Category: Semasa

  • Seludup ketika banjir, PGA7 rampas barang RM889,915

    Seludup ketika banjir, PGA7 rampas barang RM889,915

    BATALION ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas barang seludup bernilai RM889,915 dalam permeriksaan sekitar kira-kira 41.8 kilometer di sempadan negara dari Rantau Panjang, Pasir Mas hingga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sejak empat hari lepas.

    Pegawai Pemerintah Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, limpahan air Sungai Golok berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas didapati memudahkan penyeludup untuk melakukan kegiatan haram mereka.

    Beliau berkata air sungai yang melimpah tebing menyebabkan perahu digunakan penyeludup dapat sampai ke jalan raya sekali gus memudahkan mereka untuk memunggah barangan terlarang.

    “Dari jalan raya, mereka akan guna kenderaan untuk menempatkan barangan seludup ke tempat-tempat transit sebelum barangan tersebut diedarkan ke tempat lain pula. Bagaimanapun modus operandi ini berjaya dikesan PGA7 yang berjaya membanteras kegiatan itu menerusi 17 rampasan dalam tempoh empat hari berkenaan,” kepada pemberita selepas meninjau pos kawalan PGA di Rantau Panjang yang ditenggelami air, di Pasir Mas, hari ini.

    Sementara itu Azhari berkata empat daripada 17 pos kawalan agensi keselamatan itu iaitu Pos Ibrahim Pencen, Pos Pak Teh Kana, Pos Kaloi dan Pos Serongga, yang terletak di tebing Sungai Golok, ditenggelami air lebih 2 meter sejak beberapa hari lepas.

    “Ketika ini 31 pegawai dan anggota yang bertugas di empat pos berkenaan telah dipindahkan ke tempat selamat namun penugasan mereka masih diteruskan. Walaupun berdepan cabaran bencana banjir, namun 400 pegawai dan anggota PGA7 yang mula ditugaskan sejak 16 Dis lalu kekal tabah dan cekal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.- Bernama

  • Mangsa banjir meningkat lebih 61,000 di Selangor dan Pahang setakat tengah hari

    Mangsa banjir meningkat lebih 61,000 di Selangor dan Pahang setakat tengah hari

    WALAUPUN hujan lebat berpanjangan dilihat semakin reda setakat tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Selangor dan Pahang terus meningkat dengan lebih 61,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Selain itu, Perak dan Negeri Sembilan turut mencatatkan peningkatan mangsa banjir, namun jumlah itu tidak melebihi 1,000 orang.

    Bagaimanapun, bilangan mangsa banjir di negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu, serta Melaka menunjukkan penurunan pada tengah hari ini berbanding pagi tadi.

    Di SELANGOR,  seramai 32,044 mangsa banjir telah ditempatkan di 162 PPS di sembilan daerah, di negeri ini setakat 10 pagi tadi.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Twitter rasmi beliau memaklumkan daerah Klang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 18,858 orang.

    Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir di negeri ini sebanyak 29,181 orang daripada 7,738 keluarga yang ditempatkan di 242 buah PPS setakat tengah hari ini.

    Daerah yang dilanda banjir juga masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan. 

    Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan misi bantuan makanan diteruskan kepada mangsa yang terkandas di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 selain laluan KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup kedua-dua hala. 

    Jumlah mangsa banjir di PERAK juga meningkat kepada 254 orang setakat 1.30 petang tadi berbanding 242 orang pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di tiga PPS di negeri itu, menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak.

    Tinjauan Bernama di Teluk Intan mendapati kebanyakan air di kampung-kampung masih belum surut sepenuhnya selain turut kelihatan penduduk pulang ke rumah masing-masing untuk mengambil dokumen peribadi serta barangan elektrik untuk dibawa ke PPS.

    Di NEGERI SEMBILAN pula, Pengarah APM Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor dalam kenyataan berkata mangsa banjir di negeri itu, termasuk di Seremban dan Port Dickson, meningkat kepada 605 individu daripada 145 keluarga dengan 10 PPS dibuka setakat 12 tengahari tadi. 

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir di KELANTAN menunjukkan penurunan setakat 12 tengah hari tadi apabila seramai 3,659 orang daripada 1,079 keluarga berada di PPS berbanding 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, pagi tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM Negeri Kelantan Zainuddin Hussin berkata 40 PPS dibuka melibatkan 24 buah di Kuala Krai, Pasir Mas (8), Gua Musang (5), Tanah Merah (2) dan Jeli (1).

    Jumlah mangsa banjir di TERENGGANU juga turun kepada 158 orang daripada 38 keluarga pada tengah hari ini berbanding 288 orang daripada 68 keluarga pagi tadi.

     Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan ketika ini, hanya daerah Kemaman sahaja terjejas banjir dengan enam PPS beroperasi manakala dua PPS di daerah Dungun telah ditutup secara rasmi sebentar tadi.

    Di MELAKA, Pengarah APM Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 718 orang daripada 158 keluarga setakat tengah hari ini berbanding 826 orang dari 183 keluarga setakat 7 pagi tadi.

    — BERNAMA

  • Lakukan ujian saringan Covid di PPS, cegah kluster baharu – Agong

    Lakukan ujian saringan Covid di PPS, cegah kluster baharu – Agong

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku. 

    Seri Paduka bertitah ujian itu membolehkan mereka yang didapati positif COVID-19 diasingkan daripada mangsa lain, selain semua pihak yang berada di PPS perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan memandangkan COVID-19 masih berlaku.  

    “Ini (ujian saringan) perlu dijadikan keutamaan kerana tak mahu PPS menjadi kluster. Sila ambil perhatian pada siapa yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara ini tidak boleh dikompromi,” titah Al-Sultan Abdullah semasa menyantuni 225 mangsa banjir di PPS Wisma Belia, Indera Mahkota, Kuantan, hari ini. 

    Turut berkenan berangkat menyantuni mangsa ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dua anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. 

    Terdahulu, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. 

    Seri Paduka juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir sama ada yang berada di PPS atau tidak. 

    “Untuk semua terutamanya yang berada di pedalaman, jika harus berpindah ikutlah arahan. Nasihatkan juga anak-anak jangan bermain air supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” titah baginda. 

    Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam taklimatnya kepada Seri Paduka berdua memaklumkan daerah itu mengalami hujan lebat melebihi 120 milimeter (mm) pada Jumaat lepas sebelum meningkat sehingga 203 mm pada Sabtu sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. 

    Purata hujan bagi tempoh 24 jam yang direkodkan di stesen telemetri hujan di Pulau Manis, Ulu Lepar dan Sungai Lembing telah melebihi jumlah purata hujan bulanan sebulan, selain menyebabkan lima sungai utama termasuk Sungai Lembing, Sungai Kuantan dan Sungai Belat melepasi paras bahaya.  

    Wan Mohd Zahari berkata setakat ini, sebanyak 43 PPS dibuka di Kuantan bagi menempatkan 13,642 mangsa daripada 351 keluarga dan operasi memindah dan menyelamat dilakukan 889 pegawai dan anggota pelbagai agensi seperti bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan diketuai polis. 

    “Mangsa yang berada di PPS tidak akan dibenarkan terus balik ke rumah sebelum mereka disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya. – Bernama 

  • Tanah runtuh: 5 kanak-kanak antara 19 diselamatkan di Kuala Klawang

    Tanah runtuh: 5 kanak-kanak antara 19 diselamatkan di Kuala Klawang

    LIMA kanak-kanak antara 19 mangsa diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam insiden tanah runtuh di Jalan Genting Peras, Kuala Klawang di Jelebu.

    Komander Operasi, Mohd Asri Tak berkata, dua panggilan diterima melibatkan dua lokasi berbeza dan untuk kes pertama, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 petang dan mangsa dijumpai pada jam 1.34 pagi.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun terperangkap dan salah seorangnya mengalami kecederaan di kaki.

     “Mangsa cedera di pergelangan kaki kerana dihempap pokok tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, jabatan itu turut mendapat maklumat terdapat keluarga terperangkap di lokasi berbeza dalam insiden tanah runtuh tersebut.

    “Anggota kemudian diarahkan bergerak ke kawasan itu dan pada jam 7.40 pagi tadi seramai 17 mangsa dapat diselamatkan dan dalam proses untuk dibawa ke tempat selamat.

    “Pada jam 12.52 tengah hari, semua mangsa telah berjaya dibawa ke tempat selamat dan mereka juga sudah diberikan bantuan awal pada jam 10.10 pagi,” katanya.

    Beliau juga memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes melibatkan lokasi kedua itu.

    “Jarak mangsa dengan pusat kawalan adalah sejauh enam kilometer dan semuanya ditemukan dalam keadaan selamat,” ujarnya.

  • Mayat dua lelaki Myanmar ditemui di Telok Kemang

    Mayat dua lelaki Myanmar ditemui di Telok Kemang

    MAYAT dua lelaki warga Myanmar ditemukan di pantai Telok Kemang, Port Dickson, ditemui di perairan tersebut hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd Timar berkata, kedua-dua mangsa sebelum itu mandi di pantai tersebut.

    Katanya, mangsa pertama dijumpai oleh nelayan pada pukul 8.50 pagi dan mangsa kedua ditemui pada pukul 9.57 pagi.

    “Kedua-duanya dijumpai lebih kurang tiga batu nautika daripada tempat mangsa dipercayai lemas. Kerja-kerja pemindahan mangsa sedang dilakukan oleh pihak bomba dan Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

    Kedua-dua mangsa itu dikenal pasti sebagai Biak Lian, 38 tahun dan Van Lian Cung berusia 26 tahun merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, Bot Benteng 04 telah digerakkan ke lokasi untuk mengambil mayat tersebut manakala mayat kedua ditemui tidak jauh dari lokasi mayat pertama ditemui.

    “Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan ingin menasihatkan khususnya kepada pengunjung di pantai peranginan supaya menangguhkan aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan dua lelaki dipercayai warga negara Myanmar dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Telok Kemang berhadapan sebuah hotel di sini dalam kejadian pada tengah hari Sabtu.

    Kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh pasukan khas, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dengan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Duduk atas bumbung tapi tak nak ke pusat pemindahan sementara

    TAMAN Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam merupakan antara kawasan yang paling mendapat perhatian dalam media-media sosial apabila ribuan penduduk di situ terkandas.

    Lanjutan itu kawasan berkenaan menjadi tumpuan hampir semua agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Namun biarpun kawasan mereka terjejas ada antara antara duduk di atas bumbung, percaya atau tidak, ada mangsa banjir enggan dipindahkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    Perkara itu didedahkan oleh  Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menganggap ia  antara cabaran utama dihadapi pasukan Bomba dan Penyelamat dalam melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa banjir sejak hari pertama bencana alam berkenaan melanda.

    ” Oleh itu, saya mengarahkan Ketua Pengarah JBPM supaya menempatkan lebih ramai anggota bagi membolehkan pelaksanaan operasi menyelamat yang lebih menyeluruh dan kawasan ini diberikan tumpuan utama.

    “Saya tengok keadaan luar daripada kebiasaan… apabila bomba pergi untuk selamatkan, mereka duduk di atas bumbung, tidak mahu berpindah tetapi hendak bantuan makanan.

    “Memang ada yang tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya hendak tinggal di rumah mereka,” katanya pada sidang media di  Pusat Kawalan Bomba, Operasi Banjir Taman Seri Muda, di Shah Alam hari ini.

    Selain itu, Reezal Merican berkata, terdapat segelintir penduduk enggan berpindah ke PPS kerana bimbang akan risiko jangkitan COVID-19.

    “Ada juga (tidak mahu berpindah) sebab melihat hujan sudah tidak turun dan air termenung, mahu tinggal di tingkat dua rumah mereka.

    “Bagi yang enggan berpindah, anggota cuba memujuk. Namun jika mereka tetap tidak mahu berpindah, kita tidak dapat buat apa-apa dan saya meminta bomba menghantar bantuan makanan.

    “Namun lebih baik jika mereka boleh berpindah ke PPS dan mendaftar, boleh mendapat bantuan kerajaan. Sekarang penduduk yang sudah diselamatkan membuat pendaftaran di sini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua anggota yang terbabit dalam operasi bersepadu, dibekalkan makanan kerana mereka bertugas 24 jam.

  • Kilang kicap proses kacang soya berhampiran tandas

    Kilang kicap proses kacang soya berhampiran tandas

    NAJIS tikus bertaburan di kawasan penyimpanan kicap dan kacang soya pula diproses berhampiran tandas.

    Itu situasi meloyakan yang dikesan ketika pemeriksaan sekumpulan pengawai Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang pemprosesan kicap yang beroperasi sejak hampir 100 tahun lalu di Jalan Patani hari ini.

    Selain itu, kilang tersebut juga didapati masih menggunakan tong gentian kaca yang telah rosak dan pecah pada bahagian penutup untuk memproses perapan kacang soya dan dipenuhi kulat yang berbahaya kepada kesihatan.

    Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang yang turut mengeluarkan tauchu dan kuah rojak untuk pasaran sekitar utara tanah air itu turut diarahkan tutup selama 14 hari.

    Malah tegasnya, pemilik kilang yang mewarisi perniagaan itu daripada datuknya turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa.

    “Kilang ini pernah diserbu tahun lalu dan kita telah menasihati pemiliknya menjaga kebersihan, namun nampaknya mereka masih ingkar dengan arahan tersebut yang dapat dilihat menerusi operasi hari ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

    Sementara itu dalam operasi sama hari ini, sebuah kilang pembuatan mi di lokasi berhampiran turut diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak menepati piawaian kebersihan ditetapkan.

    Menurut Mohd. Wazir, ketika pemeriksaan di premis berkenaan, pihaknya turut menjumpai najis lipas dan tikus manakala mi kering pula dibiarkan terdedah selain ada yang hanya ditutup dengan surat khabar.

    “Kilang itu juga didapati meletakkan bahan pembuatan mi serta kuetiau di atas lantai dan ini melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Jelasnya, pemilik kilang itu didapati menggunakan logo halal serta MESTI dan pihaknya akan melaporkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya logo halal ditarik balik penggunaannya oleh kilang terbabit.

    Tambah beliau, secara keseluruhan pihaknya mengeluarkan sebanyak empat kompaun berjumlah hampir RM9,000 ke atas kedua-dua premis tersebut atas pelbagai kesalahan.

  • Petugas hospital, isteri dan ahli perniagaan ditahan edar dadah

    Petugas hospital, isteri dan ahli perniagaan ditahan edar dadah

    POLIS merampas 5 kilogram dadah bernilai RM9,800 selepas menahan seorang petugas di sebuah hospital bersama-sama isterinya serta seorang ahli perniagaan dalam serbuan di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di Kampung Bandar Setapak pada pukul 6.45 petang.

    “Kita merampas dua bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja yang dijumpai dalam beg silang,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Maju, Kuala Lumpur hari ini.

    Ashari berkata, hasil soal siasat, polis menahan isteri suspek berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Pudu.

    “Kami merampas tiga bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja di dalam sebuah bilik,” katanya.

    Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga ahli perniagaan di sebuah restoran di Kota Damansara pada pukul 9 malam.

    “Lelaki berusia 50 tahun itu disyaki pembekal dadah jenis ganja.

    “Hasil semakan mendapati suspek tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Menurutnya, polis siasat kemungkinan petugas hospital berkenaan turut menjual dadah di tempat kerjanya.

    “Kami percaya suspek bergiat aktif sejak akhir tahun lalu dengan menjual dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

    Ashari berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

  • Speaker Dewan Rakyat tutup sesi Parlimen dengan pantun ragam Ahli Parlimen

    Speaker Dewan Rakyat tutup sesi Parlimen dengan pantun ragam Ahli Parlimen

    SELEPAS 33 hari bersidang, Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 melabuhkan tirai hari ini dengan 16 rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

    Sidang yang berlangsung bermula 25 Okt turut mencipta sejarah apabila lebih dua pertiga Ahli Parlimen menyokong kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

    Selain itu, antara yang turut diluluskan ialah Rang Undang-Undang Kewangan 2021; Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Paten (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.

    Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir pada 16 Dis lepas  ditambah sehari pada hari ini bagi membolehkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibincang dan diputuskan.

    Bagaimanapun, Menteri Kesihatan (KKM) Khairy Jamaluddin menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua dan ketiga ke sesi akan datang.

    Sebelum menamatkan persidangan kali ini,  Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mencuri tumpuan apabila menggunakan pantun dalam ucapan penutupnya yang dilihat menceritakan ragam Ahli-ahli Parlimen ketika bersidang antaranya P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), RSN Rayer (PH-Jelutong), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan Khairy (BN-Rembau).

    Antara rangkap pantun itu:

    Batu Kawan berwarna-warni,

    Jelutong pula tidak habis berdiri,

    Setiap hari kita di sini,

    Amanah rakyat kita penuhi.

    Yang Amat Berhormat Bera orangnya tenang,

    Rembau pula orangnya tampan,

    Yang Dipertua kadang-kadang memanglah naik berang,

    Namun apa-apa pun dihati tak pernah disimpan.

    Azhar berkata persidangan kali ini telah diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan wabak COVID-19 yang masih berlarutan dengan pelbagai langkah diambil termasuk mewajibkan ujian RTK Ag Saliva secara berkala di samping menggalakkan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada semua Ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Mayat korban kedua banjir Pahang ditemukan

    Mayat korban kedua banjir Pahang ditemukan

    LELAKI yang dilaporkan hilang selepas meredah banjir di Kampung Cempaka, semalam, menjadi korban kedua banjir di Pahang selepas mayatnya ditemukan pada 7.15 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Mohd Halmi Nazlan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. 

    Mohd Halmi, 34, dilaporkan hilang pada 1 pagi semalam, selepas dikatakan cuba meredah banjir bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. 

    Mangsa didakwa telah dihanyutkan arus deras manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri. 

    Pada Jumaat lepas, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir setelah ditemukan maut selepas cuba mengharung banjir menggunakan motosikal di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang di sini.  – Bernama