Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN
MIC Kulai menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu diberikan kepada mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Ahli Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan, S. Suppayah berkata, MIC Bahagian Kulai sudah memutuskan perkara itu selepas melakukan mesyuarat dua hari lalu dan antara faktornya kerana terdapat 17,000 pengundi India di Parlimen Kulai.
Ketua MIC Bahagian Kulai itu berkata, pihaknya sedar cabaran yang bakal dilalui dalam merebut kerusi tersebut tetapi sedia menggalas tanggungjawab yang akan diberikan.
“MIC Kulai menyasar 80 peratus pengundi memilih Barisan Nasional (BN). Sasaran ini berasas kerana 56 peratus jumlah undi masyarakat India diperolehi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) walaupun berlakunya tsunami politik dengan fitnah-fitnah yang dilontar kepada BN.
“Pengundi India di DUN Bukit Permai dan DUN Senai adalah seramai 5,216 (13.26 peratus) dan 7,996 (12.64 peratus) masing-masing.
“Dengan peratus pengundi India seramai 3,790 pengundi (8.25 peratus), MIC yakin akan memenangi kerusi DUN Bukit Batu dengan kerjasama parti komponen BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada PRU-14, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang di DUN Bukit Batu dengan majoriti 10,057 undi menewaskam Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) yang ketika itu bertanding atas tiket BN.
Selain kerusi DUN Bukit Batu, terdapat DUN Bukit Permai dan DUN Senai dalam Parlimen Kulai yang semuanya dimenangi PKR pad PRU14 masing-masing dengan majoriti 2,531 dan 18,902 undi.
Mengulas lanjut, Suppayah berkata, tuntutan MIC di kerusi DUN Bukit Batu itu kerana terdapat kekosongan kerana sebelum ini ditandingi Gerakan pada PRU14 sebelum keluar daripada BN.
Selain itu katanya, kerusi DUN Bukit Permai dan DUN Senai bakal ditandingi UMNO dan MCA, jadi apabila kerusi DUN Bukit Batu diberikan kepada MIC akan menunjukkan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia.
“MIC yakin akan memenangi DUN Bukit Batu dan dengan kerjasama parti Komponen BN. MIC juga mempunyai hubungan baik dengan Ketua BN Kulai, Datuk Zainal Abidin yang amat makkum tentang tahap perkhidmatan MIC di Kulai, khususnya semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama akibat Covid-19.
“Walaupun kerusi DUN Bukit Batu dianggap DUN yang mencabar, MIC Kulai membuat tuntutan ini atas dasar tanggunjawab yang disempurnakan MIC Kulai membantu masyarakat setempat bersama BN Kulai dan Penyelaras DUN tersebut, Datuk Mohd. Jafni Md. Sukor,” katanya.
Selepas kekalahan BN pada PRU14, beliau berkata, MIC Bahagian Kulai tidak berhenti memberi perkhidmatannya kepada masyrakat setempat walaupun menjadi pembangkang.
Keputusan untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Batu katanya, dipersetujui sebulat suara Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC bahagian itu yang sedia menghadapi cabaran dengan bantuan jentera BN Bahagian Kulai.
“Justeru kami berharap dan menyeru agar BN negeri dan Pusat memberi peluang kepada MIC untuk bertanding di DUN Bukit Batu pada PRN Johor,” katanya.