PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai kelebihan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila golongan belia berumur antara 18 hingga 21 tahun layak mengundi melalui insiatif Undi 18.

Memetik laporan MalaysiaNow, perkembangan itu memberi peluang yang sama rata kepada PN untuk memenangi PRU-15 berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, golongan muda berbeza dengan pengundi lama yang mempunyai pandangan politik keluarga atau politik tradisi.

Sebaliknya, beliau berkata, golongan muda hanya mengutamakan isu semasa dan dijangka akan memberi sokongan kepada pihak yang lebih utamakan hal ehwal mereka.

“Golongan ini lebih utamakan ‘periuk nasi’ masing-masing dan masa depan mereka.”

“Oleh itu, pihak yang dilihat mampu tawarkan penyelesaian kepada isu yang dihadapi mereka, pastinya akan menjadi pilihan pengundi kategori ini.

“Justeru keadaan ini dilihat sebagai satu ‘permainan adil’ dan PN boleh meraih manfaat dan bersaing dengan BN dan PH secara adil,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari University of Nottingham Asia Research Institute Malaysia, Bridget Welsh memberitahu, keadaan itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlaku baru-baru ini apabila jumlah pengundi muda dilihat beralih dari BN dan PH kepada PN.

“Angka peralihan itu adalah signifikan. Jelas sekali mereka mahukan perubahan dan reformasi.”

“PN adalah gabungan parti politik baru, jadi mungkin mereka ingin berikan peluang dan melihat kemampuan PN,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hisommudin dan Welsh menyifatkan pengundi muda lebih-lebih lagi mereka yang tergolong dalam Undi 18 sebagai penentu kepada PRU-15.

Mereka berkata, kehadiran pengundi baharu ini dijangka akan ‘memeriahkan’ suasana PRU-15 apabila sokongan yang bakal ditunjukkan golongan tersebut sukar diramal sekali gus mampu mencetus ketidaktentuan.

Welsh berkata, ia kerana golongan ini tidak mempunyai sifat setia kepartian dan lebih menumpukan kepada isu “bread and butter”.

“Golongan muda sudah bosan dengan politik, mereka inginkan reformasi dan lebih utamakan ‘periuk nasi’ masing-masing. Keadaan ini pastinya akan mengubah fenomena PRU seterusnya.

“Contohnya, jika lihat kepada isu 1MDB, ramai golongan muda memberikan reaksi yang berbeza pada 2018 berbanding sekarang, ini antara yang mendorong kemenangan PH, namun kini keadaan dilihat berbeza,” katanya.

Hisommudin pula berkata, sekiranya berlaku peralihan undi golongan ini kepada mana-mana gabungan parti politik, maka blok itu sudah hampir memiliki kemenangan.

“Pengundi muda merangkumi lebih separuh daripada jumlah pengundi keseluruhan di Malaysia, jadi undi mereka sangat penting,” katanya.

Tambah beliau, parti politik kini dilihat perlu menggunakan pendekatan baru dan tidak boleh bergantung dengan berkempen cara lama untuk meraih undi golongan tersebut.

“Tidak boleh hanya gunakan bahan kempen yang lepas dan perlu teroka trend baru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here