Category: Semasa

  • 632 keluarga pegawai, anggota polis Selangor terjejas banjir

    632 keluarga pegawai, anggota polis Selangor terjejas banjir

    SEBANYAK 632 keluarga pegawai dan anggota polis di Selangor terjejas dan menjadi mangsa banjir yang melanda negeri itu minggu lalu, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu kawasan pentadbiran polis di Klang Utara, Shah Alam dan Kajang antara yang paling banyak terjejas termasuk Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

    “Boleh dikatakan semua daerah di Selangor (pegawai dan anggota menjadi mangsa banjir), sebab warga PDRM ini mereka tinggal merata tempat. Ada yang menyewa dan ada yang membeli rumah sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyampaian Bantuan kepada Mangsa Banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Ramli berkata, kesemua pegawai dan anggota polis negeri ini yang terkesan, akan dibantu menerusi penyaluran bantuan beras daripada program tersebut seberat 15 tan daripada empat syarikat dan seorang individu.

    Beliau berkata, Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) turut memberi sumbangan pakaian baharu kepada mangsa banjir.

    Mengulas laporan akhbar mengenai kehadiran pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ yang mula menawarkan pinjaman kepada mangsa banjir di sekitar kawasan bencana di negeri ini, beliau percaya Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed telah mengambil tindakan dalam hal terbabit.

    Ramli berkata pihaknya juga akan menggunakan semua sumber dan bantuan dari segi nasihat serta keselamatan dalam membanteras sindiket itu.–Bernama

  • Banjir: 48 maut, 5 hilang, lebih 25,000 mangsa di PPS

    Banjir: 48 maut, 5 hilang, lebih 25,000 mangsa di PPS

    SERAMAI 48 orang menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara setakat ini, manakala lima masih hilang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala di Pahang seramai 20, dan Kelantan tiga mangsa.

    “Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita manakala di Pahang melibatkan 14 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu mangsa di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan dengan 25,307 mangsa daripada 7,662 keluarga dilapor masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri tengah hari ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 169 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

    Pagi tadi jumlah mangsa banjir adalah 28,005 orang daripada 8,598 keluarga masih berada di 183 PPS di lima negeri berkenaan.

    Di SELANGOR, aplikasi itu memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 8,821 mangsa daripada 2,543 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini daripada 11,864 mangsa di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

    Bagaimanapun, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini berada pada paras bahaya apabila mencatat ketinggian 2.36 meter setakat 11.30 pagi dengan trend menaik.

    Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Twitter rasminya memaklumkan sebarang bantuan dan kecemasan segera akibat banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu boleh menghubungi 03-55105811 yang dibuka 24 jam.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir adalah 311 orang daripada 104 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 378 orang daripada 127 keluarga pagi tadi, melibatkan dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan ketara tengah hari ini, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan 16,303 orang masih berada di 114 PPS di enam daerah.

    Pagi tadi, seramai 16,579 mangsa dari Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan dilaporkan berada di PPS.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pula melaporkan sembilan jalan di Pahang ditutup di beberapa lokasi antaranya Jalan Kuala Lumpur-Maran di Maran, Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh), Jalan Sungai Lembing (Kuantan) dan Jalan Kuantan-Segamat (Pekan).

    Di NEGERI SEMBILAN, berdasarkan data disiarkan di aplikasi Info Bencana JKM jumlah mangsa banjir menurun kepada 83 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 128 individu daripada 37 keluarga dilaporkan pagi tadi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat tengah hari ini.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa. – BERNAMA

  • Sindiket proses ketum didalangi bekas penjawat awam tumpas

    Sindiket proses ketum didalangi bekas penjawat awam tumpas

    SATU sindiket memproses dan menjual air ketum didalangi seorang bekas penjawat awam tumpas dan isterinya tumpas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, 22 Disember lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi sindiket itu berjaya dibongkar selepas polis menahan seorang pemandu lori berusia 42 tahun yang positif dadah dalam satu operasi di Simpang Renggam, Kluang sehari sebelum serbuan dibuat.

    “Suspek dipercayai telah selesai melakukan penghantaran melibatkan bekalan daun ketum seberat 700 kilogram.

    “Ekoran penahanan suspek, polis menjalankan satu serbuan pada pukul 2.45 pagi keesokan harinya dan berjaya menahan empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 36 tahun.

    “Hasil saringan urin yang dijalankan mendapati tiga suspek termasuk dalang sindiket dan isterinya positif manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

    Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 288 ikatan daun ketum seberat 75.55 kilogram bernilai RM755.50 dan 60 botol air ketum seberat 90 liter bernilai RM900 serta peralatan memproses ketum.

    Ayob berkata, modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa sebuah kilang dengan bayaran RM1,000 untuk dijadikan tempat membungkus dan memprosesnya ketum.

    Tambahnya, Siasatan mendapati sindiket ini memperoleh keuntungan antara RM120,000 hingga RM200,000 sebulan.

    “Bekalan ketum diperoleh daripada pembekal di utara semenanjung sebelum dihantar menggunakan lori buah-buahan.

    “Harga jualan semasa daun ketum antara RM35 hingga RM80 manakala sebotol air ketum seberat 1.5 liter dijual antara RM13 hingga RM25.

    “Wanita yang merupakan isteri dalang sindiket turut bertindak selaku akauntan manakala dua pekerja lelaki yang ditugaskan selaku tukang masak air ketum diberikan gaji antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya juga telah menjalankan beberapa serbuan susulan di Johor Bahru dan Kulai pada pukul 8.30 malam semalam dan berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 25 hingga 39 tahun.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • 2 kes Omicron dikesan di Pulau Pinang

    2 kes Omicron dikesan di Pulau Pinang

    PULAU PINANG merekodkan dua kes positif Covid-19 melibatkan varian Omicron setakat ini iaitu kes import dari Arab Saudi membabitkan jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah.

    Kes pertama dikesan pada 16 Disember lalu manakala kes kedua dikesan sehari kemudian dengan kedua-dua kes merupakan kategori satu iaitu tidak mempunyai gejala.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedua-dua pesakit itu kini sedang dikuarantin di hospital bagi pemantauan rapi dan pengesanan kontak rapat turut dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

    “Setakat ini hanya dua kes varian Omicron direkodkan di negeri ini dan kerajaan negeri mengambil serius perkara ini serta akan memastikan ia tidak merebak dalam dalam komuniti,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sehubungan itu, Kon Yeow turut mengingatkan penduduk Pulau Pinang supaya segera mendapatkan dos penggalak selain mematuhi semua prosedur operasi yang ditetapkan bagi mencegah jangkitan Covid-19.

    “Kita ada pusat pemberian vaksin (PPV) yang mencukupi, hospital dan klinik yang menyediakan perkhidmatan pemberian dos penggalak dan ini antara kaedah terbaik yang kita ada dalam menangani Covid-19 ketika ini,” katanya.

  • Diskaun 50 peratus feri Pulau Pinang untuk penunggang motosikal, basikal

    Diskaun 50 peratus feri Pulau Pinang untuk penunggang motosikal, basikal

    PENUNGGANG motosikal dan basikal yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang bakal mendapat diskaun tambang sebanyak 50 peratus selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

    Tawaran oleh operator perkhidmatan itu iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bakal menyaksikan penunggang motosikal akan membayar tambang RM1 berbanding RM2 sebelum ini manakala tambang bagi penunggang basikal hanya 60 sen daripada RM1.20.

    Menerusi tawaran itu, pengguna kenderaan dua roda berkenaan akan melalui kaunter tiket perkhidmatan feri seperti biasa dan diskaun akan diberikan secara automatik.

    Perkara itu diumumkan Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng hari ini yang turut memaklumkan inisiatif tersebut membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM58,333 sebulan atau RM350,000 bagi tempoh enam bulan terhadap syarikat terbabit.

    Jelas beliau, pihaknya mengambil insiatif menawarkan diskaun itu bertujuan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selain selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

    Penunggang motosikal dan basikal yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang bakal mendapat diskaun tambang sebanyak 50 peratus selama enam bulan bermula 1 Januari ini

    Menurutnya, perkhidmatan feri di Pulau Pinang merupakan mod pengangkutan penting yang mana 600,000 pengguna motosikal dan basikal menggunakan perkhidmatan feri itu sebelum wabak Covid-19 melanda.

    “Bagaimanapun sepanjang tahun ini, hanya separuh atau kira-kira 300,000 penumpang motosikal dan basikal menggunakan perkhidmatan feri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Dalam pada itu, Teik Cheng SPPP berharap tawaran separuh harga tambang feri tersebut khususnya pada saat kritikal ketika ini akan dapat membantu mengurangkan beban kos perjalanan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan awam.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, SPPP menerima peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai pembelian lima buah feri baharu untuk ditawarkan sebagai mod pengangkutan kepada rakyat.

    “Bagi feri-feri ikonik Pulau Pinang pula, feri lama itu telah dipajak oleh tiga buah syarikat untuk dijadikan produk pelancongan di negeri ini antaranya muzium dan restoran terapung,” katanya.

  • Perkenal subsidi bersasar skim insurans bencana banjir

    Perkenal subsidi bersasar skim insurans bencana banjir

    KERAJAAN disarankan agar memperkenalkan subsidi bersasar skim insurans bencana banjir untuk golongan B40 dan M40 sebagai langkah mitigasi jangka panjang.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu adalah tambahan daripada bantuan serta-merta daripada kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau turut mengesyorkan agar ditambah perlindungan untuk kebakaran.

    “Atau, kerajaan boleh juga memperluaskan program Baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan dan kumpulan sasaran ini.

    “Perlindungan insurans penting kerana ia akan memberikan perlindungan kewangan kepada rakyat apabila bencana luar jangka seperti banjir dan kebakaran berlaku,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Wan Saiful berkata, beliau maklum bahawa memang ada syarikat insurans dan takaful yang menawarkan perlindungan untuk banjir dan kebakaran sekarang ini, tetapi kesedaran dalam kalangan rakyat masih rendah dan ramai juga yang tidak mampu untuk membelinya.

    Beliau menambah, kajian oleh syarikat Zurich Malaysia mendapati kira-kira 74 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans untuk banjir, manakala kira-kira 59 peratus lagi tiadak mempunyai insurans kebakaran.

    Wan Saiful berkata, peratusan itu amat tinggi dan perlu ditangani.

    “Saya dimaklumkan ada skim perlindungan banjir yang berharga kurang RM90 setahun untuk pakej asas.

    “Mungkin kerajaan boleh beri subsidi RM50 secara one off dalam bentuk baucar sebagai galakan atau perluaskan baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan ini,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, Wan Saiful berpandangan, syarikat insurans pula mestilah bersaing di pasaran terbuka untuk memberi harga dan perlindungan yang paling kompetitif untuk rakyat. Jangan pula ini dijadikan peluang untuk mewujudkan monopoli.

    “Subsidi ini tujuannya untuk mencapai dua perkara. Pertama ialah membantu mereka yang tidak mampu. Kedua, sebagai mekanisme mempertingkat kesedaran mengenai kepentingan insurans dan takaful,” katanya.

    Beliau sedar bahawa langkah itu tidak akan dapat membantu semua mereka yang terkesan sekarang.

    “Tetapi, paling tidak pun ia akan dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung jika bencana berlaku lagi di masa hadapan,” jelasnya.

  • Tukang kayu mengaku salah perdaya pelanggan, didenda RM6,000

    Tukang kayu mengaku salah perdaya pelanggan, didenda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Pilah hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang tukang kayu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memperdaya pelanggannya sehingga mengalami kerugian RM3,650 tahun lalu.

    Muhammad Ezuwan Nordin, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti sebelum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.

    Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh telah menipu Ramli Yunus, 32, dengan memperdayakan beliau dalam urusan pemasangan kabinet dapur di rumahnya.

    Dengan itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong beliau untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,650 kepada tertuduh yang mama beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 19 Jun 2020 sehingga 2 Julai 2020 pikil 11.26 pagi sehingga 10.49 malam bertempat di sebuah rumah di Taman Senimas, Kuala Pilah.

    Oleh demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Dr Latiff turun padang senyap-senyap tanpa konvoi, liputan media

    Dr Latiff turun padang senyap-senyap tanpa konvoi, liputan media

    MACAM-MACAM ragam yang ditunjukkan oleh mereka yang turun padang membantu mangsa banjir yang terjejas di sekitar lima negeri.

    Ada yang datang berkonvoi, lengkap dengan liputan media dan ada juga yang tiba-tiba menjadi tular seperti Abang Viva.

    Tidak kurang juga yang datang senyap-senyap secara bersendirian tanpa diiringi pegawai atau penyokong yang berduyun-duyun walaupun bergelar menteri Kabinet.

    Salah seorang daripada mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Semalam, beliau membuat ‘kejutan’ apabila datang secara solo tanpa protokol dan dikerumuni media bagi membantu dan mendengar keluhan penduduk di sekitar Kampung Labohan Dagang di Banting, Selangor.

    Seperti yang dikongsikan oleh aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dalam laman Facebook miliknya hari ini, Abd Latif yang tiba pada waktu pagi turut menyumbang tenaga membersihkan rumah penduduk sambil mendengar sendiri dari mulut mangsa banjir tentang apa yang mereka perlukan.

    “Menurut staff pejabatnya rupanya Dr Latiff ni memang suka turun jumpa orang dengar sendiri tanpa protokol dan media ramai ramai.

    “Dia datang nak bantu sama sumbang tenaga sambil dengar sendiri dari mulut mangsa banjir mengenai keperluan dan sebagainya. Bukan tuan rumah dan jiran jirannya sahaja terkejut … kami sendiri terkejut….

    “Dekat dua jam setengah juga Dr Latiff sama operasikan pembersihan dan ketika kami berhenti makan tengahari sebelum balik Dr Latiff sempat bersama seorang staffnya, dia bertandang ke rumah rumah untuk mendengar sendiri perbagai perkara ada beberapa kediaman yang teruk dan sangat memerlukan mendapat sumbangan peribadi Dr Latiff,” jelasnya dalam hantaran tersebut.

    Gambar: Facebook Che’gu Bard

    Malah, Dr Abd Latiff turut mengusahakan supaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghantar sebuah lori besar pada waktu petang bagi mengangkut keluar barangan milik penduduk yang rosak akibat banjir.

    Berhubung kerja-kerja kesukarelaan yang memasuki hari ketujuh semalam, Che’gu Bard menambah, pasukannya menumpukan di kawasan sekitar Jalan Haji Amin, Kampung Labohan Dagang.

    “Banjir telah surut di kawasan rumah namun kena harung air untuk sampai ke kawasan rumah. Tak banyak rumah mampu dibersihkan kerana team kami bersih habis termasuk pinggan dan lain lain.

    “Sebab tumpuan kami bantu rumah milik orang kurang upaya (OKU), orang sakit kritikal dan warga emas yang tak mampu bersih rumah sendiri,” katanya.

    Sebelum itu, pasukan berkenaan telah menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjir di lokasi-lokasi lain yang terjejas.

  • Lelaki maut tercampak sebelum dihempap kenderaan sendiri

    Lelaki maut tercampak sebelum dihempap kenderaan sendiri

    SEORANG Lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit Felcra, Nabawan, Keningau, pukul 7.30 pagi tadi.

    Mangsa, Putera Azzalie Sulayul, 25, yang memandu Proton Wira Aeroback, dilaporkan tercampak keluar sebelum dihempap kenderaannya sendiri.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.39 pagi.

    “Susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati mangsa tersepit di bahagian luar kenderaannya dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

    “Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

    Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 pagi.

  • Polis utamakan konvoi PM berbanding ambulans elak kemalangan

    Polis utamakan konvoi PM berbanding ambulans elak kemalangan

    KONVOI Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi keutamaan oleh polis di laluan utama di Hulu Langat, semalam berbanding ambulans di persimpangan jalan bagi mencegah risiko kemalangan.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, tindakan itu diambil mengikut Kaedah Lalu Lintas No 9 LN 166/959 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan yang membawa pesakit.

    Walau bagaimanapun, jelansnya, petugas berkenaan membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kenderaan terbabit dalam tempoh singkat berikutan pendahulu konvoi sudah hampir persimpangan itu.

    “Kita terkesan dengan satu video tersebar di media sosial memaparkan kenderaan pacuan empat roda dan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi diiringi polis trafik.

    “Kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi semalam, ketika rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan bagi melihat kerja pembersihan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding ke Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 diiringi polis trafik.

    “Menerusi video itu, jika anggota trafik di persimpangan jalan memberi keutamaan kepada dua kenderaan berkenaan yang hendak keluar ke jalan utama, ia tindakan yang akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azman menambah, sejurus konvoi melepasi persimpangan itu dalam masa singkat, anggota trafik segera memberi keutamaan kepada dua kenderaan berkenaan setelah mendapati tidak risiko kemalangan.

    “Polis sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulans serta bomba,” katanya.