POLIS memburu dua lelaki yang disyaki melarikan diri selepas melanggar mati seorang penunggang motosikal serta melarikan sebuah kereta di Lebuh Raya Pantai Timur 2, (LPT2), Cheneh, Kemaman semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.10 tengah hari itu, dua suspek lelaki membabitkan pemandu dan penumpang sebuah Perodua Myvi didakwa melarikan diri selepas kereta itu merempuh belakang motosikal ditunggang Zolkafli Ahmad, 57, di Kilometer (KM) 269 LPT2, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, kemalangan berlaku ketika mangsa yang juga pesara syarikat gas dan petroleum, dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumahnya di Kerteh.

Menurut beliau, sebuah kereta dinaiki dua lelaki didakwa melanggar bahagian belakang motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Susulan itu katanya, kedua-dua suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an, bertindak melarikan diri ke arah Kuala Terengganu.

Hanyan ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman malam tadi memberitahu, seorang pengguna lebuh raya kemudian berhenti untuk memberi pertolongan kepada mangsa sebelum bertindak mencari kereta suspek yang berjaya ditemui dua kilometer dari tempat kejadian.

Menurut beliau, suspek dipercayai terpaksa memberhentikan kenderaan dinaiki di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan.

Beliau berkata, pemuda tersebut dikatakan menemui kedua-dua suspek dan bertanya kenapa mereka tidak berhenti selepas melanggar mangsa.

Namun ujarnya, kedua-dua suspek didakwa bertindak masuk ke dalam kereta pemuda itu sebelum memecut kenderaan berkenaan dan melarikan diri.

“Susulan itu, pemuda terbabit membuat laporan di IPD Kemaman, pada pukul 3 petang semalam,” katanya.

Menurut Hanyan, polis sedang giat memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Tambah beliau, mayat mangsa pula dibawa ke Bilik Forensik, Hospital Kemaman, untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here