SEORANG wanita berusia 29 tahun maut akibat leher dikelar dalam insiden pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi.

Memetik laporan BH, dia yang juga pemilik kedai menjual peralatan rumah dan pejabat ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam kedainya.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan tentang pergaduhan tersebut.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.

“Mangsa dipercayai pemilik kedai, di mana berlakunya kejadian pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Anbalagan berkata, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.

Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.

Anbalagan berkata, ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here