Category: Semasa

  • Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    SEORANG lelaki ditemukan rentung di dalam kereta dipandunya yang terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong, dekat Seremban, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai memandu sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah ketika nahas berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi,

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan raya itu.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, kereta mangsa mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan sehingga menyebabkan dia tersepit dan gagal keluar daripada kereta sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nanda berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – BERNAMA

  • Wanita maut leher dikelar dalam pergaduhan

    Wanita maut leher dikelar dalam pergaduhan

    SEORANG wanita berusia 29 tahun maut akibat leher dikelar dalam insiden pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi.

    Memetik laporan BH, dia yang juga pemilik kedai menjual peralatan rumah dan pejabat ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam kedainya.

    Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan tentang pergaduhan tersebut.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.

    “Mangsa dipercayai pemilik kedai, di mana berlakunya kejadian pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

    Anbalagan berkata, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.

    Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.

    Anbalagan berkata, ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Suku tahun kedua waktu realistik buka sempadan – Khairy

    Suku tahun kedua waktu realistik buka sempadan – Khairy

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEMENTERIAN  Kesihatan kini sedang menyiapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan untuk dibentangkan dalam tempoh dua minggu.

    Sehubungan itu, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, suku kedua tahun ini mungkin waktu yang sesuai untuk membuka sempadan negara yang kini masih belum dibuka sepenuhnya.

    Beliau juga menjelaskan, membuka sempadan adalah proses yang besar oleh itu prosesnya akan melalui beberapa peringkat.

    “Perdana Menteri telah arahkan saya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan, beliau bagi masa dua minggu kepada saya dan Kementerian Kesihatan untuk menyediakan garis panduan tersebut.

    “Ini tidak bermakna sempadan akan dibuka dalam tempoh dua minggu ini. Tetapi saya menjangkakan dua minggu kita siap (garis panduan) mungkin suku tahun kedua adalah garis masa yang realistik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat  sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan (Peka) B40 di Batu, hari ini.

    Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Kesihatan mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.

    Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada mahu membuka terus pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.

    Khairy berkata, setelah garis panduan itu siap, beliau akan membentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

    “Perincian akan saya bentangkan kepada Jawatankuasa Kuartet Menteri di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan akhirnya dibawa kepada Jemaah Menteri sebab ini keputusan besar yang tak boleh dibuat Kementerian Kesihatan sahaja kerana ia libat polisi besar negara,” katanya.

  • Polis tahan tujuh lelaki tempatan culik warga Bangladesh

    Polis tahan tujuh lelaki tempatan culik warga Bangladesh

    POLIS Klang Selatan menahan tujuh lelaki tempatan di sekitar Shah Alam dan Klang awal pagi semalam disyaki terlibat dengan kes penculikan seorang pekerja binaan warga Bangladesh.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas, antara pukul 1.30 hingga 4 pagi selepas adik mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 1 pagi pada hari yang sama.

    Katanya menurut laporan, adik mangsa berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.57 malam, pada Khamis lepas.

    “Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan abangnya itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dilepaskan atau jika enggan memberikan wang mereka akan pergi ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata hampir sejam kemudian kumpulan suspek itu telah datang dengan membawa mangsa dan telah memukul adiknya dan tiga rakannya di rumah tersebut, sebelum suspek beredar dengan membawa sekali mangsa.

    Katanya mangsa berjaya ditemui di tepi jalan di Shah Alam kira-kira pukul 1.31 pagi hari sama selepas ditinggalkan suspek. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

    Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 365.

    Sementara itu, Polis Shah Alam sedang menyiasat kes berkenaan video tular memaparkan sebuah kereta yang memandu di lorong motosikal pada Rabu lepas di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah arah Klang ke Kuala Lumpur.

    Ketua Timbalan Polis Daerah Shah Alam Ramsay Anak Embol dalam kenyataan berkata hasil siasatan awal mendapati seorang wanita berumur 69 tahun yang memandu dari rumahnya di Banting telah tersesat jalan, untuk pergi ke rumah anak saudaranya di Pandamaran.

    “Pemandu itu telah panik dan hendak membuat pusingan U namun tersalah masuk ke laluan motosikal. Warga emas itu kemudian berhenti dan mengundurkan kenderaan untuk keluar semula ke laluan betul di Lebuh Raya Kesas,” katanya.

    Beliau berkata kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan dan kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    — BERNAMA

  • DAP umum penyandang pertahan kerusi Bentayan, Pekan Nenas

    DAP umum penyandang pertahan kerusi Bentayan, Pekan Nenas

    DAP hari ini mengumumkan dua lagi calon dari parti itu yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan dan Pekan Nenas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Menurut Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, kedua-dua calon itu dipersetujui sebulat suara oleh pimpinan parti pusat dan negeri.

    “Hari ini saya ingin umumkan dua calon untuk DUN Bentayan dan Pekan Nenas. Seperti saya umumkan tadi semua pemimpin dan ahli telah buat keputusan untuk bersama dengan parti, menjayakan usaha kita menangkan calon yang telah dipilih parti.

     “Saya percaya dengan niat bersama ini, dengan semangat perpaduan parti akan memberikan peluang lebih besar untuk kita mengekalkan misi bertanding dan capai kemenangan. Saya ingin umumkan calon Bentayan ialah saudara Ng Yak Howe dan calon Pekan Nenas ialah saudara Yeo Tun Siong,” katanya pada sidang media, lapor Astro Awani.

    Pengumuman itu menjawab teka-teki dua daripada lima kerusi yang belum diumumkan parti tersebut.

    Tambah Guan Eng, pengumuman baki tiga lagi kerusi itu akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Kalau nak umumkan mengenai pencalonan Liew Chin Tong, bukan hari ini, kita akan tetapkan hari yang sesuai.

    “Hari ini (ialah) tentang kita semua terus mendalami wawasan parti memenangkan parti dan menyokong calon yang ditetapkan parti. Itulah semangat semua ahli dan pemimpin di peringkat negeri,” jelasnya.

    Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dikhabarkan akan membuat kemunculan bagi kerusi DUN Perling dalam PRN kali ini.

    Bagaimanapun, persoalan itu hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat parti itu.

    Dalam sidang media sama, Guan Eng turut menyatakan penghargaan kepada Tan Hong Ping (Skudai) dan Cheo Yew How (Perling) atas semangat yang diberikan kepada parti.

    Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya, sama ada dua pemimpin itu akan dipilih bagi tiga lagi kerusi yang belum diumumkan, atau sebaliknya.

    “Saya juga ingin ucapkan penghargaan kepada saudara Tan Hong Ping dan Cheo Yew How atas semangat diberikan kepada parti dan juga percaya mereka sama-sama (akan) menjayakan semua calon dipilih parti dalam PRN Johor.

    “Marilah kita bersama menjayakan calon DAP, Pakatan Harapan supaya kita boleh buat satu perubahan bermakna bukan sahaja untuk anak muda kita, tapi untuk masa depan Johor dan Malaysia,” jelas Guan Eng lagi.

    Sebelum ini DAP telah diperuntukkan oleh Pakatan Harapan 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi telah bersetuju untuk menyerahkan dua kerusi iaitu Machap dan Bukit Permai kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

  • Polis tahan 7 wanita asing, disyaki pelacur

    Polis tahan 7 wanita asing, disyaki pelacur

    POLIS menahan sembilan individu, termasuk tujuh wanita warga asing disyaki terbabit kegiatan pelacuran, di sebuah premis di Taman Miharja, Cheras, Kuala Lumpur.

    Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur pada jam 8 malam semalam, dan mereka yang ditahan termasuklah dua lelaki disyaki penjaga premis.

    Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya juga merampas sebuah telefon bimbit, 19 kondom, empat tuala, satu jadual kerja dan wang tunai RM90 bagi membantu siasatan.

    “Kita memeriksa dua lelaki, selain menahan sembilan individu termasuk penjaga premis.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan 373 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu dalam kes berasingan, Habibi berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM57,000 terhadap pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu, di ibu negara, semalam.

    Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, beliau berkata, D7 JSJ Kuala Lumpur mengenakan kompaun RM1,000 seorang terhadap 56 pengunjung dan seorang pemilik premis terbabit.

    “Polis juga merampas resit perniagaan, peralatan muzik dan botol minuman keras bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP), Seksyen 76 Akta Eksais serta Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya.

  • Peniaga hampa, kereta idaman tak dapat, RM25,000 lesap

    Peniaga hampa, kereta idaman tak dapat, RM25,000 lesap

    SEORANG peniaga kedai sukan kerugian lebih RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan jualan kereta terpakai tidak wujud menerusi Facebook pada Januari lalu.

    Sinar Harian melaporkan, lelaki berusia 62 tahun itu tertarik untuk membeli kereta mewah terpakai jenis Lexus yang ditawarkan pada harga 42,000 dengan pinjaman penuh.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berurusan dengan penjual bernama Lucas Khoo (suspek) melalui aplikasi Whatsapp dan bersetuju untuk membeli kereta tersebut.

    Menurutnya, suspek yang mendakwa berada di Singapura telah menghantar dokumen perjanjian melalui Whatsapp dan meminta mangsa mengemukakan maklumat peribadi bersama bayaran RM2,800 untuk proses membawa kereta itu dari Jepun.

    “Mangsa membuat bayaran seperti diminta melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat.

    “Selepas bayaran itu dibuat, mangsa dimaklumkan kereta itu akan dibawa masuk melalui Langkawi dan diminta menunggu perkembangan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, pada 21 Januari lalu, mangsa dihubungi suspek dan dimaklumkan bahawa keretanya akan tiba lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.

    “Mangsa diminta membuat bayaran RM7,407 untuk insurans dan cukai jalan.

    “Teruja untuk memiliki kereta idaman, mangsa membuat bayaran itu melalui dua transaksi pindahan wang ke akaun yang diberikan sebelum menerima nota perlindungan kereta itu dari suspek,” katanya.

    Mohd. Wazir berkata, pada 8 Februari lalu, mangsa mendapat perkembangan bahawa keretanya telah tiba ke negara ini namun dia perlu membuat bayaran RM15,000 untuk urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Mangsa segera membuat bayaran setelah diberitahu kereta tersebut sudah berada di Pejabat JPJ Wangsa Maju dan sedia untuk diambil.

    “Mangsa ke Pejabat JPJ Wangsa Maju pada 11 Februari lalu namun kereta tersebut tiada di lokasi itu.

    “Suspek kemudian memghubungi mangsa memaklumkan kereta itu telah ditahan pihak kastam dan dia perlu menjelaskan bayaran proses lebih RM55,000 untuk menuntut kenderaan tersebut,” katanya.

    Menurutnya, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Jumaat.

    Mohd. Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki Myanmar pukul pemilik bengkel, pecahkan cermin 3 kereta

    Lelaki Myanmar pukul pemilik bengkel, pecahkan cermin 3 kereta

    SEORANG lelaki warga Myanmar ditahan kerana memukul seorang pemilik bengkel kereta di Taman Perindustrian Hata, Pandan Mewah, semalam.

    Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.20 petang ketika mangsa berada di bengkel kereta miliknya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 31 tahun itu bertindak memukul mangsa dengan menggunakan besi di bahagian kepala dan tangan.

    “Suspek dipercayai pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) turut memecahkan tiga cermin kereta milik pelanggan yang berada di bengkel tersebut.

    “Siasatan juga mendapati suspek telah beberapa kali datang ke bengkel untuk bekerja tetapi mangsa tidak mengambilnya bekerja,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, selepas menerima maklumat polis menahan suspek di bengkel tersebut dan merampas besi yang digunakan dalam kejadian itu.

    “Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pemimpin PKR terus bidas tindakan Syed Saddiq

    Pemimpin PKR terus bidas tindakan Syed Saddiq

    TINDAKAN Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamatkan rundingan dengan PKR berhubung pembahagian kerusi terus menerima kritikan daripada pemimpin PKR.

    Hari ini, Pemuda PKR Johor melalui satu kenyataan  mempertikai tindakan MUDA yang memilih bertanding dalam kawasan bandar dan menolak tawaran PKR yang dilihat seolah-olah takut meletakkan calonnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Ketuanya R Yuneswaran berkata, PKR Johor sebelum ini membuka ruang luas kepada MUDA dalam membuat rundingan dua hala pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun gagal mencapai kata sepakat.

    “Dalam perbincangan yang diadakan bersama MUDA, parti telah menawarkan tiga kerusi kepada mereka namun mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya minta tiga kerusi yang lain.

    “Adakah MUDA hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa MUDA tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78%? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?” katanya dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    Kenyatan itu dibuat susulan kenyataan Syed Saddiq yang mengumumkan rundingan pengagihan kerusi dengan PKR tamat tanpa persetujuan susulan langkah parti itu mengumumkan 20 calonnya secara bersendirian.

    Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu..

    Yuneswaran berkata, sekiranya parti MUDA mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, maka parti itu harus membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar masyarakat khususnya di luar bandar.

  • Isu pengangguran perlu ditangani dengan lebih berstruktur-KSM

    Isu pengangguran perlu ditangani dengan lebih berstruktur-KSM

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) mahu isu pengangguran dalam kalangan rakyat ditangani dengan lebih berstruktur, berkesan dan menyeluruh.

    Sehubungan itu, KSM telah mengarahkan PERKESO sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara untuk mengadakan lebih banyak program termasuk Insentif Penggajian JaminKerja di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).

    Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, seramai 300,000 individu disasarkan mendapat pekerjaan menerusi insentif Penggajian Jamin Kerja.

    “Pada tahun ini, seramai 300,000 individu dijangka mendapat pekerjaan menerusi insentif penggajian JaminKerja, dengan fokus utama diberikan kepada golongan sasar melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.

    “Antara golongan sasar yang dimaksudkan termasuklah pekerja kehilangan pekerjaan, individu menganggur, golongan mudah terjejas termasuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, veteran askar, Orang Asli, graduan menganggur serta wanita.

    “Tumpuan turut diberikan kepada individu yang memasuki sektor kritikal seperti pelancongan bagi menyokong pemulihan dalam industri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, Kuala Lumpur, hari ini.

    Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran dengan peruntukan RM4.8 bilion.