TINDAKAN Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamatkan rundingan dengan PKR berhubung pembahagian kerusi terus menerima kritikan daripada pemimpin PKR.

Hari ini, Pemuda PKR Johor melalui satu kenyataan  mempertikai tindakan MUDA yang memilih bertanding dalam kawasan bandar dan menolak tawaran PKR yang dilihat seolah-olah takut meletakkan calonnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Ketuanya R Yuneswaran berkata, PKR Johor sebelum ini membuka ruang luas kepada MUDA dalam membuat rundingan dua hala pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun gagal mencapai kata sepakat.

“Dalam perbincangan yang diadakan bersama MUDA, parti telah menawarkan tiga kerusi kepada mereka namun mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya minta tiga kerusi yang lain.

“Adakah MUDA hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa MUDA tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78%? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?” katanya dalam satu kenyataan, lapor FMT.

Kenyatan itu dibuat susulan kenyataan Syed Saddiq yang mengumumkan rundingan pengagihan kerusi dengan PKR tamat tanpa persetujuan susulan langkah parti itu mengumumkan 20 calonnya secara bersendirian.

Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu..

Yuneswaran berkata, sekiranya parti MUDA mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, maka parti itu harus membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar masyarakat khususnya di luar bandar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here