TAMAN Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam merupakan antara kawasan yang paling mendapat perhatian dalam media-media sosial apabila ribuan penduduk di situ terkandas.

Lanjutan itu kawasan berkenaan menjadi tumpuan hampir semua agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Namun biarpun kawasan mereka terjejas ada antara antara duduk di atas bumbung, percaya atau tidak, ada mangsa banjir enggan dipindahkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Perkara itu didedahkan oleh  Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menganggap ia  antara cabaran utama dihadapi pasukan Bomba dan Penyelamat dalam melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa banjir sejak hari pertama bencana alam berkenaan melanda.

” Oleh itu, saya mengarahkan Ketua Pengarah JBPM supaya menempatkan lebih ramai anggota bagi membolehkan pelaksanaan operasi menyelamat yang lebih menyeluruh dan kawasan ini diberikan tumpuan utama.

“Saya tengok keadaan luar daripada kebiasaan… apabila bomba pergi untuk selamatkan, mereka duduk di atas bumbung, tidak mahu berpindah tetapi hendak bantuan makanan.

“Memang ada yang tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya hendak tinggal di rumah mereka,” katanya pada sidang media di  Pusat Kawalan Bomba, Operasi Banjir Taman Seri Muda, di Shah Alam hari ini.

Selain itu, Reezal Merican berkata, terdapat segelintir penduduk enggan berpindah ke PPS kerana bimbang akan risiko jangkitan COVID-19.

“Ada juga (tidak mahu berpindah) sebab melihat hujan sudah tidak turun dan air termenung, mahu tinggal di tingkat dua rumah mereka.

“Bagi yang enggan berpindah, anggota cuba memujuk. Namun jika mereka tetap tidak mahu berpindah, kita tidak dapat buat apa-apa dan saya meminta bomba menghantar bantuan makanan.

“Namun lebih baik jika mereka boleh berpindah ke PPS dan mendaftar, boleh mendapat bantuan kerajaan. Sekarang penduduk yang sudah diselamatkan membuat pendaftaran di sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua anggota yang terbabit dalam operasi bersepadu, dibekalkan makanan kerana mereka bertugas 24 jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here