KETERUJAAN seorang pemuda yang ingin mencari pekerjaan sambilan terbantut apabila diperdaya kerugian RM21,280, pada Selasa lalu.

Mangsa, 22, pada mulanya iklan tawaran pekerjaan sampingan menerusi Facebook sebelum berminat untuk menyertainya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menekan pautan dan telah berhubung dengan seorang wanita serta mengatakan minat dengan pekerjaan yang ditawarkan.

Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa perlu membuat tangkapan layar barangan yang ditempah pelanggan dan menghantar kepadanya melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa bersetuju dan suspek meminta mangsa membuat pembayaran pendahuluan bagi kerja-kerja itu serta memberi jaminan akan memperoleh semula wang terbabit beserta komisen sebanyak 20 peratus.

“Mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM21,280 ke dalam akuan berbeza bagi memperoleh komisen berganda. Namun selepas memasukkan wang tersebut, mangsa tidak memperoleh semula wang dan komisen seperti dijanjikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek memberi pelbagai alasan dan enggan mengembalikan kesemua wang milik mangsa.

“Susulan itu, mangsa merasakan dirinya ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here