POLIS menahan 15 penagih tegar, termasuk dua tokan ditahan dalam Op Sarang Khas/Op Cegah Jenayah di sebuah kebun kelapa sawit di Beruas di Lumut, semalam.

Operasi selama lapan jam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan anggota Balai Polis Beruas.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua lelaki berusia 21 hingga 61 tahun itu ditahan bersama 337 gram dadah jenis heroin dan syabu serta dua biji pil eramin 5 bernilai RM13,168.

Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan itu sudah aktif sejak tiga minggu lalu.

“Port’ menghisap dadah berkenaan dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang dengan seorang penagih akan membuat tinjauan terlebih dahulu.

“Sekiranya ‘line clear’, penagih tersebut akan menghubungi pengedar untuk masuk ke dalam. Kegiatan ini sering bertukar lokasi bagi mengaburi polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Nor Omar berkata, peralatan menghisap turut dirampas dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin.

“Dua tokan berusia 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) manakala 12 yang lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Polis turut mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara Fasa 4) iaitu aktiviti kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial semasa menghisap dadah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here