PENGUATKUASAAN Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 [Akta A1644] bermula esok diharap mampu menjadi penyelesaian terbaik menzahirkan usaha Malaysia menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih berkesan.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yakin, pendekatan menyeluruh Kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat melalui undang-undang pindaan itu boleh menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa.

“Ini sekaligus meningkatkan imej Malaysia di mata masyarakat dunia. Akta A1644 itu mendapat perkenan Diraja pada 19 Januari lalu dan dimasukkan dalam Warta pada 25 Januari.

“Kementerian Dalam Negeri menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa Akta A1644 pada 22 Februari iaitu esok.

“Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan membabitkan pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan (coercion); peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan; peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk membabitkan penjawat awam.

“Pewujudan kuasa Menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa bawah Akta 670; penambahan keanggotaan organisasi lain dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO); dan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam pengurusan dan kawalan pegawai pelindung serta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ni.

Akta 670 adalah akta asal sebelum ia dipinda.

Katanya, Akta 670 itu sendiri adalah instrumen perundangan utama negara dalam mendepani isu perhambaan zaman moden sekaligus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

Beliau berkata, pindaan terhadap akta berkenaan dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan menangani kedua-dua jenayah berkenaan serta memperkasakan peruntukan berkaitan.

“Seluruh lapisan masyarakat adalah digalakkan untuk bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membanteras jenayah ini dengan melaporkan sebarang maklumat melalui Chatbot menerusi Facebook Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, e-mel [email protected] dan talian 03-8000 8000,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here