SELEPAS 33 hari bersidang, Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 melabuhkan tirai hari ini dengan 16 rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Sidang yang berlangsung bermula 25 Okt turut mencipta sejarah apabila lebih dua pertiga Ahli Parlimen menyokong kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Selain itu, antara yang turut diluluskan ialah Rang Undang-Undang Kewangan 2021; Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Paten (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.

Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir pada 16 Dis lepas  ditambah sehari pada hari ini bagi membolehkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibincang dan diputuskan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan (KKM) Khairy Jamaluddin menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua dan ketiga ke sesi akan datang.

Sebelum menamatkan persidangan kali ini,  Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mencuri tumpuan apabila menggunakan pantun dalam ucapan penutupnya yang dilihat menceritakan ragam Ahli-ahli Parlimen ketika bersidang antaranya P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), RSN Rayer (PH-Jelutong), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan Khairy (BN-Rembau).

Antara rangkap pantun itu:

Batu Kawan berwarna-warni,

Jelutong pula tidak habis berdiri,

Setiap hari kita di sini,

Amanah rakyat kita penuhi.

Yang Amat Berhormat Bera orangnya tenang,

Rembau pula orangnya tampan,

Yang Dipertua kadang-kadang memanglah naik berang,

Namun apa-apa pun dihati tak pernah disimpan.

Azhar berkata persidangan kali ini telah diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan wabak COVID-19 yang masih berlarutan dengan pelbagai langkah diambil termasuk mewajibkan ujian RTK Ag Saliva secara berkala di samping menggalakkan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada semua Ahli Parlimen. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here