PERARAKAN bagi meraikan kejayaan Kuala Lumpur FC (KL City FC) merangkul gelaran juara Piala Malaysia 2021 yang dijadualkan petang ini dibatalkan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman Facebook beliau.

Menurut beliau, pembatalan itu dilakukan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami patuh arahan. Perarakan dibatalkan. Jumpa lagi. Tahniah KLCT dan KLFA,” katanya.

Perarakan itu dianjurkan bagi membolehkan warga kota melihat secara lebih dekat piala itu pada ulang tahun ke-100 kejohanan bola sepak berprestij berkenaan.

Perarakan itu dijadualkan bermula di Dataran Merdeka sekitar 4.45 petang dan akan melewati Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Campbell, Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Bangunan KLCC, Menara KL, sekitar Bukit Bintang dan seterusnya berhenti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Dua jaringan masing-masing daripada Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue pada separuh masa kedua, turut membantu skuad The City Boys melakar sejarah sebagai juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij yang diperkenalkan pada 1921, selain meraih tiket ke saingan Piala AFC musim depan.

KL City, yang dikenali sebagai Kuala Lumpur FA sebelum proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M), pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, namun tidak pernah melangkah ke final selepas itu.

Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan denganserangan bertali-arus mencemaskan gawang lawan, manakala KL City pula mempamerkan disiplin bertahan yang cukup baik untuk mematahkan serangan serta tangkas melakukan beberapa serangan balas.

JDT hampir membuka jaringan pada minit kelapan apabila rembatan Bergson da Silva dari penalty arc berjaya menewaskan penjaga gawang Kevin Ray Mendoza, namun percubaan itu sekadar singgah di palang kiri gol KL City.

Tandukan Mauricio dos Santos hasil sepakan percuma Arif Aiman Hanapi pada minit ke-36 dan tandukan Safawi Rasid seminit kemudian, juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol import dari Filipina itu.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang mula menunjukkan corak menyerang pada separuh masa kedua, mendapat peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila penyerang import dari Colombia, Romel Morales berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan penalti JDT pada minit ke-59, namun tindakan pantas penjaga gol Farizal Marlias menyelamatkan keadaan.

KL City yang turun selaku ‘underdog’ akhirnya berjaya mengejutkan JDT, apabila Zhafri meledak masuk bola hantaran lintang daripada J. Partiban pada minit ke-66.

Ketika skuad kendalian Benjamin Mora sedang memburu gol penyamaan, KL City mencipta satu lagi jaringan untuk melebarkan jurang menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-74, yang berjaya mengawal hantaran Hadin Azman dengan baik, sebelum menerjah gawang JDT.

KL City mara ke final mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan agregat terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir, manakala juara 2017 dan 2019, JDT membenam Terengganu FC 4-1 secara agregat untuk melangkah ke final.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here