POLIS mengklasifikasikan kes satu mayat ditemukan terbaring di tepi jalan di Batang Kali-Selayang, Ulu Yam, Selangor pada Sabtu lepas sebagai kes bunuh, berikutan terdapat kecederaan meragukan ke atas tubuh mangsa.
Susulan itu Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Identiti mayat belum diketahui itu yang menerusi bedah siasat menemui kesan lebam di kedua-dua mata dan kesan bengkak di bahagian dahi,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.
Zainal Mohamed berkata keluarga atau waris yang kehilangan ahli keluarga atau orang awam mempunyai maklumat berkaitan kes, diminta tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan R. Kolanthaivelu di talian 019-2579232 bagi membantu siasatan.
Pada 18 Disember lepas, mayat wanita ditemui terbaring di tepi jalan dan ditutup dengan sehelai kain selimut warna merah jambu serta sehelai kain berwarna putih.
Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tempat kejadian dan mangsa dipercayai merupakan warga asing.– Bernama
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa awam dalam menyelamatkan orang ramai yang terkesan akibat bencana banjir.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ini terutama usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir ke kawasan selamat.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. GAMBAR: Abd Razak Aid
“Pada masa kini, kesiagaan anggota dan aset ATM melalui pelaksanaan Operasi Murni (OP MURNI) yang digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.
“Berdasarkan situasi semasa, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan telah diatur gerak. Ini bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, liason officer di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Affendi, aset-aset seperti trak 3, 5 dan 7 tan, land rover, bot tempur serta aset udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sedia diatur gerak apabila diperlukan.
“ATM juga sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 Kompeni iaitu 5 pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” jelasnya.
Menurut beliau, ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk di atur gerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu Pihak Berkuasa Awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Ini termasuklah dalam menyegerakan pelaksanaan proses pemindahan serta bantuan-bantuan lain,” kata Affendi.
SEBANYAK RM200,000 disumbangkan kerajaan negeri Kedah kepada Selangor bagi membantu negeri itu serta rakyatnya yang terkesan dengan kejadian banjir, semalam.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sumbangan tersebut diberikan sebagai tanda kebersamaan rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor.
“Sumbangan ini akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri Kedah dengan kadar segera.
“Semoga bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda Selangor dan beberapa negeri lain.
Katanya, kesukaran dilalui penduduk serta kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada apa yang dapat dibayangkan.
Justeru katanya, selain sumbangan kerajaan negeri, pihak Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk Selangor.
“Kutipan sumbangan itu akan dibawa ke Selangor bersama-sama aset dan petugas bagi membantu penduduk di sana.
“Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan dapat membantu mereka yang berdepan kesukaran pasca banjir,” katanya.
SEORANG guru wanita maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar tunggul pokok, sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan, Setiu, Terengganu.
Mangsa, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, dikatakan, dalam perjalanan bersama ahli keluarganya untuk meraikan pasangan pengantin baharu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam itu turut menyebabkan dua adiknya, Siti Nur Ummi Nabihah, 19, dan Nur Qaseh Balqis, 10, dalam keadaan kritikal.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Honda City bersama dua adiknya, dalam perjalanan dari rumah mereka di Chalok Kedai menghala ke Pantai Penarik Rhu 10, bagi mengiringi kakaknya mengambil foto perkahwinan.
Bagaimanapun sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki tiga beradik itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tunggul pokok sebelum terbakar.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum api merebak.
Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan kecemasan bagaimanapun, Nurul disahkan maut oleh pegawai perubatan yang bertugas, manakala dua orang lagi penumpang mengalami kecederaan parah.
Kejadian itu disiasati mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
TEMPOH 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri sedikit memberikan kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas dengan banjir yang telah memasuki hari ketiga.
Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana telah direkodkan.
Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.
Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata di Selangor selain kematian akibat banjir itu direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, di daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.
Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam semalam.
Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada 1 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada 5 pagi tadi oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang hari ini, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.
Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan ia disahkan Baharudin kepada Bernama.
Di PAHANG pula, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.
Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi semalam, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.
Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.
Mayat lelaki ditemukan pada 1 tengah hari tadi manakala mayat tiga wanita ditemukan pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.
Di PERAK, meskipun cuaca diramal baik sehingga pagi ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Di TERENGGANU, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.
Di KUALA LUMPUR, Seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik hari ini menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.
Di KELANTAN, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik hari ini.- Bernama
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengenal pasti 30 masjid, 60 surau dan 30 sekolah agama yang terjejas teruk akibat banjir dan mengalami kerosakan, serta memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih segera, setakat 10 pagi semalam.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata hampir keseluruhan karpet masjid dan surau rosak, selain kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan bacaan, perabot, alatan masjid, siling dan bumbung masjid perlu kepada kerja pembaikan agar dapat kembali berfungsi dengan segera.
“Institusi sekolah agama di bawah seliaan jabatan ini juga menghadapi situasi sama. Jabatan ini menjangkakan angka masjid, surau dan sekolah terlibat akan menjadi lebih besar ekoran paras air di beberapa daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor mula naik sejak pertengahan malam tadi (kelmarin),” katanya dalam kenyataan
Beliau berkata jawatankuasa khas JAIS peringkat negeri dan daerah ditubuhkan serta merta bagi menyelaras jenis dan bentuk bantuan kepada mangsa banjir melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).
“Jawatankuasa bermesyuarat pagi tadi (semalam) bersetuju untuk mengambil langkah segera menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan mengikut skop dan jenis bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dan seterusnya di peringkat pasca bencana,” katanya.
Mohd Shahzihan memaklumkan jawatankuasa khas turut membuat keputusan menyalurkan bantuan kelengkapan 210 unit water jet bagi kemudahan masjid, surau dan sekolah, serta bantuan keperluan makanan basah di semua PPS di 36 masjid dan surau dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah RM250,000.
“TIJARI, LZS dan TERAS akan terus menyalurkan sumbangan makanan kering dan keperluan harian di PPS yang lain. Turut diputuskan ialah penyaluran bantuan kelengkapan pembersihan oleh MAIS dan penggantian karpet masjid dan surau yang terjejas oleh LZS,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan usaha penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, Bilik Gerakan Khas diwujudkan serta-merta dan akan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi di talian 03-5514 3439 atau 03-5514 3761.
Bilik Gerakan itu akan memberi informasi terkini masjid, surau dan sekolah yang terjejas serta maklumat lain yang diperlukan oleh mana-mana pihak dari dalam dan luar Selangor, berhubung hasrat menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa dan institusi terjejas banjir. — BERNAMA
MESEJ tular mengatakan hujan lebat berterusan yang berlaku beberapa hari lepas adalah disebabkan ekor Taufan Rai yang membadai Filipina ketika ini dan dalam perjalanan ke arah barat menuju Malaysia, adalah tidak benar sama sekali.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, tidak dinafikan taufan itu sedikit sebanyak menyumbang, tetapi fenomena yang melanda negara beberapa hari lepas adalah disebabkan pertembungan beberapa keadaan.
Katanya, apa yang berlaku sebenarnya adalah satu fenomena yang dipanggil ‘tropical depression’ atau lekukan tropika yang terbentuk di Laut China Selatan yang bergerak melanda Pahang pada asalnya.
Kemudian kekuatannya berkurangan dan diklasifikasikan sebagai satu sistem tekanan rendah.
“Ia bergerak ke arah barat dan mempengaruhi kawasan-kawasan seperti Kuala Lumpur dan Selangor, dan ianya berakhir di Selat Melaka sekitar 17 Disember. Jadi sistem tersebut berinteraksi dengan luruan monsun atau ‘cold surge’ iaitu deruan angin kencang yang datang dari China, menyebabkan berlaku hujan lebat luar biasa tempoh hari,” katanya kepada Astro Awani.
Taufan Palau pula terbentuk daripada lekukan tropika di Laut Pasifik yang semakin menguat tatkala ia bergerak ke barat dan mencapai kemuncaknya apabila sampai ke pantai timur Filipina pada 16 Disember.
Taufan itu terus bergerak ke barat ke Laut China Selatan dan melemah. Namun pada 18 Disember, ia menguat semula tetapi melemah kembali pada keesokan harinya sambil bergerak terus ke arah barat-barat laut.
Maka berdasarkan fakta itu Muhammad Helmi menafikan dakwaan bahawa akan sampai taufan itu ke tanah ini, malah berdasarkan cerapan terkini Met Malaysia mendapati tiada tanda-tanda akan berlaku lagi episod hujan lebat berterusan dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu akan datang ini.
“Kami telah menamatkan amaran hujan lebat berterusan pada 19 Disember dan pihak kami juga tidak menjangkakan dalam tempoh terdekat ini akan berlaku episod hujan lebat di negara kita.
“Setakat ini belum ada tanda-tanda awal lagi berdasarkan rujukan kami kepada model-model global juga model-model cuaca yang dioperasikan oleh pihak kami,” katanya.
PENDUDUK Kampung Bangi Lama menerima sumbangan kit makanan dan peralatan kebersihan bernilai RM100 untuk setiap keluarga daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kit berkenaan antara bantuan segera yang disalurkan KPLB kepada penduduk kategori luar bandar yang terjejas akibat bencana banjir.
“Kita amat bersimpati dengan situasi yang dialami oleh penduduk yang dilanda banjir besar di Lembah Klang tahun ini.
“Justeru KPLB mengambil inisiatif untuk sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban dengan menyalurkan bantuan segera dan bantuan selanjut akan kita beri mengikut keperluan selepas penilaian menyeluruh dilaksanakan pasca banjir ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau situasi semasa kawasan bencana banjir di Kampung Bangi Lama, Kajang, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengarah KPLB Selangor/Wilayah Persekutuan, Abdul Malik Othman.
Dalam kejadian banjir itu, sejumlah 230 keluarga di kampung berkenaan terjejas teruk.
Jelas Mahdzir, KPLB turut menggerakkan sukarelawan di bawah agensi KPLB negeri ke lokasi-lokasi banjir di seluruh negara.
KPLB juga katanya, akan membaik pulih kerosakan kemudahan insfrastruktur seperti jalan kampung dan juga ameniti sosial yang terjejas pasca banjir nanti.
“Banyak kerosakan yang akan dibaiki oleh kementerian di kawasan seperti di Kampung Bangi Lama ini seperti jalan kampung dan longkang-longkang kecil melalui Projek Ameniti Sosial,” ujar Mahdzir.
Terdahulu beliau diberi taklimat oleh Ketua Kampung Bangi, Rasidin Md. Yusoff berkenaan situasi semasa dan keadaan penduduk kampung yang terjejas akibat banjir berkenaan.
BEBERAPA mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam memecah masuk beberapa buah kedai serbaneka hari ini selepas dipercayai kehabisan bekalan makanan akibat terkandas dalam banjir selama dua hari di taman tersebut.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku sekitar jam 1 hingga 2 petang berikutan kawasan tersebut teruk dilanda banjir.
“Saya mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai serbaneka berlaku di (Taman) Sri Muda iaitu kawasan yang mengalami banjir teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu satu klip video berdurasi 11 saat tular memaparkan kejadian tersebut yang dimuat naik oleh pemilik akaun Anne Abdullah di Facebook.
Baharudin berkata, pihaknya dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menggerakkan elemen cegah jenayah dan bantuan untuk memastikan keadaan terkawal di kawasan tersebut.
SEPASANG suami isteri sanggup tidur dalam kereta bersama-sama anaknya kerana bimbang dengan penularan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan rumahnya di Kampung Sri Tanjung, Dengkil.
Menurut Ernie Watini Aznan, 30, mulanya dia ke PPS tersebut tetapi ada pihak memberitahunya terdapat kes Covid-19 membabitkan mangsa banjir ketika saringan sebelum memasuki tempat pemindahan itu.
“Kemudian saya bersama suami, Zaiful Ahrul Ahmad Zailan, 35, dan anak, Muhammad Darwish, 9, ke PPS lain, sebelum dimaklumkan ia sudah penuh menyebabkan kami nekad tidur di dalam kereta sahaja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Walaupun tidak selesa dan anaknya mengeluh kerana tidak dapat pergi ke tempat lain, dia merasakan untuk duduk dalam kereta lebih selamat terutama melihat keadaan kes Covid-19 di negara ini yang masih belum reda.
Menurutnya, mereka hanya keluar untuk membersihkan diri di masjid berdekatan dengan berjalan kerana minyak kereta sudah tiada.
“Banyak jalan ditutup dan kami perlu menggunakan laluan jauh untuk mengisi minyak kenderaan.
“Syukurlah kini terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula memasuki kawasan ini untuk memberikan bantuan makanan kepada kami,” katanya.
Mengimbas kejadian banjir itu, Ernie berkata, pada ketika itu dia berada di tempat kerjanya di Bangi, manakala suaminya yang juga bekerja sebagai pemandu lori berada di Cyberjaya.
Katanya, anak mereka ketika itu berada di rumah pengasuh yang turut dinaiki banjir.
“Saya sepatutnya pulang pada 6 petang, namun rasa tidak sedap hati selepas membaca berita mengenai banjir di Jenderam dan Sepang.
“Jadi saya minta untuk pulang awal bagi menjenguk rumah, setibanya di rumah air sudah mula memasuki ruang tamu dan hanya sekelip mata ia semakin meninggi sehingga 0.5 meter,” katanya.
Disebabkan itu, dia segera mengambil kucing peliharaannya dan membawa dokumen penting untuk pergi ke tempat tinggi serta lebih selamat.
Dia tidak menyangka kejadian itu akan menimpa mereka kerana sejak tinggal di kampung itu sejak kecil, belum pernah kejadian banjir besar seperti itu berlaku.