Category: Semasa

  • Pengurus Besar didakwa terima suapan RM8,110

    Pengurus Besar didakwa terima suapan RM8,110

    SEORANG pengurus besar di sebuah agensi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau di Tawau hari ini atas pertuduhan mendapatkan suapan sebanyak RM8,110, pada tiga tahun lalu.

    Tertuduh Ahmad Rudi Ab Rashid, 47, tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Menurut pertuduhan, pada 26 Februari 2019 di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Semporna, Semporna, tertuduh sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E29 yang bertugas sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Kawasan Semporna telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan.

    Suapan itu adalah untuk tertuduh sendiri dengan meluluskan Baucar Bayaran bernilai RM8,110 kepada syarikat Pemborong Putramas yang dimiliki Mohamad Sadeed Mohamad Said untuk bayaran penyediaan keperluan sempena lawatan mesyuarat seramai 30 orang pada 28 hingga 31 Oktober 2018.

    Bagaimanapun, kerja-kerja itu telah dilakukan tertuduh sendiri dan dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM8,000.

    Tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport serta dilarang mendekati saksi.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan untuk pengurusan kes pada 24 Februari depan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Rayuan sabitan kes SRC: Permohonan Najib kemuka bukti baharu didengar 7 Dis

    Rayuan sabitan kes SRC: Permohonan Najib kemuka bukti baharu didengar 7 Dis

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC Internasional Sdn Bhd, akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya.

    Semakan pada jadual kes mahkamah hari ini menunjukkan bahawa pendengaran itu ditetapkan pada 7 Dis.

    Perkara itu turut disahkan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaran ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Difailkan pada 1 Dis, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

    Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib, 68, berkata permohonan itu dibuat olehnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

    Bekas perdana menteri itu mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kes berkenaan, oleh itu beliau memohon Mahkamah Rayuan untuk memutuskan permohonan itu sebelum menyampaikan keputusannya.

    Najib berkata beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura, yang menyatakan Kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman,  suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

    Beliau menambah pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan oleh portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya telah menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low termasuk dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Najib mendakwa bahawa pada 20 Jan 2021, peguamnya telah menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan dan dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsdoy Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta kepunyaan mereka.

    Najib berkata pada 24 Mac tahun ini, peguam beliau menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguam Najib dan beliau gagal untuk mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov tahun ini.

    Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

    Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. – BERNAMA 

  • Bayi tiga bulan hadapi masalah jantung perlu RM85,000 untuk pembedahan

    Bayi tiga bulan hadapi masalah jantung perlu RM85,000 untuk pembedahan

    SEORANG bayi berusia tiga bulan, Nur Iman Haiqal Mashelmi di Butterworth, Pulau Pinang memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung yang mencecah RM85,000.

    Anak bongsu kepada pasangan Mashelmi Abd. Malek, 40, dan Hazarita Arshad, 38, itu perlu menjalani pembedahan pelengkap pada kadar segera bagi menyelamatkan nyawanya berikutan masalah injap jantung terbalik.

    Menurut bapanya, Mashelmi, anak lelakinya itu telah menjalani pembedahan jantung ‘ballon atrial septostomy’ semasa menerima vaksin awal bulan ini selepas paras oksigen di dalam darahnya hanya 40 peratus.

    Tambahnya, pembedahan kali kedua dilakukan pada 11 November lalu bagi memasukan stent atau tiub kecil ke dalam jantung Nur Iman Haiqal.

    “Ia bagaimanapun pendekatan sementara untuk melanjutkan nyawanya, manakala pemeriksaan lebih lanjut perlu dijalankan untuk menyelesaikan masalah jantungnya.

    “Ketika ini dia ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) untuk jagaan rapi dengan bantuan peralatan pernafasan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pembedahan ketiga perlu dijalankan segera sebagai pelengkap untuk memperbetulkan aliran oksigen dalam saluran darah yang berhubung dengan jantung

    Menurut Mashelmi, dia terpaksa berhenti bekerja sebagai pemandu lori untuk memberi tumpuan kepada anaknya itu berikutan isterinya, Hazarita Arshad, 38, bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

    Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata berusia tiga bulan hingga 10 tahun.

    Dalam pada itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui hau berkata, pemeriksaan doktor mendapati Nur Iman Haiqal mengalami masalah injap jantung terbalik atau ‘transposition great arteris’ (TGA).

    Sehubungan itu katanya, pembedahan ketiga perlu dijalankan segera sebagai pelengkap untuk memperbetulkan aliran oksigen dalam saluran darah yang berhubung dengan jantung.

    “Pihak kami telah menerima permohonan bantuan daripada ibu bapa Nur Iman Haiqal yang tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan sebanyak RM85,000,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkan terus kepada akaun Public Bank Berhad, One Hope Charity & Welfare di nombor akaun 3193433435 atau menghubungi talian di 016-4192192, 019-2322192 dan 04-5399212.

  • Diperdaya RM21,280 selepas teruja komisen berganda

    Diperdaya RM21,280 selepas teruja komisen berganda

    KETERUJAAN seorang pemuda yang ingin mencari pekerjaan sambilan terbantut apabila diperdaya kerugian RM21,280, pada Selasa lalu.

    Mangsa, 22, pada mulanya iklan tawaran pekerjaan sampingan menerusi Facebook sebelum berminat untuk menyertainya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menekan pautan dan telah berhubung dengan seorang wanita serta mengatakan minat dengan pekerjaan yang ditawarkan.

    Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa perlu membuat tangkapan layar barangan yang ditempah pelanggan dan menghantar kepadanya melalui aplikasi WhatsApp.

    “Mangsa bersetuju dan suspek meminta mangsa membuat pembayaran pendahuluan bagi kerja-kerja itu serta memberi jaminan akan memperoleh semula wang terbabit beserta komisen sebanyak 20 peratus.

    “Mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM21,280 ke dalam akuan berbeza bagi memperoleh komisen berganda. Namun selepas memasukkan wang tersebut, mangsa tidak memperoleh semula wang dan komisen seperti dijanjikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek memberi pelbagai alasan dan enggan mengembalikan kesemua wang milik mangsa.

    “Susulan itu, mangsa merasakan dirinya ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Tiada ladang penternakan babi di kawasan lokaliti JE

    Tiada ladang penternakan babi di kawasan lokaliti JE

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan tiada ladang penternakan babi beroperasi di kawasan lokaliti wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar.

    Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, tinjauan pihaknya termasuk dengan menggunakan dron mendapati tiada sebarang lokasi berisiko di kawasan tersebut kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.

    Dalam masa sama katanya, kalangan penduduk di situ juga tidak pernah mengadu mengenai kehadiran babi liar atau babi hutan di kawasan tersebut.

    “Sehubungan itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Veterinar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah mengenal pasti lokasi untuk menangkap burung hijrah bagi ujian virus JE.

    “Hasil kajian entomologi di lokaliti wabak juga telah menemukan 11 pembiakan nyamuk Culex Tritaeniorhynchus dan Culex Sitiens yang berpotensi menyebarkan virus JE,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sejak 25 November lalu, JKN Kedah memaklumkan terdapat dua kematian melibatkan kes JE yang mula dikesan pada 18 dan dan 25 November lalu.

    Secara keseluruhannya terdapat tiga kematian di Kedah akibat JE tahun ini dengan jumlah kes juga meningkat kepada 10 berbanding cuma lapan pada tahun lalu.

    Othman menambah, pengesanan kes secara aktif (ACD) turut telah dijalankan terhadap 674 daripada 2,926 penduduk yang tinggal di kedua-dua lokaliti wabak tersebut.

    “Sehingga kini, tiada penduduk didapati bergejala. Setakat ini kami juga telah melaksanakan semburan ruang termal di 412 premis dan semburan ruang Ultra Low Volume (ULV) di 912 premis bagi menghalang pembiakan nyamuk itu,” katanya.

    Tambahnya, JKN dalam masa sama turut menggunakan sebanyak 672 mililiter (ML) Abate 500E bagi tujuan ‘larvaciding’.  

  • Peniaga akur harga kawalan walaupun untung sedikit

    Peniaga akur harga kawalan walaupun untung sedikit

    KETIKA ramai pihak terutama pengguna melahirkan kegusaran mengenai kenaikan harga barangan basah, masih ada peniaga berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan meskipun hanya untung sedikit.

    Tinjauan Bernama di Pasar Pudu mendapati beberapa peniaga terpaksa menjual barangan basah di bawah harga kawalan kerana bagi mereka keuntungan sedikit itu lebih baik daripada kehilangan pelanggan setia.

    Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputra Pasar Pudu, Abdul Rahim Ardi berkata, walaupun harga barangan basah terus meningkat, peniaga di Pasar Pudu masih berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan.

    “Saya sebagai pengerusi persatuan dan juga sebagai peniaga ayam di sini kami juga terpaksa menjual harga ayam dengan harga RM9.20 sekilogram kepada sesetengah pelanggan walaupun harga kawalan bagi ayam adalah RM9.50,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

    Tambahnya, majoriti peniaga di Pasar Pudu kesal kerana terpaksa menjual harga barangan lebih tinggi sedikit daripada biasa kerana peniaga juga perlu membayar kos-kos lain seperti beg plastik, sarung tangan dan juga membayar khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) di kawasan terbabit.

    Seorang peniaga sayur Thangni Ramasamy, 45, berkata, dia juga terpaksa untuk menjual harga sayuran dengan memberikan sedikit potongan harga kepada pelanggan tetap khususnya peniaga kedai makan.

    “Walaupun harga jualan sayur-sayuran meningkat seperti kacang panjang, terung bulat dan lain-lain, saya cuba untuk memberikan potongan harga kepada pelanggan tetap saya bagi menjaga hati mereka walaupun untung sekadar 50 sen hingga RM1 dan bagi saya itu sudah memadai,” katanya.

    Sementara itu, peniaga ikan Yusof Azmi, 33, berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa menjual ikannya tanpa potongan kepada pelanggannya kerana harga ikan yang dijual di situ sudah ditetapkan.

    “Kenaikan harga kali ini membuatkan saya tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan, kalau dahulu ikan keli yang kami jual adalah berharga RM5 sekilogram, kini harga ikan keli boleh mencapai RM8 sekilogram dan kalau kami cuba untuk turunkan harga walaupun sedikit kami yang menanggung rugi,” katanya.

    Seorang pembeli dan juga peniaga kedai makan, Vincent Lee, 56, berkata, walaupun dia mendapat harga murah kerana potongan harga sebagai pelanggan tetap namun menganggap perkara itu tidak adil kepada penjual. – BERNAMA

  • Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia-Khairy

    Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia-Khairy

    MENTERI Kesihatan (KKM), Khairy Jamaluddin, hari ini memberitahu, kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron telah dikesan di Malaysia.

    Beliau dalam sidang media memaklumkan, kes itu melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.

    “Warga asing itu telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa (PMA). Beliau merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak,” katanya dalam sidang akhbar tersebut.

    Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

    Perjalanan kes dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

    Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

  • Dua jurujual ditahan bersubahat samun kedai jam

    Dua jurujual ditahan bersubahat samun kedai jam

    DUA jurujual yang bekerja di sebuah kedai jam ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes samun di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, 7.30 malam kelmarin.

    Kedai jam berkenaan disamun seorang lelaki semasa kedua-dua suspek sedang bekerja di premis tersebut.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki berkenaan memakai pelitup muka sambil membawa beg galas berwarna hitam serta dua beg plastik berwarna putih dan hijau.

    “Hasil siasatan awal mendapati kali terakhir suspek (penyamun) dilihat berjalan kaki keluar menuju ke Jejantas Abdullah Hukum.

    “Buat masa ini, pihak polis menjalankan tangkapan ke atas pengadu iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja di kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata, sebanyak lapan utas jam tangan termasuk sebuah telefon pintar milik pengadu dilarikan oleh suspek dan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM262,000.

    “Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi berwarna hitam beserta kad sim bagi membantu siasatan,” katanya

    Menurutnya, kedua-dua suspek itu direman sehari.

  • Covid-19: 150 pelajar SSP Cyberjaya dipindah ke IAB

    Covid-19: 150 pelajar SSP Cyberjaya dipindah ke IAB

    SERAMAI 150 pelajar Tingkatan 5 Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya yang menjadi kontak rapat kepada pelajar sekolah berkenaan yang positif Covid-19 dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, Seremban malam tadi.

    Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, ia bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan dalam sebuah pusat kuarantin dengan setiap bilik menempatkan dua pelajar.

    “Sebentar tadi (malam tadi) saya ke IAB di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi meninjau persediaan pusat kuarantin ini menerima kemasukan murid yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di SSP.

    “Insyaallah murid lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin.

    “Alhamdulillah di sini (IAB) disediakan dengan baik dan selesa bagi memastikan anak-anak yang dikuarantin berada dalam keadaan kondusif,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik ke Facebooknya malam tadi.

    Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memastikan pemantauan dibuat dengan lancar dan baik termasuk sokongan dan dukungan ibu bapa.

    Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Sha’ari Ngadiman berkata, kes positif Covid-19 di sekolah terbabit kini adalah sebanyak 139 kes melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas. – Bernama

  • Perarakan julang Piala Malaysia petang ini dibatalkan

    Perarakan julang Piala Malaysia petang ini dibatalkan

    PERARAKAN bagi meraikan kejayaan Kuala Lumpur FC (KL City FC) merangkul gelaran juara Piala Malaysia 2021 yang dijadualkan petang ini dibatalkan.

    Perkara itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman Facebook beliau.

    Menurut beliau, pembatalan itu dilakukan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Kami patuh arahan. Perarakan dibatalkan. Jumpa lagi. Tahniah KLCT dan KLFA,” katanya.

    Perarakan itu dianjurkan bagi membolehkan warga kota melihat secara lebih dekat piala itu pada ulang tahun ke-100 kejohanan bola sepak berprestij berkenaan.

    Perarakan itu dijadualkan bermula di Dataran Merdeka sekitar 4.45 petang dan akan melewati Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Campbell, Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Bangunan KLCC, Menara KL, sekitar Bukit Bintang dan seterusnya berhenti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

    Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

    Dua jaringan masing-masing daripada Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue pada separuh masa kedua, turut membantu skuad The City Boys melakar sejarah sebagai juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij yang diperkenalkan pada 1921, selain meraih tiket ke saingan Piala AFC musim depan.

    KL City, yang dikenali sebagai Kuala Lumpur FA sebelum proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M), pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, namun tidak pernah melangkah ke final selepas itu.

    Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan denganserangan bertali-arus mencemaskan gawang lawan, manakala KL City pula mempamerkan disiplin bertahan yang cukup baik untuk mematahkan serangan serta tangkas melakukan beberapa serangan balas.

    JDT hampir membuka jaringan pada minit kelapan apabila rembatan Bergson da Silva dari penalty arc berjaya menewaskan penjaga gawang Kevin Ray Mendoza, namun percubaan itu sekadar singgah di palang kiri gol KL City.

    Tandukan Mauricio dos Santos hasil sepakan percuma Arif Aiman Hanapi pada minit ke-36 dan tandukan Safawi Rasid seminit kemudian, juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol import dari Filipina itu.

    Skuad kendalian Bojan Hodak yang mula menunjukkan corak menyerang pada separuh masa kedua, mendapat peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila penyerang import dari Colombia, Romel Morales berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan penalti JDT pada minit ke-59, namun tindakan pantas penjaga gol Farizal Marlias menyelamatkan keadaan.

    KL City yang turun selaku ‘underdog’ akhirnya berjaya mengejutkan JDT, apabila Zhafri meledak masuk bola hantaran lintang daripada J. Partiban pada minit ke-66.

    Ketika skuad kendalian Benjamin Mora sedang memburu gol penyamaan, KL City mencipta satu lagi jaringan untuk melebarkan jurang menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-74, yang berjaya mengawal hantaran Hadin Azman dengan baik, sebelum menerjah gawang JDT.

    KL City mara ke final mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan agregat terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir, manakala juara 2017 dan 2019, JDT membenam Terengganu FC 4-1 secara agregat untuk melangkah ke final.