KERAJAAN disarankan agar memperkenalkan subsidi bersasar skim insurans bencana banjir untuk golongan B40 dan M40 sebagai langkah mitigasi jangka panjang.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu adalah tambahan daripada bantuan serta-merta daripada kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut mengesyorkan agar ditambah perlindungan untuk kebakaran.

“Atau, kerajaan boleh juga memperluaskan program Baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan dan kumpulan sasaran ini.

“Perlindungan insurans penting kerana ia akan memberikan perlindungan kewangan kepada rakyat apabila bencana luar jangka seperti banjir dan kebakaran berlaku,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Wan Saiful berkata, beliau maklum bahawa memang ada syarikat insurans dan takaful yang menawarkan perlindungan untuk banjir dan kebakaran sekarang ini, tetapi kesedaran dalam kalangan rakyat masih rendah dan ramai juga yang tidak mampu untuk membelinya.

Beliau menambah, kajian oleh syarikat Zurich Malaysia mendapati kira-kira 74 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans untuk banjir, manakala kira-kira 59 peratus lagi tiadak mempunyai insurans kebakaran.

Wan Saiful berkata, peratusan itu amat tinggi dan perlu ditangani.

“Saya dimaklumkan ada skim perlindungan banjir yang berharga kurang RM90 setahun untuk pakej asas.

“Mungkin kerajaan boleh beri subsidi RM50 secara one off dalam bentuk baucar sebagai galakan atau perluaskan baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Wan Saiful berpandangan, syarikat insurans pula mestilah bersaing di pasaran terbuka untuk memberi harga dan perlindungan yang paling kompetitif untuk rakyat. Jangan pula ini dijadikan peluang untuk mewujudkan monopoli.

“Subsidi ini tujuannya untuk mencapai dua perkara. Pertama ialah membantu mereka yang tidak mampu. Kedua, sebagai mekanisme mempertingkat kesedaran mengenai kepentingan insurans dan takaful,” katanya.

Beliau sedar bahawa langkah itu tidak akan dapat membantu semua mereka yang terkesan sekarang.

“Tetapi, paling tidak pun ia akan dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung jika bencana berlaku lagi di masa hadapan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here