Category: Semasa

  • Polis tahan tiga lagi suspek kes kecoh di HRPB

    Polis tahan tiga lagi suspek kes kecoh di HRPB

    POLIS menahan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak tengah malam Sabtu lepas, menjadikan seramai empat tangkapan setakat ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar Ipoh antara pukul 7.45 petang hingga 11 malam Ahad lepas.

    “Dua daripada suspek adalah rakan, manakala seorang lagi dan tangkapan sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata hasil ujian awal saringan air kencing ke atas mereka mendapati kesemua keempat-empat positif dadah jenis ganja.

    Katanya kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Ahad lepas, polis dilaporkan sedang mengesan enam lagi lelaki tempatan yang masih bebas selepas menahan seorang suspek berusia 24 tahun di perkarangan tempat letak kereta awam pada pukul 11.50 malam hari kejadian.

    Insiden kekecohan di hospital itu adalah rentetan pergaduhan seorang suspek dengan ahli keluarga teman wanitanya di Jalan Sekolah di Guntong di sini. 

    Beberapa video tular dalam media sosial memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki dengan pengawal keselamatan HRPB.- Bernama

  • 2 suspek langgar lari, curi kereta diburu polis

    2 suspek langgar lari, curi kereta diburu polis

    POLIS memburu dua lelaki yang disyaki melarikan diri selepas melanggar mati seorang penunggang motosikal serta melarikan sebuah kereta di Lebuh Raya Pantai Timur 2, (LPT2), Cheneh, Kemaman semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 1.10 tengah hari itu, dua suspek lelaki membabitkan pemandu dan penumpang sebuah Perodua Myvi didakwa melarikan diri selepas kereta itu merempuh belakang motosikal ditunggang Zolkafli Ahmad, 57, di Kilometer (KM) 269 LPT2, lapor Berita Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, kemalangan berlaku ketika mangsa yang juga pesara syarikat gas dan petroleum, dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumahnya di Kerteh.

    Menurut beliau, sebuah kereta dinaiki dua lelaki didakwa melanggar bahagian belakang motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    Susulan itu katanya, kedua-dua suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an, bertindak melarikan diri ke arah Kuala Terengganu.

    Hanyan ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman malam tadi memberitahu, seorang pengguna lebuh raya kemudian berhenti untuk memberi pertolongan kepada mangsa sebelum bertindak mencari kereta suspek yang berjaya ditemui dua kilometer dari tempat kejadian.

    Menurut beliau, suspek dipercayai terpaksa memberhentikan kenderaan dinaiki di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan.

    Beliau berkata, pemuda tersebut dikatakan menemui kedua-dua suspek dan bertanya kenapa mereka tidak berhenti selepas melanggar mangsa.

    Namun ujarnya, kedua-dua suspek didakwa bertindak masuk ke dalam kereta pemuda itu sebelum memecut kenderaan berkenaan dan melarikan diri.

    “Susulan itu, pemuda terbabit membuat laporan di IPD Kemaman, pada pukul 3 petang semalam,” katanya.

    Menurut Hanyan, polis sedang giat memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

    Tambah beliau, mayat mangsa pula dibawa ke Bilik Forensik, Hospital Kemaman, untuk tindakan lanjut.

  • Polis tahan 15 termasuk dua tokan dadah

    Polis tahan 15 termasuk dua tokan dadah

    POLIS menahan 15 penagih tegar, termasuk dua tokan ditahan dalam Op Sarang Khas/Op Cegah Jenayah di sebuah kebun kelapa sawit di Beruas di Lumut, semalam.

    Operasi selama lapan jam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan anggota Balai Polis Beruas.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua lelaki berusia 21 hingga 61 tahun itu ditahan bersama 337 gram dadah jenis heroin dan syabu serta dua biji pil eramin 5 bernilai RM13,168.

    Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan itu sudah aktif sejak tiga minggu lalu.

    “Port’ menghisap dadah berkenaan dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang dengan seorang penagih akan membuat tinjauan terlebih dahulu.

    “Sekiranya ‘line clear’, penagih tersebut akan menghubungi pengedar untuk masuk ke dalam. Kegiatan ini sering bertukar lokasi bagi mengaburi polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nor Omar berkata, peralatan menghisap turut dirampas dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin.

    “Dua tokan berusia 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) manakala 12 yang lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

    “Polis turut mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara Fasa 4) iaitu aktiviti kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial semasa menghisap dadah,” katanya.

  • Pelanggan tikam mati tauke kedai motosikal sebab tak puas hati

    Pelanggan tikam mati tauke kedai motosikal sebab tak puas hati

    SEORANG pemilik kedai motosikal maut dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki di premis itu yang terletak di Titi Serong, Tanjung Piandang petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, suspek berusia 52 tahun itu kemudian menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima selepas kejadian pada kira-kira pukul 2.45 petang.

    Katanya, suspek membuat pengakuan bahawa dia telah menikam mangsa yang dikenali sebagai Tan Hee Song, 43, di kedai berkenaan.

    “Soal siasat awal mendapati punca kejadian berlaku kerana tangkapan tidak berpuas hati ke atas mangsa dan menuduh mangsa telah menukar beberapa komponen motosikal miliknya pada tiga minggu lepas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

  • Hishammuddin Hussein disahkan positif COVID-19

    Hishammuddin Hussein disahkan positif COVID-19

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disahkan positif COVID-19.

    Pejabat Menteri Kanan Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Hishammuddin yang telah menerima dos penggalak kini sedang menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan COVID-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri (self-test) melalui kaedah RTK Antigen. Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada Jumaat, 18 Feb lepas,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Menteri Kanan Pertahanan itu akan terus memantau dan menjalankan tugas yang sesuai sepanjang tempoh beliau dikuarantin.

    “Marilah kita sama-sama mendoakan semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak COVID-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT (dan) seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sedia kala. Insya-Allah,” kata kenyataan itu.

    Sementara itu, Hishammuddin menerusi ciapan di Twitter memaklumkan keadaannya ketika ini adalah baik.

    “Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik buat masa ini. Semoga setiap individu yang dijangkiti wabak ini segera diberikan kesembuhan Allah SWT. Stay safe everyone,” katanya. – BERNAMA

  • Mekanik maut dihempap gerabak lori 10 tan

    Mekanik maut dihempap gerabak lori 10 tan

    SEORANG mekanik maut dihempap gerabak lori ketika membaiki kenderaan itu di kawasan lapang Jalan Bundusan, Penampang, pukul 10 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, mangsa, Suhilin Amat@Ahmad, 58, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Pihak polis laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.21 petang.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa tersepit di bawah gerabak lori yang disyaki rosak,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), Kota Kinabalu untuk tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.23 pagi.

    “Difahamkan mangsa ketika kejadian sedang membaiki enjin lori jenis ‘hydraulic’ 10 tan namun dihempap kenderaan itu dan operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.20 pagi,” katanya.

  • Isu tiga beradik peluk Islam dilakukan secara sah

    Isu tiga beradik peluk Islam dilakukan secara sah

    PENGISLAMAN tiga kanak-kanak di Perlis tidak seharusnya dijadikan isu perkauman kerana dilakukan mengikut prosedur undang-undang.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary meminta semua pihak agar tidak sesekali cuba memainkan api perkauman berhubung isu tersebut.

    Jelasnya, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam selaras Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.

    “Mengikut peruntukan undang-undang negeri berhubung dengan pemelukan agama anak, wujud perbezaan syarat, di mana ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.

    “Dalam hal ini, kita menghormati syarat yang diputuskan oleh negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri dan syarat diputuskan juga berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini mengesahkan tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun sah telah memeluk Islam.

    Bagaimanapun, ibu kanak-kanak tersebut, Loh Siew Hong dilaporkan telah membuat laporan polis bagi meminta memulangkan anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

    Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan suaminya, Nagahswaran yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya.

    Media sebelum ini turut melaporkan, Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy meminta polis untuk menyiasat keberadaan tiga kanak-kanak itu.

    Ramasamy menyifatkan kes itu seolah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya meniup api perselisihan sehingga boleh mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini

    “Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba memainkan api perkauman apabila undang-undang negeri yang membenarkan pemelukan agama anak-anak itu adalah sah dan terpakai.

    “Semua pihak perlu menghormati undang-undang tersebut kerana ia digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu badan yang kompeten dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah bidang kuasanya,” ujarnya.

  • Pindaan Akta A1644 berkuatkuasa esok-Hamzah

    Pindaan Akta A1644 berkuatkuasa esok-Hamzah

    PENGUATKUASAAN Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 [Akta A1644] bermula esok diharap mampu menjadi penyelesaian terbaik menzahirkan usaha Malaysia menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih berkesan.

    Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yakin, pendekatan menyeluruh Kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat melalui undang-undang pindaan itu boleh menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa.

    “Ini sekaligus meningkatkan imej Malaysia di mata masyarakat dunia. Akta A1644 itu mendapat perkenan Diraja pada 19 Januari lalu dan dimasukkan dalam Warta pada 25 Januari.

    “Kementerian Dalam Negeri menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa Akta A1644 pada 22 Februari iaitu esok.

    “Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan membabitkan pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan (coercion); peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan; peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk membabitkan penjawat awam.

    “Pewujudan kuasa Menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa bawah Akta 670; penambahan keanggotaan organisasi lain dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO); dan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam pengurusan dan kawalan pegawai pelindung serta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ni.

    Akta 670 adalah akta asal sebelum ia dipinda.

    Katanya, Akta 670 itu sendiri adalah instrumen perundangan utama negara dalam mendepani isu perhambaan zaman moden sekaligus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

    Beliau berkata, pindaan terhadap akta berkenaan dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan menangani kedua-dua jenayah berkenaan serta memperkasakan peruntukan berkaitan.

    “Seluruh lapisan masyarakat adalah digalakkan untuk bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membanteras jenayah ini dengan melaporkan sebarang maklumat melalui Chatbot menerusi Facebook Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, e-mel [email protected] dan talian 03-8000 8000,” katanya.

  • Sektor persendirian disaran bantu aplikasi eDesa

    Sektor persendirian disaran bantu aplikasi eDesa

    APLIKASI eDesa merupakan platform dalam talian yang dibangunkan bagi mengetengahkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

    Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan agensi atau sektor persendirian yang mempunyai produk e-dagang agar tampil memberikan kerjasama dengan pihaknya bagi membantu menjayakan aplikasi berkenaan.

    “Aplikasi eDesa menawarkan ‘Produk Orang Kita’ yang menjadi tagline bagi menggambarkan aplikasi itu milik syarikat Malaysia. dan tumpuan platform ini adalah untuk meningkatkan hasil serta pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi eDesa di sini, hari ini.

    Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara eDesa, Desa Mall@KPLB dan syarikat penghantaran Delyva yang berkolaborasi dengan 20 syarikat penghantaran lain.

    Sementara itu Pengarah Urusan eDesa, Saiful Zaharin Zakariya berkata pihaknya menyasarkan penglibatan 20,000 peniaga dalam talian yang akan memasarkan produk masing-masing menerusi aplikasi berkenaan menjelang akhir tahun ini.

    “Setakat ini 500 peniaga telah mendaftar dan kami akan cuba menarik sekurang-kurangnya 1,000 peniaga menjelang Ramadan ini menerusi promosi di media sosial serta pengiklanan secara fizikal di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

  • Ismahalil didakwa edar dadah

    Ismahalil didakwa edar dadah

    PENYAMPAI radio, Ismahalil Hamzah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis tahun lalu.

    Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 374.6 gram.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

    Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

    Mahkamah menetapkan 24 Mac depan untuk tarikh pengurusan kes.