Category: Semasa

  • Penunggang motosikal kuasa tinggi bawa motosikal 280 km/j di Jambatan Kedua P. Pinang dikenal pasti

    Penunggang motosikal kuasa tinggi bawa motosikal 280 km/j di Jambatan Kedua P. Pinang dikenal pasti

    POLIS Pulau Pinang telah mengenal pasti individu di dalam video yang tular di media dalam sosial yang memaparkan beberapa buah motosikal berkuasa tinggi ditunggang secara berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya telah mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang merakam aksi berbahaya tersebut.

    Jelas beliau, polis sedang mengesan penunggang-penunggang motosikal berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

    “Kita menerima satu laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

    Dalam pada itu, Kamarul Rizal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hamizah Ahmad Rosli di talian 013-2064 682 bagi membantu siasatan.

    Terdahulu, satu rakaman video berdurasi kira-kira 45 saat yang memaparkan penunggang dua buah motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ pada kelajuan tinggi di jambatan yang turut dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang itu tular di media sosial awal hari ini.

    Dalam rakaman sama turut dipaparkan panel meter motosikal individu yang membuat rakaman yang menunjukkan kenderaan itu dipandu pada kelajuan lebih 280 kilometer sejam (km/j).

    Malah, terdapat dakwaan di media sosial individu yang menaiki motosikal berkuasa tinggi itu merupakan pembantu kepada pendakwah terkenal namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

  • Zuraida terima dua anugerah di Bangladesh

    Zuraida terima dua anugerah di Bangladesh

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin, menerima dua anugerah daripada Universiti Teknologi Maklumat dan Sains (UITS) serta Universiti Asia Pasifik di Bangladesh.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam satu kenyataan memberitahu, penganugerahan daripada UITS adalah sebagai menghargai sumbangan beliau kepada pemerkasaan wanita.

    Anugerah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah UITS dan Pengarah Urusan Keluarga PHP, Mohammed Iqbal Hossain, di sebuah hotel di Dhaka, kelmarin, sempena lawatan rasmi Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Bangladesh.

    Yang turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UITS, Profesor Mohammad Solaiman.

    “Menurut pihak universiti itu, Zuraida adalah contoh teladan kepada wanita berdasarkan rekod prestasinya dalam mendorong agenda wanita.

    “Zuraida juga merupakan presiden pengasas Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL),” menurut kenyataan itu.

    Pada majlis penyampaian anugerah itu, UITS turut menggesa Kerajaan Malaysia agar memudahkan peluang pendidikan tinggi kepada pelajarnya dan turut menonjolkan kemajuan Bangladesh, bukan saja dalam sektor tenaga manusia tetapi juga dalam bidang lain.

    Zuraida akan memajukan permintaan UITS untuk lebih ramai pelajarnya dapat melanjutkan pelajaran di Malaysia bawah biasiswa Kerajaan Malaysia.

    Beliau turut menzahirkan perasaan puas hati terhadap hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara dan optimis hubungan itu dapat dipertingkatkan lagi.

    Sementara itu, Zuraida menerima Anugerah ‘Kesaksamaan Gender (Pemerkasaan Wanita)’ dari Universiti Asia Pasifik yang berpangkalan di Dhaka.

    Beliau menerima anugerah itu selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kesaksamaan Gender Di Tempat Kerja Dan Kesan Terhadap Coivd-19’.

  • KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    “Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

    “Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. – BERNAMA

  • Empat sekeluarga maut dalam kemalangan

    Empat sekeluarga maut dalam kemalangan

    EMPAT beranak maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 10.40 pagi, semua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dilaporkan dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux yang hilang kawalan.

    Dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.52 pagi.

    “Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi anggota melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menurut kenyataan tersebut, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai P Milan Damani,32; C Thinisha, 31 dan dua kanak-kanak lelaki D Ishaan Ivaan,3 serta D Rihaan Ivaan,4.

    Sementara itu pemandu Toyota Hilux mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut

  • Bot nelayan selamatkan 14 pemancing, 4 kru yang dilapor hilang

    Bot nelayan selamatkan 14 pemancing, 4 kru yang dilapor hilang

    SEMUA 14 pemancing dan empat kru yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di Langkawi, hari ini, dilaporkan selamat.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.

    “Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam perjalanan ke posisi bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa. “Kita masih dalam usaha menyelamat,” katanya melalui kenyataan, sebentar tadi.

    Sebelum itu, mereka dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

    Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

  • Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

    Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah peluang keemas an kepada rakyat negeri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka yang dipilih mewakili Perikatan Nasional adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

    ‘’Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    ‘’Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sambil bersyukur berikutan kesemua 56 calon Perikatan Nasional diterima untuk bertanding pada PRN tersebut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, beliau percaya pasukan Perikatan Nasional mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju dan kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.

  • 14 pemancing bersama 4 kru dikhuatiri hilang di Langkawi

    14 pemancing bersama 4 kru dikhuatiri hilang di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 14 pemancing bersama empat kru dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan hampir karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pukul 2 petang tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi hari ini mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot tersebut di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat pulau itu.

    Katanya, KM Tenggol, Blbot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi berkaitan kejadian berkenaan.

    “Maklumat kejadian juga turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

    “Sektor operasi diperluaskan daripada lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Zawawi berkata, penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.

    Katanya, sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot terbabit.

    Sementara itu Warta Rakyat difahamkan,o kejadian tersebut dilaporkan oleh wakil pemilik bot tersebut yang menerima laporan mengenai keadaan berkenaan dari seorang kru dalam bot itu.

    Berikutan itu, KM Tenggol telah diarahkan ke lokasi namun tiada sebarang petunjuk ditemukan di situ.
    Habis

  • Wartawan buat liputan PRN Johor dikompaun langgar SOP

    Wartawan buat liputan PRN Johor dikompaun langgar SOP

    SEORANG petugas media yang membuat liputan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

    Wartawan Sin Chew Daily Johor, Wong Kian Yong, 42, yang bertugas di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikompaun oleh wakil Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan tugas di PPC tersebut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berikutan gagal memastikan penjarakan fizikal.

    Wong berkata, situasi tersebut adalah di luar kawalan dan dia hanya menjalankan tugas seperti biasa.

    “Saya agak kecewa sebab kalau ikutkan bukan saya seorang sahaja di situ, ramai lagi tetapi hanya saya seorang yang kena kompaun.

    “Kalau boleh saya mahu merayu kurangkan lagi jumlah kompaun,” katanya ditemui di PPC itu di Dewan Jabatan Kerja Raya Daerah Johor Bahru di sini hari ini.

    Sementara itu, wartawan Malaysia Gazette, Khairulanuar Yahaya, 47, pula dikenakan amaran terakhir secara lisan oleh wakil KKM tersebut atas dakwaan sama.

    Khairulannuar berkata, beliau diberi amaran kerana melanggar SOP ketika mendapatkan maklumat calon. – BERNAMA

  • Jho Low senaraikan Najib antara individu perlu disuap – Leissner

    Jho Low senaraikan Najib antara individu perlu disuap – Leissner

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah salah seorang daripada beberapa pegawai kerajaan dari Malaysia dan Abu Dhabi yang disenaraikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho sebagai individu yang perlu ‘disuap’ bagi membolehkannya mengumpul dan membelanjakan berbilion wang dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas pegawai bank Goldman Sachs ,Tim Leissner memberitahu mahkamah minggu ini.

    Memetik laporan Malaysia Now, Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan rasuah 1MDB rakan sekerjanya, Roger Ng menjelaskan bagaimana Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low melukis beberapa kotak dalam sekeping kertas di mana setiap kotak itu mewakili pegawai dari Malaysia dan UAE yang perlu disogok.

    Selain Najib, seorang lagi pegawai kanan dalam senarai itu adalah Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan di mana beliau disifatkan oleh Low sebagai seorang lelaki “yang tidak akan bangun dari katil jika mendengar jumlah wang yang kurang dari AS$100 juta”.

    Leissner seterusnya mengatakan Low juga berkata bayaran sogokan kepada pegawai kanan di Malaysia dan UAE “perlu sama dan harus dilihat sama banyak”.

    “Dalam fikiran saya, ia bermaksud kedua-dua pihak perlu dapat wang sebanyak AS$100 juta,” kata Leissner seperti dilaporkan Bloomberg.

    Leissner adalah pegawai atasan Ng di Goldman sebelum menjadi saksi pendakwaan terhadap kesnya.

    Beliau memberikan keterangan sebagai saksi kerajaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah, sementara Ng tidak mengaku bersalah bersubahat sama ada dalam jenayah pengubahan wang haram atau melanggar undang-undang anti rasuah.

    Pertuduhan itu berpunca daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah di mana pihak pendakwaan AS berkata AS$4.5 bilion dari AS$6.5 bilion yang diperolehi daripada jualan bon 1MDB diselewengkan kepada kakitangan kerajaan dan rakan subahat melalui rasuah dan suapan wang.

    Bercakap mengenai pertemuannya dengan Low pada 2012, Leissner berkata dia dan Ng bersetuju untuk mendiamkan berhubung pembayaran tersebut.

    “Rasuah perlu dibayar untuk bolehkan ia (penyelewengan) berlaku, namun kami sentiasa simpan perkara ini antara kami berdua,” katanya.

    Pemeriksaan balas Leissner di kandang saksi ditangguhkan sehingga minggu depan berikutan beberapa bukti baru dikemukakan oleh pendakwaan.

  • Rumah AS$10 juta: SPRM ambil keterangan bekas eksekutif kanan

    Rumah AS$10 juta: SPRM ambil keterangan bekas eksekutif kanan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen bersatelit semalam, susulan pendedahan mengenai pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

    Menurut sumber SPRM, proses mengambil keterangan itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM di sini dan berlangsung kira-kira sembilan jam bermula 9 pagi.

    “Beliau telah memberikan dokumen-dokumen untuk membantu siasatan berkaitan perkara tersebut,” kata sumber itu hari ini.

    Sumber SPRM itu berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

    “Siasatan perkara ini masih di peringkat awal dan beberapa lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan,” kata sumber itu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada bekas eksekutif kanan itu.

    “Akan ada saksi-saksi lain yang akan dipanggil dan kita masih meneliti perkara ini,” kata Azam.

    Rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu antara yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner, yang menyatakan mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

    Leissner telah mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang. – BERNAMA