuasakan itu akan difokuskan kepada pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan sawit terlebih dahulu.

    “Perincian berhubung mekanisme untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber akan dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam masa terdekat dan sebarang perubahan SOP tertakluk kepada perbincangan pihak KSM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Segala kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini adalah di bawah tanggungjawab majikan bagi setiap kelulusan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan itu.

    Tambah beliau, pihak majikan akan memastikan kesemua pekerja mereka telah lengkap divaksinasi dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh mereka sendiri.

    Menurut Zuraida, kerajaan Indonesia juga menyambut baik prosedur yang telah ditetapkan oleh Malaysia untuk rakyat mereka bekerja di negara ini.

    Pada 22 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing.

    Ismail Sabri yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan berdasarkan kes oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

    Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, majikan yang berminat untuk menggajikan pekerja asing perlu menanggung semua kos berkaitan untuk membawa mereka masuk ke Malaysia

    Antaranya kata beliau, meliputi kadar bayaran levi dan kos kuarantin wajib setelah mereka tiba di pintu masuk negara.

    Menurutnya, ketibaan semua pekerja asing hanya dibenarkan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, serta pintu masuk Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan kemudian nanti.

    Bercakap dalam sidang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing hari ini, beliau berkata, pekerja asing juga perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang diperakui oleh kerajaan.

  • Operator kilang sarung tangan dituduh bunuh suami

    Operator kilang sarung tangan dituduh bunuh suami

    MAHKAMAH Majistret Selayang hari ini mendakwa seorang operator kilang sarung tangan atas tuduhan membunuh suaminya, minggu lalu.

    Tertuduh, R. Umadevi, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkod daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah membunuh kelindan lori, A. Murgan, 45, di sebuah rumah di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selayang pada pukul 11.30 malam, 19 Oktober lalu.

    Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 November depan untuk serahan dokumen.

    Rabu lalu media melaporkan, pertikaman lidah dipercayai akibat cemburu membabitkan sepasang suami isteri berakhir dengan pertumpahan darah apabila lelaki itu ditemui tertikam dengan besi kaki payung di kediaman mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves di sini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada jiran kepada pasangan tersebut yang mengesyaki mangsa membunuh diri pada pukul 12.35 pagi Rabu.

  • Pemandu jentera berat rogol anak saudara bawah umur dipenjara, sebat

    Pemandu jentera berat rogol anak saudara bawah umur dipenjara, sebat

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang pemandu jentera berat selepas mengaku salah merogol anak saudaranya hujung September lalu.

    Lelaki yang berusia 49 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, kira-kira pukul 4 pagi, pada hujung September 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan iaitu meliwat mangsa yang sama di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

    Bagaimanapun, bagi pertuduhan itu tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

    Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.