PENUNGGANG motosikal dan basikal yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang bakal mendapat diskaun tambang sebanyak 50 peratus selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

Tawaran oleh operator perkhidmatan itu iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bakal menyaksikan penunggang motosikal akan membayar tambang RM1 berbanding RM2 sebelum ini manakala tambang bagi penunggang basikal hanya 60 sen daripada RM1.20.

Menerusi tawaran itu, pengguna kenderaan dua roda berkenaan akan melalui kaunter tiket perkhidmatan feri seperti biasa dan diskaun akan diberikan secara automatik.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng hari ini yang turut memaklumkan inisiatif tersebut membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM58,333 sebulan atau RM350,000 bagi tempoh enam bulan terhadap syarikat terbabit.

Jelas beliau, pihaknya mengambil insiatif menawarkan diskaun itu bertujuan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selain selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Penunggang motosikal dan basikal yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang bakal mendapat diskaun tambang sebanyak 50 peratus selama enam bulan bermula 1 Januari ini

Menurutnya, perkhidmatan feri di Pulau Pinang merupakan mod pengangkutan penting yang mana 600,000 pengguna motosikal dan basikal menggunakan perkhidmatan feri itu sebelum wabak Covid-19 melanda.

“Bagaimanapun sepanjang tahun ini, hanya separuh atau kira-kira 300,000 penumpang motosikal dan basikal menggunakan perkhidmatan feri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Teik Cheng SPPP berharap tawaran separuh harga tambang feri tersebut khususnya pada saat kritikal ketika ini akan dapat membantu mengurangkan beban kos perjalanan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, SPPP menerima peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai pembelian lima buah feri baharu untuk ditawarkan sebagai mod pengangkutan kepada rakyat.

“Bagi feri-feri ikonik Pulau Pinang pula, feri lama itu telah dipajak oleh tiga buah syarikat untuk dijadikan produk pelancongan di negeri ini antaranya muzium dan restoran terapung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here